Ulang tahun memperingati peristiwa Isra’ Mi’raj hampir tiba. Jika pada bulan Rejab tahun 620H dahulu, Rasulullah sempat mengimamkan solat di Masjid al-Aqsa sebelum keberangkatan Mi’rajnya ke Sidratul Muntaha. Alangkah indahnya andai pada bulan Rejab tahun ini, kita juga dapat solat bersama-sama di sana bagi memperingati peristiwa yang sungguh hebat ini. Mungkin, dengan itu lebih terkesan di hati kita untk menyambut seruan solat lima waktu, menginsafi kekuasaan Allah memperjalankan hambaNya dari bumi ke langit dan turun semula ke bumi dalam satu malam, dan membuka ufuk pemikiran serta cita-cita manusia dari hanya sekadar terhad kepada muka bumi semata-mata kepada keluasan cakerawala ciptaan Allah.
Jika kita kaji bagaimanakah untuk mengembalikan semula kegemilangan al-Aqsa di tangan umat Islam, sudah pasti perkara utama adalah kesatuan umat yang benar-benar serius dan berkualiti dalam memperjuangkan isu ini. Seperti mana-mana bangsa di dunia ini, sudah pasti golongan belia adalah harapan utama bagi mendokong dan meneraju cita-cita ini. Jika diteliti beberapa berita di dada-dada akhbar dari awal hingga pertengahan tahun 2010 ini, agak menarik untuk diketengahkan beberapa kualiti yang dimiliki oleh golongan belia di Malaysia ini. Dengan itu, kita dapat menilai sama ada bangsa kita sudah bersedia untuk memikul perjuangan ini atau sebaliknya. Di kalangan golongan belia ini, saya lebih berminat untuk memfokuskan pada golongan wanitanya, atau yang kita panggil sebagai beliawanis. Ini kerana, saya amat percaya bahawa golongan beliawanis adalah tulang belakang bagi kejayaan sesebuah bangsa. Golongan ini juga mempunya kebolehan unik sama ada untuk mempengaruhi golongan yang berlainan jantinanya.
Daripada situasi-situasi yang berlaku di negara kita, secara rambangnya, kita melihat ada di kalangan beliawanis yang menyumbang kepada statistik gadis yang melahirkan 2,500 anak luar nikah pada setiap bulan. Begitulah fakta yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Namun begitu, ada juga dikalangan beliawanis kita yang terakam di layer-layar kamera sewaktu perhimpunan-perhimpunan solidariti membantah serangan Israel terhadap rombongan ‘Lifeline For Gaza’ baru-baru ini. Begitu kontradik nilai-nilai yang dipaparkan oleh jiwa-jiwa muda ini. Persoalannya, bagaimanakah untuk kita sama-sama membentuk nilai sosial golongan beliawanis di negara ini agar mereka dapat bersatu dan menguasai sensitiviti ummah terhadap penindasan yang berlaku di al-Aqsa? Bagaimanakah kita dapat melakarkan agenda ummah di dalam jiwa mereka agar mereka dapat menghidupkan semula roh jihad perjuangan ini?
Mahatma Gandhi pernah berkata, “Jadilah perubahan yang anda ingin lihat di dunia ini. (Be the change you want to see in the world)“. Oleh itu, seandainya kita mempunyai cita-cita untuk menguasai semula al-Aqsa, kita perlu menjadi sebuah organisasi yang menyediakan program-program pembangunan jatidiri secara konsisten kepada golongan-golongan belia dan beliawanis. Program-program ini perlu diperhebat dan diperkemaskan untuk menarik minat golongan ini ke arah gaya hidup yang lebih aktif, sihat dan syar’i. Andai golongan ini terbiar tidak terbimbing, bimbang nanti al-Aqsa tak terbebas, Malaysia pula yang tertindas. Akhir kata, marilah kita wahai belia dan beliawanis Malaysia, suburkan kembali semangat di bulan Rejab ini untuk membebaskan kembali al-Aqsa tercinta.