Ayu Mardiana Lebarkan Sayap Melalui Karya Khaulah Aleppo

Kuala Lumpur, 21 Jan – Bermula di sebuah bengkel penulisan kreatif, Cikgu Ayu Mardiana Azizi yang juga merupakan seorang ahli PEMBINA cawangan Kuala Lumpur mula menghasilkan karyanya yang berbentuk sebuah cerpen islamik.

Bijak mengambil peluang yang ada, beliau membuat keputusan menghantar karya sulungnya ke satu Sayembara Penulisan Kreatif Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bersempena dengan Sambutan Maulidurrasul 1435H.

Keberanian untuk mengetengahkan karyanya membuahkan satu kenangan yang paling manis apabila beliau dinobatkan sebagai Naib Johan bagi kategori tersebut daripada 216 penyertaan dari seluruh Malaysia. Dengan penuh tekad, beliau yang merupakan satu-satunya wakil daripada Kuala Lumpur masih terkejut dengan pengumuman keputusan itu sebagai pemilik rasmi hadiah yang berupa wang tunai, sebuah piala khas, buku-buku beserta sekeping sijil penghargan.

Sayembara ini diadili oleh juri-juri hebat yang beliau kagumi iaitu Tuan Zainal Palit (Zaen Kasturi), Profesor Madya Mawar Shafie, Haji Azman Haji Ahmad (Ibn Ahmad al-Kurauwi) dan juga Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

“Semua peserta merupakan orang-orang yang hebat dalam penulisan. Boleh jadi ini rezeki saya dan keluarga, namun, perjalanan masih jauh dan saya perlu perbanyakkan lagi menimba ilmu dalam bidang penulisan ini,Inshaa Allah” katanya usai menghadiri majlis penyampaian hadiah di sini semalam.

Cerpen yang bertajuk Khaulah Aleppo mengisahkan pahit getir seorang kanak-kanak dalam menjalani kehidupan seharian di bumi Syria yang penuh dengan pergolakan. Kehidupan yang penuh dengan dugaan itu memberi bekas dan menjadi satu titik tolak untuk sang mujahidah itu mengorak langkah ke hadapan dengan semangat yang membara. Pesanan si ibu banyak membakar semangat si mujahidah ini untuk memburu syahid atau mencapai kemenangan di bumi sendiri. Qunut Nazilah pula ikrar yang sebati membumi dalam diri.

Wartawan: Cik Nurfarahin Mohd Sa’ari, PEMBINA Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top