Salam Hijrah 1433 !

Peristiwa Hijrah merupakan detik bersejarah sehingga ianya dipilih oleh syura Khalifah Umar sebagai tarikh pertama dalam kalendar Islam. Pengajaran dari peristiwa hijrah terlalu banyak dan sangat bermanfaat untuk dikenang dan diperingatkan kerana ibrahnya akan senantiasa releven sepanjang zaman. Pada tahun ini, suka untuk saya tekankan 2 pengajaran penting yang harapnya dapat memandu dan membantu kita dalam berazam melakukan perubahan iaitu hijrah ke arah kebaikan dan bersifat sistematik.

 

Sesungguhnya, hijrah Nabi s.a.w adalah ke arah melakar masa depan yang lebih baik buat agama Islam. Demikianlah objektif umum hijrah yang agung dan itulah “mindset” yang perlu diadaptasi oleh individu mahupun organisasi yang ingin “berhijrah” atau memimpin satu perubahan. Sebelum kita membuat sebarang perubahan dalam diri atau masyarakat, pastikan ianya mendatangkan manfaat yang lebih daripada mudarat. Berapa ramai orang yang melakukan satu perubahan, penghijrahan atau mengambil langkah dan tindakan yang disangkanya baik tetapi akhirnya merugikan diri. Perlu diingatkan kerana langkah yang salah juga mampu mencelarukan daripada mencerahkan masa depan.

 

Disamping itu, hijrah turut mengajar umat Islam untuk bersifat sistematik. Peristiwa persediaan hijrah jelas menunjukkan kesungguhan Nabi dan para sahabat untuk memastikan penghijrahan itu satu kejayaan. Setelah berusaha untuk bersiap siaga, akhirnya barulah bergantung kepada Allah Taala. Oleh itu, sikap “hentam kromo” dalam membuat sesuatu patut dikeluarkan daripada kamus umat Islam masa kini dan akan datang. Kita mestilah lebih tersusun, berstrategi, memahami sunnatullah dan konsikuennya, bukan mengambil risiko secara membuta dan mengharap Allah melapangkan jalan kita di atas kepasrahan kita, sedang usaha kita yang lekeh dan terlalu berserah.

 

Wahai para belia Islam, setiap tahun sewajarnya kita lebih baik. Semoga kita meletakkan azam untuk membaiki diri lagi pada tahun ini. Usah takut kegagalan, kerana bersama kesusahan itu ada kesenangan, seperti firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan”(Al-Insyirah:5). 

 

Salam Hijrah 1433!
Norzafry Norhalim
Presiden PEMBINA
dari Medan, Indonesia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top