K. LUMPUR, 14 Oktober 2011 – Usamah Izer, Ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA berkesempatan muncul sebagai tetamu undangan dalam rancangan U-Wartawan yang ke udara di Astro Awani. Beliau diminta mengulas tentang Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, khususnya pada peruntukan untuk pendidikan.
Usamah berpendapat bahawa peruntukan pendidikan sebanyak RM52b atau 22.34% daripada keseluruhan bajet merupakan satu jumlah yang sederhana. Antara contoh yang dibawakan beliau adalah perbandingan jumlah pelajar ILP, “Sbg contoh, kita ada 27 ILP di seluruh negara. Bilangan pelajar sekarang adalah 15,000 sedangkan beberapa tahun lepas angkanya 23,000. Jumlah ini berkurangan dengan ketara sebab kerajaan kekurangan dana. Sebab itu saya kata jumlah kali ini sederhana.”
Disamping itu, beliau membuat perbandingan antara sistem pendidikan negara yang berteraskan sistem komanwel/british dengan sistem pendidikan terbuka di Australia dan New Zealand. Antara kebaikan sistem terbuka adalah tidak timbul isu kejar silibus, atau kerja sekolah yang banyak. Yang paling penting penilaian bukan hanya di atas kertas sahaja. Menurut Usamah, cerdik belajar cuma salah satu cabang kepintaran. Masih ada kepintaran sukan, muzik, seni dan sebagainya.