Bila tiba bulan Ramadhan, seluruh umat Islam akan berasa begitu gembira sekali. Mana tidaknya, pada bulan inilah manusia berlumba-lumba untuk buat kebaikan. Jika sebelum ni seseorang itu hidupnya penuh dengan kemaksiatan, bulan Ramadhan menjadi peluang untuk dia kembali taat kepada Allah. Jika sebelum ni dia liat nak sedekah, pada bulan Ramadhan dia jadi seorang yang begitu pemurah.
Buat sang daie yang siang malamnya asyik berfikir siapa yang ingin didakwah, pastinya berasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan kerana ramai insan-insan yang ingin berubah. Tinggal hulurkan tangan untuk disantuni sahaja.
Namun begitu, perlu ada persiapan yang rapi agar hati-hati yang ingin disentuh menjadi lembut untuk ditanam benih-benih hidayah. Agar dengannya tumbuh merendang pepohon hidayah.
Berkata Sheikh Mustafa Masyur di dalam bukunya, Fiqh Dakwah.
“Muslim ang benar dalam keislamannya akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan gembira dan bahagia, sebagaimana kegembiraan kaum mukmin dengan kurnia dan rahmat Allah. Ia beristirehat sejenak dari kepenatan hidup, berbekal dan memperbaharui semangatnya untuk meneruskan perjalanan dakwah. Namun tiada yang dapat menikmati kebaikan tersebut dan memperoleh bekal tersebut kecuali orang hidup bersama Ramadhan dan menunaikan puasa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.”
Di sini saya kongsikan 10 bekal yang gariskan Sheikh Mustafa Masyur yang boleh kita sediakan sepanjang melalui ibadah puasa. Moga bekalan ini menjadi kekuatan buat kita sang daie untuk terus menyantuni manusia, mengajak kepada Allah s.w.t.
1. Bekal Al-Quran
Bulan Ramadhan bulan di mana turunnya al-Quran. Pada bulan Ramadhan juga, secara tak langsung menjadikan diri kita semua rapat dengan al-Quran. Pada bulan Ramadhan juga kita lebih bersemangat untuk membaca, mengkaji, menghafal dan mengamalkan al-Quran itu sendiri. Di situ kita dapat mengambil ibrah dan pengajaran yang sudah tentu menghidupkan hati kita yang lesu dan kering.
Perjalanan seorang daie bukanlah dibentangkan dengan karpet merah, dihiasi dengan bunga-bunga mewangi. Namun harus ditempuhi dengan pelbagai mehnah dan ujian. Adakalanya menjadikan kita futur hingga rasa bosan lantas meninggalkan jalan yang mulia ini. Maka, jadikan bulan Ramadhan sebagai bulan untuk melatih diri kita dekat dengan al-Quran supaya hati kita sentiasa tenang dan tenteram mendengar ayat-ayat al-Quran.
2. Bekal solat malam
Tiap kali tiba bulan Ramadhan, secara automatiknya kita mampu untuk bangun bersahur. Para daie perlu juga mengambil peluang untuk bertahajud munajat kepada Allah. Jika sebelum ni susah untuk laksanakan solat malam, ambil peluang pada bulan Ramadhan untuk lakukan solat malam tanpa henti selama sebulan.
Dari situ kita akan dapat mendidik jiwa, merasai kenikmatan berhubung secara langsung dengan Allah. Merintihlah, mengadulah kepadaNya agar diberi kekuatan untuk melaksanakan amal ketaatan. Solat malam dapat menjadi bekalan yang tidak terhingga buat jiwa kita kerana ia mengajar untuk meletakkan pergantungan secara total kepada Allah.
3. Bekal iktikaf
Meninggalkan dunia sebentar untuk beribadah kepada Allah, berzikir, mengaji, mendalami al-Quran, menangis, merintih di rumah Allah ketika iktikaf mampu menjana kekuatan luar biasa dalam diri kita. Dunia sentiasa mencari ruang untuk menipu kita. Dengan melakukan iktikaf pada bulan Ramadhan, jiwa kita akan lebih tenang dan bebas dari pengaruh dunia. Allah pasti memuliakan para tetamuNya, sehingga mereka keluar dari Ramadhan dengan membawa bekal taqwa, keimanan dan petunjuk.
