PEMBINA mengucapkan tahniah kepada YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik pada 16 Mei lepas. YB Khairi merupakan wakil golongan belia yang pertama kali tersenarai dalam kabinet Dato Seri Najib dilihat mampu membawa perubahan pada kementerian tersebut selari dengan profesionalisme dan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau.
PEMBINA berharap dengan perlantikan YB Khairy mampu untuk meningkatkan mutu sukan negara kepada kemuncak kegemilangan serta menerajui belia dalam aktiviti yang mampu membangunkan jatidiri belia. Dalam masa yang sama, PEMBINA memohon beliau untuk menilai semula program belia yang boleh merosakkan minda dan sahsiah belia seperti konsert-konsert yang melalaikan.
Justeru, PEMBINA merasakan sosok belia adalah cukup penting dalam membina pelapis kepimpinan masa depan.
Dengan itu, sahsiah belia haruslah dibentuk dalam budaya ilmu dan kerangka pemikiran minda kelas pertama seterusnya mampu membawa agenda negara dengan lebih jauh lagi.
Tidak dinafikan ‘engagement’ antara kementerian dan golongan belia perlu diperkasakan, seterusnya belia harus diberikan ruang dan peluang yang rasional untuk mereka menzahirkan minat mereka yang pelbagai selaras dengan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam.