He Who Has No One, Has Allah

Semoga Allah melimpahkan rahmat dan hidayahnya kepada kita agar terus teguh berdiri di atas jalan-Nya inshaAllah. Dalam kesempatan ini mari kita sama-sama mendoakan sahabat-sahabat kita yang ditimpa musibah banjir di pantai timur, semoga Allah membantu mereka untuk lebih gagah menghadapi ujian ini. Tidak lupa juga kepada seluruh umat Muslimin terutama di Palestin, Syria, Rohingya yang ditindas di tanah air mereka sendiri oleh musuh-musuh Allah yang terkutuk.

Musibah yang datang kepada mereka bukanlah untuk kita duduk melihat bersahaja namun untuk kita nilai sejauh mana sayang kita kepada mereka yang memerlukan terutama mereka yang seakidah dengan kita. Bukankah kita Muslimin ibarat sebatang tubuh? Rasulullah bersabda,

Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka seluruh badan akan merasa sakit”. Riwayat Muslim.

banjir

Marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan semampu yang boleh sama ada melalui kewangan, menjadi sukarelawan mahupun memanjatkan doa kepada Allah agar mereka tetap cekal menghadapi ujian Maha Kuasa ini. Amin.

Hakikat kehidupan dan ujian.

Bertepatan dengan muqaddimah di atas, tema penulisan kali ini akan berkisar tentang ujian, cabaran, halangan ataupun dugaan. Penulisan kali ini juga banyak dipetik daripada sebuah rakaman ceramah oleh seorang syeikh bernama Syeikh Navaid Aziz dari Montreal, Kanada. Mula mengenal beliau ketika menghadiri salah satu kuliah beliau di dewan utama Universiti Malaya yang dianjurkan oleh Al-Maghribi tahun ini. Penyampaiannya cukup menarik dan mudah untuk difahami. Sedikit biografi beliau disertakan di akhir artikel ini.

Allah berfirman dalam Surah Baqarah ayat 155:

‘Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.’

Sering kita fikir bahawa mereka yang kaya, berkedudukan atau hidup mewah tidak banyak diuji oleh Allah. Walhal ujian itu sebenarnya datang dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan. Kesenangan atau kemudahan, kesakitan atau kesihatan, kemiskinan atau kekayaan dan sebagainya. Syeikh Navaid ingin kita mengubah perspektif lama kita bahawa ujian tidak semestinya bertunjangkan kesusahan sahaja namun mereka yang senang turut diuji sama ada mensyukuri nikmatnya atau pun mengkufuri dan menyalahgunakan nikmat-Nya.

Sebenarnya, bagaimana rupa bentuk ujian yang datang tidaklah begitu penting hendak dibandingkan dengan bagaimana kita menghadapi ujian tersebut. Ketaqwaan kita dinilai sama ada kita meredhai dengan ketentuan Allah ataupun bersangka buruk dengan Pencipta kita sendiri. Apakah reaksi kita apabila kita ditimpa kemalangan, adakah dengan mengucapkan ‘Innalillahi wainna ilaihi rajiun’ ataupun dengan maki hamun dan sumpah seranah? Kalau ujian kecil pun tidak dapat diredhai inikan pula ingin diuji dengan ujian para anbiya’.

Maksudnya: Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali’. (Al Baqarah 02:156)

Mahukah kita mati dalam keadaan kita menyumpah ketentuan Ilahi? Atau mahu dibangkitkan oleh-Nya dalam keadaan muka berseri-seri atas meredhai ujian yang diberikan-Nya? Masing-masing punya ujian masing-masing dan masing-masing punya kudrat memberikan jawapan masing-masing.

Menghadapi ujian dan janji syaitan.

Sekarang kita sudah pun jelas bahawa ujian akan datang dalam pelbagai keadaan dan bentuk. Apa yang penting ialah bagaimana kita menjadikan ujian tersebut sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah taala, bukan menjarakkan lagi hubungan kita dengan-Nya. Sekarang mari kita fahami bagaimana pula cara manusia perlu menghadapi ujian supaya tercapai matlamat mendekati Pencipta kita.

Umumnya, terdapat 2 jenis reaksi seseorang apabila berhadapan dengan ujian iaitu pertama, menyedari ianya satu ujian daripada Allah lalu kembali memohon bantuan dan perlindungan daripada-Nya. Meyakini bahawa Dia jualah yang akan mengeluarkan kita daripada kesusahan itu akan menjadikan kita berani menghadapi halangan di depan kita. Hati kita akan tenang, emosi akan terjaga dan fizikal akan tidak lemah dek dugaan yang datang tetapi dapat melahirkan seseorang yang lebih kuat dan matang daripada sebelumnya. Tidak perlu bersedih berlebihan kerana Allah berfirman:

“…..Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama-sama kita….” At-Taubah:40

Reaksi jenis kedua ialah yang sebaliknya pula. Bukan sahaja seseorang itu tidak meredhai ujian yang datang malah bersangka buruk kepada Allah taala, nauzubillah. Lebih padah lagi, orang seperti ini akan cuba tidak mengendahkan ujian di depannya dengan cuba untuk menyendiri, kononnya cuba mencari ketenangan sendiri dan mengosongkan jiwa yang gundah gulana. Padahal hakikatnya ialah syaitan Laknatullah sudah pun berjaya membenamkan peluru tipu daya dalam hati manusia tersebut dan seterusnya menghasut mereka untuk mencari keseronokan dan kepuasan dalam dunia ini untuk cuba melupakan dugaan yang menimpa.  Allah telah merakamkan pengakuan syaitan dalam Surah Ibrahim ayat 22:

“Sesungguhnya janji Allah adalah janji benar, lalu aku menyimpangkan kamu dan buat kamu tidak patuh dan tidak percaya janji Allah, membuat kamu lebih percaya pada janjiku. Itulah sebabnya mengapa hari ini kamu jadi penghuni neraka, dan menjadi sahabatku,kesalahan bukan di tangan aku, tapi ada di tangan anda sendiri. Jangan salahkan dan mencerca aku, tapi salahkan dirimu sendiri, kenapa tidak percaya janji Allah, kenapa kamu percaya aku yang sudah dinyatakan Allah sebagai musuh kamu itu.”

