Islam tak boleh disamaratakan dengan agama lain

2e

BANGI, 28 April – Kedudukan Islam di Malaysia adalah lebih tinggi daripada agama lain, kata Ketua Jabatan Komunikasi Strategik PEMBINA, Aiman Faudzi.

Sambil menolak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, beliau berkata, Islam juga tidak boleh disamaratakan dengan agama-agama lain.

Hal ini kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan agama Islam lebih tinggi berbanding agama-agama lain.

Beliau berkata, ketika penghakiman kes Meor Atiqulrahman vs Fatimah Sihi & Others pada tahun 1999, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Noor Abdullah mentafsirkan Perkara 3 seperti berikut:

“Islam ialah agama bagi Persekutuan tapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara seperti Kristian, Buddha, Hindu. Islam bukan setaraf dengan agama lain. Bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan di dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran, Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh, dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah agama bagi Persekutuan, tetapi adalah salah satu di antara beberapa agama yang dianuti di wilayah ini, dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana agama yang dianuti. Tiada lebih di antara satu sama lain.”

Aiman berkata, status agama ini perlu difahami dan dihormati akan kedaulatannya.

“Jika ingin menyatakan semua agama dilindungi itu benar, tapi salah jika mengatakan semua agama itu sama haknya menurut Perlembagaan,” katanya.

photo_2015-04-28_07-37-46

Beliau diminta mengulas kenyataan Nancy yang menyebut bahawa tiada bangsa yang boleh menyatakan agamanya lebih baik daripada agama lain.

Kenyataan Nancy itu disifatkan sesetengah pihak sebagai terpengaruh dengan fahaman sekular yang mahu menyamaratakan semua agama di Malaysia.

Menurut Aiman, Islam merupakan agama yang lebih tinggi serta tiada agama yang lebih baik daripadanya.

“Dari sudut pensyariatan, Islam adalah lebih sempurna daripada agama lain kerana mempunyai syariat yang menyeluruh sehingga merangkumi hal ehwal kenegaraan, perundangan, ekonomi dan lain-lain. Hak ini juga dilindungi di dalam perlembagaan.

“Perkara ini tiada pada agama lain,” tegasnya lagi.

Tambah beliau, sumber rujukan Islam iaitu al-Quran juga dalam tempoh ribuan tahun ini telah terpelihara daripada sebarang penyelewengan.

“Al-Quran yang sama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu jugalah al-Quran yang digunakan pada hari ini. Ia tidak berlaku kepada agama Kristian.

“Kita tidak akan mampu mencari satu versi Bible yang sama antara satu sama lain. Semuanya berbeza-beza.

“Perbandingan ini sahaja cukup untuk mengatakan Islam dan agama lain tidak bersifat sama rata baik dari sudut agama dan sosialnya,” katanya.

Sumber : ISMAweb

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top