Belia, Melayu dan Islam

 

Kalau roboh Kota Melaka
Papan di Jawa hamba dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Badan dan jiwa hamba serahkan

 

Indah bukan?

Bertentangan dengan apa yang anda fikirkan, ini sebenarnya bukanlah pantun cinta. Bahkan ia merupakan pantun patriotik dan perjuangan. Kota Melaka merujuk kepada bandaraya bersejarah yang sewaktu zaman kegemilangannya merupakan sebuah pusat tamadun Islam di Asia Tenggara. Terdapat bukti-bukti sejarah yang menonjolkan Melaka sebagai pusat perhubungan di antara Khalifah Uthmaniah Turki dengan kawasan sekitar tersebut. Kesatuan dan kekuatan umat Melayu Islam di rantau tersebut dibuktikan dengan kuatnya keazaman untuk mempertahankan Islam dengan “mendirikan papan di Jawa” sekiranya Melaka jatuh diserang musuh.

Nah! Kenapakah secara tiba-tiba saya mengungkit kembali tentang kisah silam ini?

Belia Islam hari ini sedang menghadapi krisis identiti yang sangat dahsyat. Mereka tidak tahu siapakah diri mereka yang sebenar dan pembawaan watak apakah yang patut ditonjolkan. Cara paling mudah adalah dengan melihat kepada siapakah yang memberikan pengaruh terkuat dalam kehidupan mereka dan siapakah yang dijadikan idola dalam kehidupan mereka. Memang fitrah manusia, khususnya belia, mudah untuk mencontohi peribadi-peribadi yang mereka kagumi; tanpa mengambil kira baik, buruk, manfaat atau  mudaratnya. Yang penting, belia akan rasa cool atau ‘hebat’ apabila berjaya mengemulasi ‘hero-hero’ mereka. Musuh-musuh Islam memahami perkara ini, lantas menonjolkan selebriti-selebriti, tokoh-tokoh sukan dan segala macam jenis orang lagi sebagai peribadi diikuti. Maka sedikit demi sedikit terhakislah identiti belia-belia yang kita kasihi.

Ahli sejarah meletakkan kekuatan sesuatu bangsa dan tamadun bermula dengan penegasan identiti diri. Apabila mereka kenal diri mereka dengan sebaiknya, akan timbullah keyakinan dalam diri bahawa mereka secara tersendirinya adalah seorang yang hebat. Jika tidak dirasai kehebatan dan kewibawaan dirinya, maka di situlah mula belia kita mengikuti orang lain yang dirasakan lebih hebat.Kata kunci di sini adalah “kagum”; iaitu kekaguman kepada kewibawaan orang lain menjadikan kita berasa diri kurang, seterusnya meletakkan harapan dan kepercayaan kepada ‘hero-hero’ di luar bangsa kita sendiri.

Sekarang sepatutnya anda dapat agak kenapa saya datangkan kisah kehebatan kesultanan Melayu Melaka. Sejak sekian lama kita disogokkan dengan betapa segalanya yang berkait dengan Melayu adalah negatif: malas, kurang bersungguh, cukup makan, lemah keazaman, tak tepat waktu dan segala macam lagi sifat-sifat buruk. Bahkan saya ingin mencabar paradigma ini dengan kisah-kisah sejarah dan juga kisah-kisah moden.

Bukti Sejarah Melayu

Melaka pernah muncul sebagai Empayar Melayu yang terbesar di Nusantara. Sejarah penyebaran Islam secara besar-besaran di Nusantara juga bermula di Melaka. Bukan itu sahaja, Bahasa Melayu juga menjadi lingua franca atau bahasa pertuturan utama di rantau tersebut. Ia digunakan oleh sesiapa sahaja yang datang menyinggah, baik saudagar-saudagar mahupun pendatang-pendatang asing lain. Manakan mungkin bahasa sesuatu bangsa itu dipertuturkan secara meluas sekiranya bangsa itu lemah! Kemakmuran dan kehebatan Kesultanan Melayu Melaka boleh dilihat kepada betapa pesatnya perkembangan tamadun Melayu Melaka. Ia juga boleh dilihat kepada struktur pentadbiran dan undang-undang yang kemas, seperti Undang Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, serta rakyat yang mendokong penuh agenda negara dan agama. Berbanding dengan beberapa era dan tradisi agung Melayu di persekitaran Selat Melaka, tradisi dan era Kesultanan Melayu Melaka yang tidaklah begitu lama (hanya seratus tahun lebih), tetapi kesan yang ditinggalkannya dalam ruang ketamadunan serta perspektif sejarah Melayu di rantau ini adalah besar. Adakah dengan kehebatan-kehebatan ini masih lagi tidak berjaya meyakinkan kita tentang kehebatan bangsa kita sendiri?

