Eqwan : Komited dengan aktiviti dakwah

Julung-julung kalinya, Krew Ikon mahasiswa menjejakkan kaki ke bumi Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Malaysia bagi menemuramah Ikon Mahasiswa Mei 2012. Ikon yang tidak asing lagi, saudara Mohd Eqwan bin Mohd Roslan kini merupakan Presiden PEMBINA IIUM Chapter. Beliau dilahirkan pada tanggal 16 Ogos 1989 dan merupakan anak keempat daripada lima orang adik beradik.

Beliau memulakan pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Subang Jaya, kemudian melangkahkan kaki ke Sekolah Menengah Imtiaz, Besut daripada tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Ketika ditanya mengapa beliau memilih Sekolah Imtiaz, jawapannya kerana beliau minat kepada penghafalan Quran. Diatas faktor yang sama beliau telah melanjutkan pelajaran ke Darul Quran (DQ) JAKIM, Persijilan yang merupakan projek kerjasama Darul Quran dan UIAM.

Kemudian bermulalah kehidupan beliau sebagai pelajar UIAM dengan memasuki Pusat Asasi UIAM, dalam bidang Kejuruteraan selama setahun setengah. Kini beliau berada pada tahun akhir UIAM Gombak dalam pengkhususan Kejuruteraan Mekatronik. Sepanjang pengajian di UIAM, beliau telah mendapat Dean’s List Award sebanyak lima kali. Didorong dengan kecintaan untuk berkongsi ilmu, beliau telah memilih untuk menjadi tutor subjek Thermofluid Engineering selama tiga semester di Students’ Learning Enhancement Unit, IIUM.

Bakat kepimpinan beliau telah berjaya dicungkil seawal bangku persekolahan lagi. Beliau merupakan Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Perwakilan Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz, Besut. Selain itu, beliau juga merupakan Presiden kepada Persatuan Bahasa Inggeris, Timbalan Presiden Kelab Avionics dan juga Setiausaha Kelab Tae Kwon Do di sekolahnya.

Beliau juga merupakan pemegang tali pinggang hitam Tae Kwon Do. Beliau telah berjaya memenangi pingat emas (2003), 2 pingat gangsa (2004) dan satu gangsa (2005) dalam Kejohanan Tae Kwon Do Antara Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu. Pada tahun 2007, beliau juga telah memenangi pingat perak dalam Kejohanan Tertutup Antara Institusi semasa beliau belajar di Pusat Asasi UIAM. Selain daripada ketangkasan tubuh badannya, beliau juga mempunyai bakat yang mendalam dalam bidang pidato. Beliau telah berjaya menduduki tempat ketiga dalam Pidato Bahasa Inggeris sempena Karnival Soleh Pintar Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu dan johan Pidato Bahasa Inggeris sempena Minggu Bahasa Inggeris (2005) serta johan Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris sempena Karnival Idul Qura’, Darul Quran (2006). Selain itu, beliau telah mewakili Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak dalam Pertandingan Pidato sempena Hari Keluarga ISMA pada tahun 2010.

Apabila beliau menjejakkan kakinya ke alam Universiti, anak muda yang meminati teknologi komputer ini telah memberikan seluruh komitmennya terhadap memacu aktiviti serta pergerakan PEMBINA di IPTnya. Beliau merupakan Ketua PEMBINA di UIAM PJ (2008), Ketua Biro Latihan Pembangunan Ahli PEMBINA di UIAM Gombak (2009), Pengarah Program “Event Management”, Setiausaha Jawatan Kuasa Pro Tem PEMBINA IIUM Chapter (2010). Beliau merupakan antara penggerak dalam memastikan PEMBINA didaftarkan secara rasmi di UIAM. Setelah PEMBINA IIUM Chapter ditubuhkan, beliau telah diberikan amanah untuk memimpin sebagai Presiden PEMBINA IIUM. Selain itu beliau juga merupakan Setiausaha Sekretariat HIMPUN di UIAM.

Bercakap mengenai rahsia kejayaan beliau yang boleh dikongsikan, beliau berkata “Di sebalik usaha, ada keberkatan yang perlu dijaga. Berdoa ketika waktu senang dan susah, lebih-lebih lagi di waktu senang”. Bagi beliau motivasi yang baik adalah motivasi daripada akhirat kerana motivasi yang ada di dunia wujudnya tidak pasti dan sementara.
Nasihat beliau kepada mahasiswa dan mahasiswi diluar sana agar melepaskan jiwa daripada belenggu dunia dan ikhlaskan niat untuk Allah dalam semua perkara. Beliau juga menyeru agar mahasiswa dan mahasiswi memasang cita-cita untuk kembali menyumbang kepada umat. Kata beliau “habiskan tenaga yang ada di waktu muda dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan membentuk peribadi muslim yang baik dengan PEMBINA”.
Bagi beliau, sebagai ahli PEMBINA, kita tidak harus menolak cabaran yang telah dipertanggungjawabkan selagi kita mampu melakukan tugasan-tugasan tersebut. Namun, jika ada perasaan takut atau tidak yakin, itu adalah merupakan perkara lumrah dan yang lebih penting, kita harus menghadapi perasaan itu dengan mencubanya terlebih dahulu.
Beliau menyeru kepada ahli PEMBINA supaya yakin dengan program yang diaturkan PEMBINA dan setia menyumbangkan tenaga dalam PEMBINA.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top