Harga Sebuah Kemajuan

Kematian akibat pengambilan dadah semasa konsert Future Music Festival  (FMF) amat mengecewakan. Di saat akhlak dan moral generasi muda negara sedang diasak oleh budaya berhibur secara keterlaluan (hedonism), kerajaan terus komited menganjurkan acara-acara sedemikian atas nama kemajuan.

Pada 2010, kerajaan bertanggungjawab mewujudkan Pelan Tranformasi Ekonomi (ETP) untuk membawa masuk pelaburan berjumlah US$ 444 billion bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Salah satu sektor yang menjadi fokus Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) ialah Pelancongan.

Antara strategi untuk menarik kehadiran pelancong adalah melalui penganjuran acara-acara antarabangsa. Mengikut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Performance Management and Delivery Unit (PEMANDU) bertajuk “Big Boost for Tourism by 2015 from International Events”, penganjuran konsert Future  Music Festival (FMF) yang dirancang sejak 2013 demi kemajuan negara. Dan banyak lagi acara-acara hiburan berskala antarabangsa telah dirancang antaranya Konsert Life in Color, 19 Mac 2014.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PEMANDU adalah melalui penganjuran konsert-konsert antarabangsa dapat menarik kehadiran pelancong-pelancong luar disebabkan harga tiket yang murah berbanding dengan negara lain di rantau ini. Kenyataan yang bersikap dangkal ini tidak mengambilkira harga yang dibayar untuk menebus kembali masa depan generasi muda yang dipertaruhkan (dan telah mengorbankan 6orang belia yang mati kerana pengambilan arak dan dadah secara berlebihan).

tolak-hedonisme-Large

Bukan kemajuan bersifat materialistik yang belia dambakan. Belia hanya mahukan kualiti hidup yang pernah belia nikmati suatu ketika dahulu. Saat-saat indah Malaysia suatu ketika dahulu, di mana setiap kaum dan bangsa hidup dalam keadaan harmoni dan berkerjasama. Saat-saat indah ketika anak kecil bebas menjelajah kawasan kejiranan untuk bermain. Saat-saat indah ketika semua anggota masyarakat hidup sebagai satu keluarga. Saat-saat apabila silap anak kita bisa dibetulkan dan dinasihati oleh tetangga.

Belia juga mahukan peluang pendidikan yang berkualiti, peluang kerjaya yang cerah, iklim ekonomi yang stabil, sosio-budaya yang harmoni dan sistem politik yang matang dan negara yang rukun dan berperlembagaan.

Kemajuan materialistik tidak semestinya menjanjikan kualiti hidup yang baik dan kebahagiaan. Menentang pendekatan kebelakang oleh NKEA-Perlancongan melalui ETP tidak bermaksud belia menentang kemajuan. Kerajaan perlu mengubah definisi kemajuan yang seperti yang belia mahu, kemajuan yang bersifat lestari didasari Islam yang syumul yang menjadi tunjang dan teras dalam kehidupan.

Mohammad Ridhuan Mohd Ali,
Pengerusi Cawangan PEMBINA Pasir Puteh

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top