Kisah Melayu Moden

Alhamdulillah saya diberikan peluang oleh Allah Taala untuk berada di 3 negara besar barat; Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Di sana saya berpeluang mendengar dan memperhatikan tentang penglibatan orang Melayu Islam dalam dakwah bersama umat Islam setempat. Di negara-negara ini, orang Melayu Islam mempunyai peranan yang besar, kalau tidakmenjadi pelopor utama dakwah di sana, mereka tetap menjadi tonggak utama dakwah setempat. Sifat lemah lembut orang Melayu dan tidak melulu dalam tindakan, menjadikan mereka sebagai penyatu kepada masyarakat Islam di negara-negara tersebut yang terdiri daripada orang-orang Islam yang pelbagai mazhab. Adakah ini kemampuan orang yang malas, lemah keazaman dan kurang kesungguhan?!

 

Ini bukan asobiyah!

 

Sehingga ke tahap ini, anda sepatutnya telah berasa bangga dengan kehebatan bangsa Melayu dan yakin dengan kemampuannya untuk terus maju ke hadapan. Pada hakikat yang sebenarnya, kehebatan Kesultanan Melayu Melaka dan bangsa Melayu itu sendiri sebenarnya bersandarkan kepada betapa kuatnya ikatan mereka dengan Islam. Saya dengan sengaja tidak menyebut tentang betapa besarnya peranan Islam dalam pembangunan tamadun di atas kerana saya ingin membawa para belia untuk berasa yakin dengan kemampuan diri dan sedar bahawa sejarah kita adalah sejarah pejuang, bukan sejarah orang bermalas-malasan!

 

Nabi Muhammad s.a.w. memahami tentang fitrah kebanggaan manusia ini dengan bangsanya; kerana itu Nabi tidak pernah sekali-kali menghapuskan bangsa-bangsa. Bahkan Nabi Muhammad selalu menyeru: “Wahai Ansar! Wahai Muhajirin!”, ” Wahai Aus dan Khazraj! Wahai Quraisy!” Kebanggaan ini sebenarnya menggambarkan betapa yakinnya mereka terhadap diri mereka sendiri, dan seterusnya keyakinan ini menyumbang kepada perkembangan Islam yang lebih pesat. Dan begitulah sebaliknya, Sahabat-sahabat juga tidak pernah sekali-sekali menjadikan kebanggaan kepada bangsa dan kabilah mereka sebagai penindas kepada bangsa lain melainkan hanya sebagai penegasan identiti dan keyakinan diri.

 

Penutup

Majoriti penduduk negara ini adalah Melayu; mencapai hampir 60% dan semakin bertambah kerana kadar kelahiran yang tinggi berbanding bangsa-bangsa utama lain seperti Cina dan India yang menurun. Tetapi pada masa yang sama kadar jenayah juga meningkat di kalangan belia bangsa ini, manakala kesedaran politik dan keprihatinan terhadap kesusahan umat pula menurun dek penangan arus hedonisme yang dahsyat. Ini bukanlah seruan asobiyah dan nasionalisme sempit. Tetapi ia adalah seruan Islami kerana Melayu dan Islam tidak akan sekali-sekali dapat dipisahkan. Hebat Melayu, maka kuatlah Islam. Ayuhlah wahai para belia, sedarlah dan majulah ke hadapan. Kamulah pemimpin umat ini di masa hadapan. Dabik dadamu dan pancanglah bendera. Laungkanlah kepada dunia, “Inilah aku. Aku datang menyelamatkan alam!”

 

Sumber:

1.       Melaka dan arus gerakan kebangsaan Malaysia (1996), Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.

2.       “Dakwah Tanpa Asobiyyah Tidak Akan Sempurna(berjaya)“, Blog Perjalananku, Ustaz Abdullah Zaik, http://ustabdullahzaik.wordpress.com/2009/11/24/dakwah-tanpa-asobiyyah-tidak-sempurna/

1 thought on “Belia, Melayu dan Islam”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top