Jemput Joshua Wong Tanda Generasi Muda Tiada Visi Bangunkan Negara

hong_kong-china-politics-democracy_amo804

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, Selasa – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengecam tindakan syarikat penerbitan, Dubook Press apabila menjemput aktivis Revolusi Payung dari Hong Kong, Joshua Wong datang ke Malaysia.

Ketua Unit Politik Kampusnya, Luqman Abd Hamid, berkata, membawa masuk Joshua Wong menjadi petanda yang generasi muda kita tiada visi untuk membangunkan negara.

Katanya, PEMBINA kesal dengan tindakan Dubook Press. Meskipun mereka hanya syarikat penerbitan buku tetapi mereka gagal menganalisis keadaan semasa.

“Joshua Wong hanya ‘icon color revolution’ yang dicaturkan oleh pemain-pemain global.

“Color revolution bukan perkara baru, ia adalah cubaan untuk mengubah lanskap politik dunia apabila pemain politik di negara negara tertentu sudah tamat tempoh.

“Justeru, generasi muda perlu bijak menganalisis keadaan semasa, peka dan prihatin akan setiap aspek yang berkaitan dengan kedaulatan negara.

“Jangan kerana kita marah disebabkan kelemahan kerajaan sedia ada maka digadai seluruh kedaulatan negara ini,” katanya.

Joshua sepatutnya dijadualkan akan hadir pada 30hb Mei ini bersama aktivis Singapura, Han Hui Hui untuk berjumpa dengan Demonstran Muda Malaysia di Bangi.

Bagaimanapun pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dia ditahan pihak imigresen Malaysia dan dihantar pulang.

Luqman berkata, belia hari ini perlu mempunyai visi dan berjiwa besar, bangunkan negara mengikut acuan sendiri yang berpandukan syariat Islam.

“Mereka perlu mengambil iktibar pada setiap jatuh bangun negara lain sebagai panduan membangunkan semula tamadun kita,” katanya.

Color Revolution sebelum ini dicanang seluruh pemerhati politik antarabangsa sebagai usaha kerajaan Amerika di dalam menyebarkan agenda demokrasi yang mengikut acuan barat dan mengakibatkan kesan yang teruk di negara Timur Tengah.

Joshua kini baru berumur 18 tahun dan diangkat sebagai ‘Top 50 The Most Influential Leader by Time Magazine’.

 

Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/05/jemput-joshua-wong-tanda-generasi-muda-tiada-visi-bangunkan-negara/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top