Syeikh Navaid berkata bahawa mereka yang suka menyendiri adalah kebanyakannya daripada kalangan lelaki berbanding wanita yang suka berkongsi masalah dengan orang sekeliling. Selain itu, syeikh mengingatkan kita untuk berdamping dengan orang-orang yang soleh dan beriman supaya kita tetap kuat menghadapi ujian daripada Allah dan tidak mudah termakan hasutan syaitan, menenggelamkan diri dalam kancah kemaksiatan semata-mata ingin melegakan tekanan dalam diri. Ada pula membuat keputusan untuk membunuh diri padahal ini merupakan perbuatan yang cukup biadap mengkufuri nikmat nyawa yang cukup berharga oleh Allah buat kita. Membunuh diri bukan jawapan tapi keingkaran yang nyata. Selagi punya nyawa, kita masih punya ruang untuk kembali kepada-Nya.

Apabila seseorang tidak menyerahkan dirinya kepada Allah, dia telah menyerahkan dirinya kepada syaitan.

Kata-kata Saidina Umar Al-Khattab (r.a).

Khalifah kedua dalam Khulafa’ Ar-Rasyidin iaitu Sayidina Umar pernah berkata bahawa apabila kita diuji, kita akan bersyukur kerana 3 perkara:

1)      Ujian ini tidak menghakis keyakinan kita kepada Allah taala.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah didatangi oleh seorang pemuda selepas beliau diseksa dan disebat  sebanyak lebih kurang 80 kali kerana tidak bersetuju dengan khalifah yang berpendapat bahawa Al-Quran itu merupakan makhluk. Melihat keadaan Imam Ahmad yang lemah dan luka teruk di belakangnya, lalu dia menangis. Lantas Imam Ahmad berkata:

“Kenapa engkau menangis? Aku tidak kehilangan imanku, jadi mengapa perlu aku risau jika aku kehilangan nyawaku.”

2)      Ujian ini tidaklah sehebat ujian yang menimpa orang lain.

Apabila ditimpa musibah, cuba tanamkan dalam jiwa kita bahawa pasti ada orang lain yang lebih hebat ujiannya daripada kita. Jika ada dalam kalangan kita yang kehilangan ayah, bersimpatilah kepada mereka yang kehilangan kedua ibu bapa mereka. Jika kamu terasa susah untuk menghafal atau menimba ilmu, kasihanilah kepada mereka yang langsung tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran kerana faktor kewangan dan sebagainya. Jika kamu terasa panas bahang dek tiada pendingin hawa, cuba bayangkan mereka yang terpaksa menahan panas terik matahari kerana tiada tempat berteduh.

Hati akan berasa tenang apabila mengetahui bahawa Allah tidak menguji kita lebih daripada kita mampu menghadapinya. Ujian dan musibah ialah tanda cinta Allah taala kepada hamba-Nya yang beriman bukan tanda murka atau marah semata-mata.

3)      Allah taala memberi peluang untuk kita bersabar ketika diuji.

Sikap tidak sabar akan mengundang pelbagai masalah dan akibat buruk. Apabila kita diuji, bersabarlah kerana dengan sabar kita akan lebih rasional dan tenang menghadapi ujian tersebut. Janganlah memburukkan lagi keadaan dengan bersikap terburu-buru dan tidak sabar kerana dapat menambahkan lagi masalah.

Ujian memberi kita peluang mentarbiyah diri, menyucikan hati dengan belajar untuk bersabar.

la tahzan

Penutup: Semakin diuji semakin hampir dengan Allah

Di akhir kuliyahnya, Syeikh Navaid membacakan sebuah kata-kata yang dipetik daripada filem Transformer 3: Revenge of the Fallen. Ya, kata-kata daripada Optimus Prime menjadi penutup bicara kuliyahnya iaitu:

Ibrahnya ialah kita diberi kekuatan dan kudrat oleh Allah taala untuk berusaha menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum selagi mana kaum tersebut tidak mengubah nasibnya sendiri (Ar-Ra’d:79).

Dalam menghadapi ujian atau musibah, kita diberi pilihan oleh Allah taala sama ada untuk menjadikan ujian tersebut satu jalan untuk menghampiri Allah taala atau untuk menjauhkan diri daripada-Nya.

Kadangkala apabila saya diuji, saya teringat kata-kata Syeikh yang berbunyi:

 ‘He who has no one has Allah, and he who has Allah has everything’

Terima kasih dan selamat beramal. Assalamualaikum.

Nota tambahan:-

  1. Biodata ringkas Syeikh Navaid Aziz
  2. Klip rakaman kuliyah ‘He who has no one has Allah’:
  3. Rakaman kuliyahnya yang lain

Tulisan oleh,

Akhyar Azhar,
AJK Biro Kajian & Risalah

Sumber

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top