Forum : “Kemudikan Aku ke Jannah”

UiTM Shah Alam, 3 Disember – “Jika Ianya Sebuah Cinta, Kemudikan Aku Ke Jannah” merupakan tajuk forum Baitul Muslim yang telah di anjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Shah Alam dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan khas UiTM Shah Alam bertempat di Dewan Serbaguna Kolej Seroja, UiTM Shah Alam. Forum ini dirangka dengan meletakkan objektif utama untuk memberi kesedaran kepada belia akan kepentingan membina keluarga muslim demi kepentingan dakwah islamiah dan berkongsi mengenai panduan memilih pasangan hidup yang sesuai mengikut kehendak syara’. Program ini telah berjaya menarik kira-kira 98 orang peserta di kalangan mahasiswa dan mahasiswi UiTM Shah Alam, UiTM Puncak Alam dan beberapa buah universiti  swasta di sekitar Shah Alam.

Forum ini telah ‘dikemudi’kan oleh Ustaz Azrin b. Shamsudin (Perunding Aman Palestin) selaku moderator forum dan dibarisi oleh panelis – panelis hebat iaitu Ustazah Norsaleha bt. Mohd Salleh (Ketua Wanita ISMA), Dr Nor Azyati bt. Yusoff (Pegawai Perubatan Jabatan Pediatrik, Hospital Serdang) serta En. Norzafry b. Norhalim (Presiden PEMBINA). Para panelis telah mengupas beberapa isu menarik yang telah berjaya menarik perhatian penonton dari awal  hingga akhir forum. Antaranya adalah tips-tips yang boleh dipraktikkan dalam usaha mempercepatkan urusan jodoh, ciri – ciri wanita idaman bagi seorang lelaki dan sebaliknya. Di samping itu, para panelis juga tidak lokek berkongsi pengalaman peribadi mereka tentang kemanisan cinta selepas akad nikad berbanding cinta berasaskan nafsu semata – mata sebelum pasangan diijabkabulkan. Kekeliruan masyarakat tentang pertunangan dan pernikahan turut diperjelaskan oleh para panelis termasuklah panduan dalam  pelaksanaan majlis pertunangan dan pernikahan berpandukan syariat Islam dan membezakan ia dengan adat.

Memandangkan ada di antara panelis yang mempunyai pengalaman mendirikan ‘masjid’ sewaktu beliau dan pasangan masih bergelar seorang mahasiswa, beliau turut berkongsi cabaran – cabaran yang beliau telah tempuhi sepanjang tempoh persediaan perkahwinan beliau termasuklah masalah kewangan yang dihadapi dan cabaran untuk meyakinkan kedua ibu bapa mengenai kesediaan beliau untuk berkahwin. Walaubagaimanapun, segala halangan itu mampu ditanganinya dengan berbekalkan usaha dan doa yang berterusan. Beliau turut mengingatkan para ‘pengemudi’ agar sentiasa bersikap berani  dan matang dalam mengambil keputusan termasuklah dalam urusan jodoh.  Pelbagai persoalan dan kemusykilan telah dilontarkan oleh para peserta  dalam sesi soal jawab dan rata-rata soalan menyentuh tentang isu percintaan sebelum berkahwin dan apakah tindakan yang sepatutnya mereka ambil sekiranya mereka tejebak dalam masalah itu. Selepas berakhirnya sesi soal jawab, para peserta di hiburkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan ‘Sekilas’ dari Kolej Perindu, UiTM Shah Alam.

Secara keseluruhannya, segala puji dan syukur seharusnya dipanjatkan kepada Allah S.W.T kerana dengan izinNya forum Baitul Muslim ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya. Sekalung penghargaan diucapkan kepada rakan penganjur iaitu GPMS cawangan khas UiTM Shah Alam di atas kesudian untuk menjalinkan hubungan kerjasama untuk kali yang pertama ini. Para peserta diharapkan dapat menimba sedikit ilmu dari program ini dan seterusnya sedar akan kepentingan membina keluarga muslim dalam membentuk sebuah masyarakat Islam yang beragenda.

 

Sumber : Pembina Cawangan Shah Alam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top