Apabila hak asasi mengancam kedudukan Islam sebagai agama persekutuan

Umum mengetahui bahawa, negara Malaysia adalah sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan dan perkara ini secara jelas termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Malaysia sangat memandang serius terhadap isu yang mengandungi unsur-unsur negatif yang boleh mengancam kedudukan Agama Islam dalam negara. Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan oleh makluman mengenai penganjuran pesta Lesbian, Gay, Bisexual, dan Transexual (LGBT)  oleh pertubuhan Pink Dot. Sdn. Bhd. dengan kerjasama Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Ketua Beliawanis PEMBINA, Saudari Roszida Kamaruddin telah didekati bagi mendapatkan sudut pandang beliau mengenai penganjuran pesta Pink Dot ini. Pesta LGBT ini telah diwar-warkan penganjurannya menerusi medium atas talian seperti laman sosial dan laman sesawang. Makluman mengenai penganjuran pesta ini telah berjaya sampai kepada pengetahuan masyarakat umum dengan sangat pantas. Menurut saudari Roszida, Pink Dot merupakan sebuah gerakan yang berdaftar dan berdaftar di bawah nama syarikat di Singapura untuk memperjuang golongan LGBT . Dengan berslogankan “freedom to love” program ini dianjurkan setiap tahun sejak tahun 2011 sehingga kini. KejayaanPink Dot Singapore dalam meraikan golongan minoriti LGBT ini telah memberi inspirasi kepada golongan LGBT di Malaysia untuk menganjurkan program yang sama di sini. Ini dapat dilihat dengan usaha yang dilakukan Pink Dot Sdn. Bhd. dengan kerjasama SUARAM untuk mengadakan pesta LGBT ini pada 29 Mac di Pulau Pinang dan membuka penyertaan kepada masyarakat umum. Walaubagaimanapun iklan penganjuran program tersebut telah ditarik balik oleh SUARAM kerana kekhuatiran mendapat tentangan daripada rakyat Malaysia.

Ditanya, mengenai adakah program Pink Dot ini boleh  mengancam kestabilan negara Malaysia yang juga mengamalkan kebebasan bersuara, saudari Roszida memberitahu penganjuran program seperti ini akan menampakkan bahawa kerajaan Malaysia menerima kemasukan budaya songsang dan ini akan membuka ruang kepada golongan ini untuk terus memperjuangkan hak mereka. Meskipun negara Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara, kebebasan itu mestilah tidak melanggari batas-batas yang ditetapkan dalam Islam. Kestabilan negara akan tergugat, kerana LGBT akan membawa kesan buruk kepada masyarakat dengan meruntuhkan institusi keluarga dengan kecelaruan  dalam hubungan kekeluargaan. Pengaruh LGBT boleh membuatkan matlamat asas sebuah perkahwinan menjadi kabur dan ia dikhuatiri, matlamat sebuah perkahwinan bukan lagi untuk melahirkan zuriat tetapi untuk perkara yang tidak digariskan dalam Islam.

Daripada sudut perubatan pula, Roszida menambah menurut satu kajian, seks songsang lebih berisiko dan menjadi pemyumbang kepada peningkatan kes penyakit AIDS dan penyakit kelamin yang lain. Bahkan semua agama didunia menolak amalan ini  terutama agama Islam. Apa yang lebih dibimbangkan, program yang menggalakkan budaya songsang ini amat mudah mempengaruhi belia masa kini. Belia hari ini sudah ramai yang kekeliruan dan kehilangan jati diri, dan ini membuatkan mereka mudah terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat. Tambahan pula program Pink Dot ini bergerak secara senyap melalui laman sosial dan medium atas talian, ia sangat mudah disebarkan dan mempengaruhi belia yang merupakan aset terpenting yang bakal memimpin negara.

Tambahan lagi, Pink Dot menggunakan pendekatan semua orang ada hak untuk mencintai dan dicintai termasuklah golongan minoriti LGBT ini dan dimanakah salahnya program seperti ini yang ingin meraikan golongan yang dikatakan tertindas ini. Saudari Roszida memaklumkan dengan tenang, ‘hak mencintai dan dicintai tidak dinafikan bahkan kita dituntut saling berkasih sayang sesama manusia. Namun perasaan sayang tidak seharusnya melebihi batas sehingga ke tahap luar tabie dan fitrah manusia’ ujarnya.

images

Pun begitu, SUARAM seperti yang diketahui telah menarik balik penganjuran Pink Dot ini. Walaubagaimanapun, saudari Roszida berpendapat kenyataan SUARAM menunjukkan antara sebab penarikan adalah faktor keselamatan peserta dan penganjur. Hal ini agak merisaukan kita kerana SUARAM tidak melihat ianya dari sudut kesalahan undang-undang (civil) dan bahaya kesan penganjuran kepada masyarakat sosial secara keseluruhannya. Maka adalah tidak mustahil usaha-usaha seperti program Pink Dot ini akan berterusan lagi pada masa akan datang kerana program ini tidak dilihat sebagai bahaya untuk dianjurkan mereka.

Roszida turut berpendapat, antara usaha-usaha yang boleh dilakukan adalah kerajaan harus menghalang segala usaha yang ingin mempromosikan budaya ini di Malaysia sehingga ke akar umbi. ‘Negara kita meletakkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dimana Islam menolak perbuatan jijik dan hina ini kerana telah meletakkan nilai dan maruah manusia di tahap yang rendah. Bagi PEMBINA pula, kami sentiasa konsisten berusaha membangunkan belia pada hari ini dengan penganjuran program-program yang bermanfaat dan membina jatidiri. Di samping itu program JELAS telah diwujudkan bagi mendedahkan kepada mahasiswa ideologi dan budaya yang mampu mengancam belia masa kini’ ujar beliau di akhir temubual.

Akhir kata, beliau berharap agar program seperti Pink Dot ini tidak akan mendapat tempat di Malaysia. Ini bukanlah satu diskriminasi kepada hak minoriti. Tapi kita mestilah melihat sesuatu penganjuran program itu melalui kaca mata dan neraca Islam. LGBT jelas sekali diharamkan dalam Islam, membenarkan penularan program-program yang menyokongnya umpama membiarkan ajaran Islam itu dihakis sedikit demi sedikit dalam jati diri Muslim di Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top