4. Bekal ikhlas
Ibadah puasa membimbing kita untuk sentiasa mengikhlaskan niat kerana Allah. Dan keikhlasan itulah yang menjadi bekal oleh para daie untuk terus melangkah di jalan dakwah yang penuh dengan ujian hanya kerana Allah.
Bulan Ramadhan mampu mendidik kita untuk sentiasa ikhlaskan diri dalam setiap perbuatan hanya kerana Allah. Kerana amal tanpa keikhlasan hanyalah sia-sia.
5. Bekal mujahadah
Puasa ialah suatu latihan untuk kita tundukkan keinginan dan nafsu kita. Mujahadah amat penting buat seorang daie yang berjuang di jalan Allah. Orang yang berpuasa mampu mengekang nafsu liar dalam jiwa mereka dan hal itu dapat membantunya untuk menghindari perkara-perkara haram.
Maksiat selalu jadi faktor utama kegagalan seorang daie dalam berdakwah di jalan Allah. Maksiat yang dilakukan kerana desakan nafsu secara tak langsung dapat menghitamkan hati yang akhirnya menjadikan diri lesu dalam mengajak manusia mengenal Allah.
Melalui puasalah kita dapat melatih diri kita untuk terus bermujahadah agar dengannya kita dapat menjauhi dosa dan maksiat.
6. Bekal sifat sabar
Ibadah puasa akan menyuburkan sifat sabar dalam diri kita semua. Kesabaran merupakan suatu sifat yang paling penting buat diri daei kerana dengannya, para daie dapat mengatasi ujian demi ujian yang melanda sepanjang perjalanan dan dapat meneruskan perjalanan dalam jalan dakwah tanpa berasa lemah dan kelesuan.
7. Bekal sifat santun
Ibadah juga mampu membentuk sifat santun, tidak mudah marah dalam diri kita semua. Bila kita rasa marah, kita mampu menahannya dengan berkata pada diri sendiri,
“Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.
Penting buat para daie untuk mengawal jiwanya dengan perkara-perkara yang baik, berlapang dada dan tidak mudah marah kerana inilah menjadi penyebab keberhasilan dakwah.
8. Bekal mengasihi yang lain
Puasa akan mendidik hati untuk mengasihi orang lain terutamanya golongan fakir miskin. Kewajipan zakat fitrah pada bulan Ramadhan mendidik kita untuk mengasihi orang lain.
Saat kita berpuasa, kita akan turut merasai betapa peritnya apa yang dihadapi oleh orang miskin yang tak mampu membeli makanan. Dari situ kita akan lebih mengasihi mereka dengan sedekah yang kita hulurkan kepada yang memerlukan. Inilah bekalan yang penting buat kita semua.
9. Bekal ketahanan fizikal
Dengan berpuasa, kita dapat menyucikan kembali tubuh badan kita dari penyakit-penyakit yang berpunca dari makanan. Selain itu, puasa mendidik kita untuk bertahan dalam menahan diri dari makan dan minum. Ia menjadi bekalan agar kita sentiasa bersedia menghadapi pelbagai ujian sepanjang perjalanan dakwah.
10. Bekal disiplin dengan masa
Puasa membiasakan kita semua untuk berdisiplin dengan waktu. Kerana setiap orang yang berpuasa akan sentisa memerhatikan waktu berbuka dan waktu imsak.
Para daie sangat memerlukan bekalan ini untuk menjadikan mereka berdisiplin dengan masa kerana kehidupan para daie penuh dengan pertemuan, mesyuarat dan sebagainya yang jelas memerlukan para daie untuk sentiasa menepati waktu dan menguruskan masa dengan sebaiknya.
Moga dengan bekalan-bekalan dakwah di bulan Ramadhan ini dapat menjadikan kita semua lebih bersemangat untuk menyeru manusia kembali taat kepada perintah Allah.
Oleh:
Qamarul Nazrin bin Harun
JK Aktivisme PEMBINA