Isu turun bendera PM: Letak demonstrasi cara penyelesaian terakhir

BANGI, 20 Disember – Golongan mahasiswa perlu mengutarakan penilaian dan cadangan yang boleh diterima pakai, serta meletakkan demonstrasi sebagai cara penyelesaian yang terakhir, kata Pengerusi Biro Belia Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr. Ahmad Kamsani Samingan.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual wartawan Media ISMA bagi mengulas isu tindakan sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berdemonstrasi dan menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di hadapan Putra World Trade Centre (PWTC) baru-baru ini yang mendapat perhatian banyak pihak.

“Demonstrasi tidak sepatutnya berlaku. Kalau kita masuk tempat orang, buat ikut suka, siapa yang suka? Sepatutnya penganjur demonstrasi tersebut tidak mempunyai masalah untuk meminta maaf”.

Menurut Dr. Kamsani, mahasiswa mempunyai kebolehan dalam memperjuangkan hak-hak mereka, namun golongan itu perlu menerima bimbingan dari pelbagai pihak supaya dapat berfikiran dengan lebih matang dan bertindak dengan lebih rasional.

“Perbincangan seperti forum, tanpa terikat dengan mana-mana parti politik adalah lebih baik supaya dapat mengutarakan pandangan masing-masing dengan lebih terbuka,” jelas beliau mengenai tindakan yang boleh diambil oleh mahasiswa dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Berhubung dakwaan lain di mana Datuk Saifuddin Abdullah dianggap sebagai tali barut dan punca berlakunya insiden itu apabila beliau dilihat menerima memorandum daripada kumpulan pelajar terbabit setelah bendera diturunkan selama lima minit, Dr. Kamsani menegaskan bahawa Datuk Saifuddin telah menafikan perkara tersebut, oleh itu tidak perlu ada mana-mana pihak lagi yang mengeluarkan kenyataan hanya berdasarkan spekulasi.

Tambah beliau, dengan adanya situasi di mana mahasiswa sangat menyenangi gaya kepimpinan Datuk Saifuddin, mereka seharusnya menggunakan peluang itu untuk berbincang dengan lebih mendalam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top