Karnival Sukan Belia Melaka (KASBEM) 2010 Mencatat Sejarah

20 MAC 2010 – Rintikan hujan penuh barakah di awal pagi seolah-olah mengalu-alukan kedatangan para kontinjen KASBEM dari seluruh pelosok negeri Melaka. Buat julung kalinya, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) MELAKA dan Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) telah berjaya menganjurkan Karnival Sukan Belia Melaka (KASBEM) 2010.

Karnival Sukan Belia Melaka 2010 telah dirasmikan oleh wakil Pengarah Jabatan Belia Sukan (JBS) Melaka, En Muzazi bin Mohammed di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Melaka (UTEM). Lebih 400 belia dan beliawanis telah mengambil bahagian dalam enam acara yang di pertandingkan bagi kedua-dua kategori belia dan beliawanis. Ada juga kontinjen yang bermusafir begitu jauh dari beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Perak hanya semata-mata untuk menyertai KASBEM 2010. Syabas diucapkan! Tentunya matlamat yang baik akan menghasilkan natijah yang baik juga, biiznillah, jika tidak pada natijah permainan yang disertai, tetapi pada semangat berpasukan dan ganjaran di akhirat atas usaha yang baik dan bersungguh-sungguh.

Moto KASBEM 2010, Belia Aktif, Negara Produktif adalah seiring dengan aspirasi PEMBINA dan pihak kerajaan untuk membentuk golongan belia yang berjati diri, berdisiplin dan berakhlak tinggi dalam menerajui kepimpinan negara di masa hadapan. Menjadi hasrat PEMBINA untuk menjadikan KASBEM sebagai platform untuk menonjolkan bahawa Islam menggalakkan umatnya bersukan selagi mana bertepatan dengan kehendak syara’.

Karnival sukan ini memfokuskan kepada beberapa matlamat antaranya ialah untuk melahirkan generasi belia yang sihat dan kuat, dan menyedarkan golongan belia tentang peranan mereka dalam pembangunan agama, bangsa dan negara melalui aktiviti rekreasi dan sukan

Program ini turut mendapat sokongan padu Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Pusat Zakat Melaka, Sahabat Belia, Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan lain-lain lagi. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat kerana telah menghulurkan sumbangan demi menjayakan program ini samada dalam bentuk kewangan mahupun sokongan moral.

KASBEM 2010 yang dianjurkan oleh PEMBINA Melaka dengan kerjasama Kelab Remaja ISMA (KRIM)  bertitik tolak dari kesedaran bahawa Islam bukan sahaja satu agama yang merangkumi aspek ibadat semata-mata malah Islam merupakan satu cara hidup yang menyediakan peraturan dan panduan dalam segala aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan tidak terkecuali, sukan. Hal ini kerana Islam sebagai agama yang syumul, senantiasa mengambil berat tentang hal ehwal umatnya di samping menjaga hubungan hamba dengan Pencipta Yang Maha Agung. Walau bagaimanapun, Islam turut menetapkan beberapa syarat dan peraturan yang perlu digunapakai sebagai rujukan dalam menjana setiap gerak-geri umatnya agar tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki.

Usai acara perasmian di Kompleks Sukan UTEM, kontinjen belia bergerak ke Kompleks Sukan Belia Ayer Keroh untuk melangsungkan acara yang dipertandingkan dan setiap acara dijalankan di tempat yang berasingan dengan golongan wanita. Hal ini kerana penglibatan kaum wanita dalam sukan turut dibatasi dengan tatacara dan tertib yang telah digariskan oleh Islam. Garis panduan ini merupakan satu penetapan bagi mencipta garis keseimbangan di antara hal wanita Islam di dalam sukan dan kepentingan dalam memelihara maruah dan kedudukan sebagai seorang muslimah.

Permainan yang dipertandingkan untuk belia adalah bola tampar, takraw dan futsal. Manakala beliawanis pula bertanding dalam permainan bola tampar, bola jaring dan badminton.

Kesemua pasukan telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. KASBEM 2010 menyaksikan hampir semua perlawanan berlangsung dengan sengit. Pasukan bola tampar belia UTEM B telah mengalahkan pasukan UiTM Lendu dalam perlawanan akhir yang berlangsung hampir satu jam. Pasukan beliawanis Kampung Kesidang pula menguasai permainan badminton perempuan dengan memenangi tempat pertama dan ketiga. Perlawanan akhir bola jaring pula menemukan pasukan UiTM Shah Alam dan ANC Bukit Rambai dengan mata akhir 11-9 setelah masa tambahan diberikan akibat seri pada pusingan awal. Kemenangan akhirnya berpihak kepada UiTM Shah Alam.

Berikut merupakan keputusan bagi setiap acara yang dipertandingkan untuk KASBEM 2010:

 

Kategori Belia

Futsal

Johan – Kolej Komuniti Bukit Beruang B
Naib Johan  – SPJ FC UTEM
Ketiga  – Kolej Komuniti Bukit Beruang A

Bola Tampar (L)

Johan – UTEM A
Naib Johan  – UiTM Lendu
Ketiga – UTEM B

Sepak Takraw

Johan  – UiTM Lendu B
Naib Johan – Belia 4B Gangsa
Ketiga  – UiTM Lendu A

Kategori Beliawanis

Bola Jaring

Johan – UiTM Shah Alam A
Naib Johan  – ANC Bkt Rambai
Ketiga  – UiTM Lendu B

Bola Tampar (P)

Johan – UiTM Shah Alam
Naib Johan  – UiTM Lendu
Ketiga  – Kelab Rekreasi Frenz

Badminton Beregu

Johan – Seri Kesidang 1
Naib Johan  – Nurul’s Team
Ketiga – Seri Kesidang 2

Majlis penutup KASBEM 2010 telah disempurnakan olah Pengerusi PEMBINA Melaka, Saudara M Lukman Al-Hakim dan diikuti dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. Saudara Lukman dalam ucapan penutup menjelaskan, Islam tidak menghalang malah amat menggalakkan umatnya bersukan, tetapi mestilah mengikut garis panduan syara’. Beliau juga mengingatkan belia dan beliawanis supaya kembali kepada landasan Islam dalam apa jua perkara yang dilakukan supaya masalah keruntuhan moral yang melanda umat Islam pada hari ini dapat diatasi.

Syabas kepada kesemua para peserta yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang begitu tinggi sejak awal sehingga wisel penamat walaupun terpaksa bermain dalam rintik hujan dan terik mentari.

Semoga kita berjumpa lagi pada tahun hadapan dengan acara yang lebih meriah yang disertai oleh peserta yang begitu bersemangat tinggi dan pastinya dengan hadiah yang lebih menarik dan tentunya dengan matlamat dan objektif yang lebih terarah. Kita jumpa di KASBEM 2011!

Disediakan oleh
Riduan Ramli
Pengarah Karnival Sukan Belia Melaka 2010

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top