Demam Peperiksaan

 

Assalamualaikum w.b.t, moga saudara dan saudari sentiasa dalam pimpinan Allah s.w.t. Saya dimakluman oleh rakan-rakan saya di IPT, kebanyakan mereka sedang demam.. demam peperiksaan!. Sebagai individu yang ada sedikit latarbelakang asas perubatan, saya mungkin boleh berkongsi maklumat ringkas di mana demam ada punca pencetusnya seperti jangkitan kuman, stress dan lain-lain.

 

 

Tapi apa yang boleh saya jangkakan, beberapa hari yang mendatang merupakan hari-hari yang agak menyiksaan bagi sebilangan pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan. Sehingga terlintas difikiran kita.. alangkah baiknya jika ijazah ini dapat diperolehi hanya dengan menghadiri kuliah, membuat beberapa ‘assignment’ dan mengikuti beberapa hari latihan industri dan lain-lain.

Bila kita melihat sejarah pengembangan ilmu di zaman kegemilangan islam, kita akan akur bahawa pengembangan tamadun islam sebelum ini berlaku dalam kadar yang begitu pantas dan melibatkan begitu banyak disiplin ilmu. Senario ini mungkin mustahil dilihat, jika umat islam ketika itu mengalami sindrom ‘demam peperiksaan’ atau mengalah dengan kesukaran yang dihadapi ketika menimba limu atau hanya belajar untuk ‘cukup makan’ atau membawa ‘toyol’ (nota untuk tujuan meniru di dewan peperiksaan) hanya untuk bergraduasi.

Syeikh Muhammad Qutb, dalam bukunya ‘Sinaran Cahaya dari Rasulullah S.A.W’ menyatakan dorongan kuat yang mengubah senario arab yang jahil kepada arab yang begitu cintakan ilmu ialah kefahaman yang mendalam umat islam ketika itu dengan hadith Baginda S.A.W. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud ‘Menuntut ilmu adalah wajib (fardu) bagi setiap muslim’. Ini sahaja saudara-saudari!

Menurut beliau, kefahaman muslim berhubung maksud kalimah ‘fardu’ yang membawa implikasi bahawa;

a. Ia kewajiban yang mesti ditunaikan oleh manusia. Ia tidak boleh dicuaikan samada ketika senang atau ketika sibuk.

b. Ia kewijiban yang dilakukan manusia kerana Allah dan sebagai ibadah kepadaNya. Ia mesti dilaksanakan dengan amanah,bersih dan ikhlas.

c. Ia adalah amalan yang mendekatkan hamba dengan Tuhanya.

Inilah yang mendorong mereka merasakan menuntut ilmu itu sama pentingnya dengan solat, puasa, zakat dan haji. Ia telah membuahkan rasa khyusuk dan ikhlas kerana ia merupakan jalan mengabdikan diri kepada yang Maha Mencipta dan Maha Mengetahui. Semakin mereka berilmu, semakin mereka bertaqwa. Tiada rasa jemu, malas dan berpada dengan yang sedikit. Ini kerana mereka penat, letih dan mengantuk untuk menjadi abdi yang terbaik di hadapanNya. Abdi yang semakin membesarkanNya dari hari ke hari, kerana dapat menyingkap sedikit rahsia dan keajaiban ciptanNya. Mereka mengharapkan taqwa dari menuntut ilmu sebagaimana mereka mengharapkan taqwa ketika berpuasa. Keadaan ini berbeza dengan barat di mana mereka yang semakin ‘berilmu’ semakin lari dari yang Maha Pencipta seperti Darwin dan rakan-rakanya.

Semoga saudara saudari menyedari inilah prespektif yang sepatutnya dilihat bagi seorang muslim. Kita tidak berlebih-lebihan dalam sesuatu dan meninggalkan yang lain. Aktif dalam amal islami tidak menjadikan kita ‘student’ ‘cukup makan’ di universiti. Berusaha menjadi ‘scorer’ tidak menjadikanya kita meninggalkan amal islami yang dituntut.

Selamat berjaya. Wassalam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top