ADAKAH KITA ISMAIL ITU?

Bismillahirrahmannirrahim

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah mempertemukan kita dengan salah satu daripada dua hari kebesaran umat Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarga baginda, para sahabat dan tabi’in. Moga dengan kedatangan Aidil Adha 1435 hijrah ini mentarbiyah kita erti pengorbanan dan pengabdian secara total kepada Allah SWT.

Aidil Adha bukan sekadar menuntut korban dalam erti kata penyembelihan haiwan ternakan bahkan lebih luas dari itu. Dalam Al-Quran, Allah SWT menceritakan mengenai dua kisah korban iaitu antara Habil dan Qabil serta kisah Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. Kedua-dua kisah ini mengajar kita supaya berusaha yang terbaik untuk mentaati perintah-Nya.

Aidil Adha kali ini disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dalam keadaan sederhana tetapi penuh makna perjuangan dan pengorbanan. Pelbagai peristiwa ditempuh antaranya peperangan 51 hari Asfin Ma’kul di Gaza yang diakhiri dengan kemenangan dipihak Palestin. Juga perjuangan yang berlaku pada muslimin di Syria, Yaman, Uighur, Rohingya dan beberapa negara lain. Sesungguhnya peristiwa yang berlaku ini menuntut umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, dan bersatu dalam meninggikan kalimah-Nya.

Beberapa peristiwa yang berlaku di Malaysia juga menuntut umat Islam untuk berkorban diri, harta dan tenaga. Serangan ideologi sesat (Ghazwatul Fikr) seperti hendonisme, liberalisme, pluralisme dan syiah ini jelas mensasarkan kepada golongan muda dan mahasiswa Islam di Malaysia Serangan ideologi ini mengakibatkan ada segelintir kecil umat Islam yang menganggap berhibur secara berlebihan adalah perkara biasa, ekonomi Islam sudah tidak relevan, Al-Quran perlu ditafsir semula kerana menindas kaum wanita, syariat Islam tidak praktikal dan pelbagai ucapan yang jauh daripada ajaran Islam sebenar.

Ucapan-ucapan ini adalah hasil daripada doktrinisasi organisasi yang jelas ditaja oleh Amerika seperti Islamic Renaisance Front (IRF), Sister in Islam (SIS), Projek Dialog juga parti politik seperti DAP. Mereka mensasarkan pemuda-pemudi Islam untuk dengan menawarkan anutan ideologi-ideologi sesat ini.

Disebalik serangan ini, topeng kehodohan mereka semakin terbongkar dengan slogan-slogan yang retorik. SIS yang konon memperjuangkan hak wanita senyap sunyi apabila seorang guru wanita diugut bunuh oleh guru besar berbangsa cina di Johor, IRF pula menyambut meriah kedatangan presiden Amerika yang merupakan dalang keganasan di dunia dan Projek Dialog dengan dangkalnya menyiarkan gambar palsu ketika Gaza diserang. Tak dilupakan DAP yang memperkudakan golongan pemudi Islam utk kelihatan “islamik” sedang mereka jelas menentang pemerkasaan undang2 syariat Islam, Islam sebagai agama Negara dan menyokong kalimah Allah disalahguna.

PEMBINA tampil meneraju arus, bukan sekadar berani melondehkan kehodohan mereka, bahkan siap menyedia solusi bagi masalah-masalah yang timbul. Cabaran pemuda-pemudi Islam masa kini ialah menguatkan hujah melawan golongan ideologi sesat ini dan terus turun ke medan menunjukkan kepada masyarakat Islam yang praktikal. Perjuangan berhujah dengan musuh dan mempraktikan Islam dalam kehidupan memerlukan PERGORBANAN.

Justeru, sempena Aidil Adha ini saya mengajak seluruh ahli PEMBINA khususnya dan masyarakat amnya untuk sama-sama muhasabah adakah cukup PERJUANGAN dan PENGORBANAN kita dalam meninggikan kalimah Allah SWT. Adakah kita menjadi Habil yang mempersembahkan korban yang terbaik? Adakah kita menjadi Ismail yang bersedia meletakkan nyawa untuk mematuhi perintah Allah SWT?

Semoga setiap amal soleh kita diterima Allah SWT.

photo_2014-10-11_14-17-45

Muhammad Uzair Izzat Amir Bin Muhammad

Naib Presiden 1 PEMBINA

Ketua Majlis Mahasiswa PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top