FFC PEMBINA Bangi – integrasi kecantikan dan kesihatan tarik minat beliawanis

Bangi, 2 Oktober – Beliawanis PEMBINA cawangan Bangi telah mengadakan ‘FIT & FABULOUS CARNIVAL 2011’ (FFC ’11) bertempat di Pusanika UKM Bangi. Program ini telah berjaya menarik hampir 200 pengunjung yang terdiri daripada mahasiswi IPTA dan IPTS sekitar bangi. FFC’11 kali ini telah ditaja oleh Avail Beauty, Karangkraf, PEMBINA Trading & Services dan Humaira Bookstore.

FFC’11 mengenengahkan konsep integrasi antara penjagaan kesihatan dan kecantikan wanita yang sememangnya amat penting bagi beliawanis kini dalam menempuh cabaran dunia global. Program khas untuk wanita ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada beliawanis tentang keselarian kecantikan dan kesihatan dengan syariat Islam. Program berbentuk karnival ini turut dimeriahkan dengan gerai jualan, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pusat Rawatan Islam Az-Zahra serta pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz dan cabutan bertuah.

 

Penyampaian cenderahati kepada Dr Nurul Izzah, wakil daripada i-medic PEMBINA cawangan Gombak oleh Ketua Beliawanis PEMBINA Bangi

Program bermula seawal jam 9.00pagi dengan tayangan montaj dan senaman ringan. Pada sebelah pagi, program diisi dengan ceramah berkenaan isu-isu kesihatan yang melanda wanita kini seperti ’Breast Cancer: It is a Silent Killer?’ yang disampaikan oleh Dr. Nurul Izzah, wakil i-medic PEMBINA Cawangan Gombak dan ’Kanser Serviks: Bahaya & Pencegahan’ yang di sampaikan oleh Encik Azman Kamarudin, wakil daripada Avail Beauty.

Pada sebelah petang pula, program diteruskan dengan ’Forum Wanita: Kerana Dirimu Begitu Berharga…’ yang telah dipengerusikan oleh Puan Suhaily Bt Johari, wakil PEMBINA Bangi. Forum ini telah berjaya menarik ramai pengunjung membanjiri Autoditorium Siswa untuk sama-sama mendengar hujah-hujah bernas daripada 3 orang panel yang hebat iaitu Dr. Syarifah Bt Hashim (Doktor perubatan & wakil PEMBINA Melaka), Ustazah Fatimah Syarha Bt Mohd Nordin (novelis & penceramah) dan Puah Farra Adeeba (selebriti Tv9).

Program diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup FFC’11 yang telah dirasmikan oleh Puan Nor Hasni Hayati Bt Hanapi, Naib Presiden 2, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Turut hadir dalam majlis ini adalah jemputan khas Puan Rabai’ah bt. Kamarul Baharin, Ketua Wanita ISMA Daerah Hulu Langat, Cik Roszida Kamaruddin, Sekretariat Beliawanis PEMBINA, Cik Norhamimah Ibrahim, Ketua Beliawanis PEMBINA Cawangan Bangi dan wakil ISIUKM.

Syabas dan tahniah kepada team FFC’11. Semoga kejayaan ini lebih memberi semangat kepada beliawanis untuk mengadakan program-program yang penuh manfaat di masa hadapan. Terima kasih yang tak terhingga kepada pihak penaja, pengunjung dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan FFC’11.

Mariam Malek
PEMBINA Bangi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top