Selamat datang Ramadhan. Beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan yang paling mulia ini. Bulan yang dilimpahi rahmat dan keampunan bagi yang inginkannya. Bulan yang dilipatgandakan ganjaran bagi amalan-amalan sunat dan fardhu. Bulan yang diwajibkan amalan puasa ke atas umat Islam seperti yang difirmankan Allah s.w.t.:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa” (Surah al-Baqarah: 183)
Puasa merupakan satu tugas, yang faedahnya begitu bernilai bagi umat Islam, baik dari sudut kerohanian mahupun kesihatan fizikal. Ia juga berperanan menyatukan umat Islam dan mengeratkan hubungan persaudaraan sesama kita. Di bulan inilah kita lihat orang-orang Islam berpusu-pusu ke masjid menunaikan solat sunat tarawih, berebut-rebut menjamu orang-orang berbuka puasa, membantu saudaranya yang kurang berkemampuan dan banyak lagi fenomena-fenomena kebaikan yang sebenarnya hampir tidak dapat kita lihat di bulan-bulan lain. Inilah fadhilat dan rahmat bulan Ramadhan. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:
“Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat. Di bulan ini diwajibkan kamu berpuasa di siang hari dan disunatkan bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan ibadah fardhu di hari-hari biasa. Ia bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya syurga. Ia juga bulan sedekah dan bulan rezeki orang-orang beriman bertambah.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaymah)
Orang yang benar-benar beriman dan takut kepada Allah akan menjadikan bulan puasa ini sebagai satu peluang keemasan yang wajib dimanfaatkan untuk mencari keredhaan dan keampunan serta mendekatkan diri kepadaNya. Bersabar menahan lapar sepanjang hari, di samping pengorbanan dan azam untuk menahan segala pancaindera dari menuruti kehendak nafsu adalah bukti menuntut keredhaanNya. Oleh itu, bagi mereka yang benar-benar mendambakan keredaan Allah, seharusnya menyambut dan meraikan setiap bulan Ramadhan yang tiba dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan dengan memenuhi setiap ruang waktunya bersama dengan amalan-amalan kebaikan dan amal ibadah.
Sesungguhnya Ramadhan mampu mengurangkan kadar salah laku dan perbuatan tercela di kalangan Muslim. Perbuatan seperti menipu, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya dapat ditinggalkan oleh orang-orang yang berusaha menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Semangat dan keazaman untuk meningkatkan disiplin diri juga akan lebih mudah dibentuk jika kita benar-benar menghayati semangat Ramadhan ini. Justeru, amat rugilah bagi mereka-mereka yang hanya membiarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja tanpa disulami dengan lonjakan hidup kearah yang lebih baik dan sempurna.
Abu Hurairah telah berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud”: “Sesiapa yang berdiri menunaikan solat di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu”. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e, Malik, Ahmad dan Baihaqi)
Beruntunglah bagi mereka yang mampu menjadikan Ramadhan kali ini medan penebus dosa, pembaikan amal dan lonjakan hidup ke arah yang lebih baik, dan teramat rugilah bagi mereka yang melepaskan Ramadhan kali ini tanpa mendapat keampunanNya.
Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.