“Kami memilih untuk mendekati belia melalui isu ini supaya para belia di Malaysia sedar dan dapat mengambil iktibar daripada pengorbanan dan kecekalan yang ditunjukkan oleh penduduk di Palestin. Dua pertiga daripada penduduk di Gaza umpamanya, adalah golongan belia. Sekiranya belia kita menyedari dan menghayati hakikat ini, mereka mampu membentuk jati diri yang tinggi” Begitulah jawapan yang dilontarkan oleh Dr Kamil Azmi Tohiran, Presiden PEMBINA apabila ditanya mengenai sebab PEMBINA memilih isu zionisme dan Palestin untuk medekati belia, ketika sesi sidang media.
Saya belum pernah bercita-cita menjadi wartawan. Namun tugas semasa konvensyen memerlukan saya tahu serba sedikit mengenai dunia kewartawanan. Bersama rakan setugas, Afizhi, Firdaus dan Hatta kami memulakan agenda dengan menemuramah beberapa peserta yang tiba awal ke lokasi konvensyen. Kelihatan beberapa wartawan lain (baca:profesional dan terlatih) dari media arus perdana mula tiba dan mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran. Terkesima sebentar melihat set video dan kamera mereka yang berkali-kali ganda lebih besar dari kami (tunggulah beberapa tahun lagi). Di dalam dewan, tempat media sudahpun disediakan di beberapa baris hadapan. Sambil meninjau-ninjau suasana di dalam dewan, saya sempat bertegur sapa dengan seorang wartawan dari Al-Jazeera. Beberapa wartawan lain juga sudah mengambil tempat masing-masing. Kelihatan para wartawan sibuk mengambil gambar dan membuat rakaman sejurus ucapan alu-aluan dan ucapan perasmian disampaikan.
”Sama ada dahulu atau sekarang, kita tidak melihat adanya perbezaan antara parti-parti politik yang wujud di Israel. Sama ada Kadima, atau Likud, atau yang selainnya, tiada apa-apa perubahan yang dirasakan oleh rakyat Palestin. Penempatan Yahudi semakin bertambah, rakyat Palestin semakin ramai yang dipenjarakan. Mungkin bagi negara-negara barat atau Eropah, mereka merasakan sedikit kesan iaitu kerajaan yang baru dilihat lebih sukar untuk didekati dan dirunding. Ini semua merupakan pengaruh Zionis yang tidak akan berubah.”
Memandangkan isu zionisme ketika ini hanya dibincangkan pada peringkat yang tinggi bahkan kajian mengenainya selalu berlegar sekitar tesis-tesis sarjana dan ijazah kedoktoran, rakan setugas saya, Firdaus Sabturani mengambil peluang bertanya kepada Dr Mohd Roslan Mohd Nor mengenai pandangan beliau selaku ahli akademik tentang keperluan menerapkan kefahaman terhadap isu ini di peringkat yang lebih awal lagi, seperti di dalam subjek Pendidikan Islam di peringkat persekolahan.
“ Ini merupakan satu cadangan yang baik. Cuma, kita perlu jelas tentang perkara yang akan dibincangkan. Penerangan harus disampaikan melalui fakta-fakta yang tepat, bukannya secara emosional. Sekarang inipun saya melihat sudah ada serba sedikit langkah ke arah perkara tersebut, cuma apa yang lebih penting ialah apakah langkah praktikal yang perlu diambil oleh para pelajar selepas mengetahui fakta-fakta ini, ” komen beliau.
Keterlibatan para sukarelawan PEMBINA dalam konvensyen ini juga turut memberikan impak dan sumbangan yang besar. Ketika ditemuramah di akhir program, Pengarah Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis, saudara Jalil Husni menyatakan penghargaan beliau terhadap sumbangan para sukarelawan sambil menyatakan bahawa PEMBINA berhasrat mengembangkan potensi belia melalui Biro Sukarelawan yang memberikanpeluang kepada belia untuk bersama-sama belia secara fleksibel berdasarkan bidang yang diminati oleh mereka.
Kewartawanan sememangnya bidang yang menarik. Mungkin selepas ini PEMBINA boleh mengasah bakat bakat ahli dan sukarelawan dalam bidang ini. Anda berminat?
Muhammad Afif Husman
Media PEMBINA