JOHOR BAHRU, 4 Jun 2011 – Naib Presiden I yang juga Ketua Penerangan PEMBINA, Aizuddin Khalid, menyeru agar kajian lebih lanjut diadakan bagi memperhalusi idea parlimen belia yang dilontarkan dalam mesyuarat pembangunan belia yang dianjurkan kerajaan baru-baru ini. Beliau membuat kenyataan tersebut ketika ditanya AJK PEMBINA Johor mengenai pendirian PEMBINA terhadap cadangan penubuhan kabinet belia.
Menurut Aizuddin, kajian tersebut perlu membuktikan keperluan dan relevannya parlimen belia kerana sehingga hari ini sudah banyak forum yang diwujudkan bagi membincangkan dan menyuarakan suara dan pandangan belia kepada kerajaan dan masyarakat. Beliau mengambil contoh Majlis Belia Malaysia dan parlimen mahasiswa yang sudah pun mengambil peranan tersebut. Pada hari ini juga, sudah ramai ahli parlimen dan ADUN terdiri dari kalangan tokoh-tokoh belia tempatan. Ini bererti ruang perbincangan dan laluan suara belia untuk sampai kepada pimpinan negara sudah pun tersedia. Namun beliau turut bersetuju bahawa konsep parlimen belia ini merupakan satu kaedah penghakupayaan belia yang mampu melonjakkan potensi dan peranan belia dalam negara.
Naib Presiden PEMBINA itu menegaskan bahawa kajian mengenai parlimen belia ini juga perlu perincikan demografi belia yang bakal menghadiri persidangan tersebut dan bagaimana pemilihan ahli-ahli dewan tersebut. Cadangan tersebut juga perlu kemukakan skop kerja, bidang kuasa, serta pengaruh kerajaan terhadap parlimen belia itu. Ketua Penerangan PEMBINA itu berharap dengan menyenaraikan pro dan kontra konsep kabinet belia ini, belia dan kerajaan dapat membuat keputusan yang lebih calculated berdasarkan maklumat dalam menentukan manfaat keseluruhan cadangan ini serta sama ada ianya wajar dilaksanakan atau tidak.
“Apabila perincian cadangan tersebut dihasilkan, PEMBINA akan meneliti manfaatnya terhadap pembangunan belia serta suara belia Muslim, sama ada semakin kuat atau semakin tenggelam,” ujar Naib Presiden PEMBINA.
Media PEMBINA