Intelektualisme: Adrenaline di Kalangan Belia

brain

Bangkitnya fenomena intelektualisme dikalangan anak muda.  Kedengaran seperti  sesuatu yang positif. Anak muda makin cakna, anak muda menjalankan diskusi ilmiah, terus dan terus mencari menggali makna dan erti dalam sesuatu dimensi, aspek ilmu. Pemikiran kritikal digunakan, persoalan demi persoalan terus dibangkitkan, dikatakan sebuah perjalanan mencari erti hidup, permasalahan yang dikupas dan terus dikupas tanpa jawapan daripada yang lebih layak dan arif. Daripada diskusi agama, falsafah, politik  dan nilai kemanusiaan, ini semua antara topik yang menjadi perbincangan golongan ini.

Pendapat demi  pendapat daripada golongan yang sama, kelompok yang sama dikupas, akhirnya mereka akan sampai pada satu konklusi  yang diperolehi oleh pendapat mereka, pemikiran, hasil pembelajaran dan pemerhatian, tidak ubah seperti ahli falsafah pada zaman Enlightenment Age yang mengagungkan liberalisme dan kebebasan berfikir  berpegang teguh pada teori dan falsafah mereka. Ia didorong  minat dan satu semangat, sebuah adrenalin baru, yang menimpa golongan anak  muda yang melangkah ke alam pembelajaran dan bergelar intelektualis. Inilah yang sedang berlaku sekarang. Intelektualisme boleh menjadi sebuah penyakit.

Mengapa ia satu masalah? Mengapa tidak dibiarkan sahaja mereka berfikir dan terus mempersoalkan, biar sahaja mereka mencipta jawapan, melayan minat mereka, biarkan sahaja mereka menggali dan meneroka apa yang mereka inginkan? Sudah pasti terdapat kesan besar. Apabila sebuah diskusi, lontaran idea, persoalan yang ditimbulkan untuk dikupas dan hanya untuk dibincangkan, hanyalah untuk berkongsi luahan pemikiran, tanpa sebuah matlamat yang jelas, tanpa satu garis panduan, kerangka dalam Islam, bercakap dalam neraca pemikiran masing-masing, tiada pihak yang lebih arif seperti ustadz atau ilmuwan yang berpengalaman untuk memandu maka ia adalah satu pekerjaan yang sia-sia malah menyesatkan.  Tiada arah, ibarat orang yang sesat dengan pemikiran sendiri.

Masakan tidak, perbincangan yang melibatkan agama boleh saja dijalankan oleh siapa-siapa dalam lingkungan itu. Mereka hanyut dalam arus pemikiran sendiri. Terus-terusan menulis, mengupas dan berbincang tapi tidak menghala ke mana-mana. Lebih membimbangkan apabila lontaran yang dibawa adalah daripada acuan pemikiran barat barangkali didapati daripada hasil pembelajaran mereka di luar Negara, tanpa tapisan, dan had. Membawa fahaman liberalisme. Seterusnya, mereka merasakan perlunya sebuah perubahan dalam pelaksanaan agama, politik dan cara hidup orang Islam, mengikut kerangka fahaman mereka.  Mereka mengkaji dan mencabar melalui persoalan yang ditimbulkan.

Budaya ini membimbangkan, akhirnya ia menjadi satu trend untuk punyai pendapat. Buka saja video-video anak-anak muda ini di youtube, baca sahaja artikel-artikel yang ditulis, dan perbincangan yang mereka gelarkan ilmiah. Antara contoh-contoh tulisan dan perbincangan mereka  tentang  kupasan  persoalan tentang teologi, membangkitkan persoalan tentang Tuhan, ketidakadilan dalam masyarakat, membincangkan isu wanita dalam neraca dan pemikiran mereka, mereka juga banyak mengupas idea-idea ahli falsafah seperti John Rawls, Nietzsche,John Locke. Mereka nmenyentuh tentang nilai kemanusiaan seperti, orang miskin, golongan tertindas, gelandangan, dalam karya-karya mereka banyak mempersoalkan tentang mengapa manusia suka menghukum menggunakan agama, mengapa tidak mementingkan akhlak dan nilai kemanusiaan, bukan pada halal atau haram semata-mata.

Apa yang mereka tidak lakukan adalah mencari jawapan, dan memahamkan tuntutan agama dengan rujukan yang betul, dan tidak mengkaji dari kaca mata dan pemikiran seorang yang menggunakan kerangka Islam . Akhirnya trend ini menjadi virus, dan virus mencetuskan penyakit, penyakit yang tenat. Fikiran tanpa batasan, tanpa matlamat, yang terus meruntuh akidah, mencelarukan kefahaman, pegangan pada pemikiran falsafah barat dan intelektualis yang tidak berpegang pada agama dan akidah yang sahih terus dijadikan rujukan mereka. Maka penyakit ini harus dicegah, diubati kerana jika tidak banteras, akan bangkitlah golongan intelektual yang tidak mempunyai benteng pertahanan diri, tiada jati diri Islam, tidak berperibadi seperti Muslim. Hanya Islam daripada nama, tetapi pemikiran sudah jauh kecelaruan dan tidak beracuankan Islam.

Inilah natijahnya, apabila kebenaran tidak dicari, tapi pendapat dan lontaran akal dijadikan Tuhan, seperti kupasan mereka sendiri sudah cukup. Hipotesis yang saya dapat fikirkan ada dua; pertama mungkin sekali mereka hanya lakukan apa yang mereka lakukan kerana minat untuk melontarkan buah fikiran dan pendapat tanpa batasan dan had, kedua mungkin sekali hanya mahukan perhatian orang ramai, mahu dilihat seperti orang yang mengetahui banyak sesuatu aspek ilmu. Apa-apa pun tujuannya, ini jelas menggusarkan. Kita perlukan belia yang mempunyai kesedaran terhadap diri sendiri, yang berjati diri tinggi, mempunyai peribadi muslim, yang tidak terpengaruh dengan mudah, yang boleh berfikir untuk kepentingan Islam dan dalam kerangka Islam. Bila kita tidak mempunyai matlamat yang jelas, matlamat yang berpandukan kerana Allah semata-mata, maka apa pun pekerjaan yang dilakukan hanya akan menyesatkan kita dan menjadi sia-sia. Golongan ini lebih suka mengikut arus zaman daripada berfikir lebih jauh. Mereka perlu dipimpin dan disedarkan, kerana mereka sedang diperkotak-katikkan oleh nafsu dan pengaruh luar.

Sepatutnya difikirkan, menggunakan pemikiran kritikal; Apa yang aku lakukan ini untuk apa? Atas tujuan apa? Adakah niat aku kerana  Dia? Atau aku hanya tidak mahu ketinggalan dengan zaman? Tanyakan pada hati masing-masing. Dan seharusnya dalam mengupas ilmu perlu untuk kita kaji, siapa yang menyatakan ini? Apakah latarbelakangnya? Ini semua adalah persoalan yang sepatutnya difikirkan sebelum bergerak lebih jauh. Harus diingat, apabila mengkaji dan memandang sesuatu, kajilah dengan iman, kerana keimanan kita yang akan mengimbangkan diri agar tidak terus membuat konklusi dan akhirnya terus sesat. Iman itu yang membantu kita untuk bersabar mencari jawapan, hikmah. Ini semua merupakan pembaziran waktu, sumber dan tenaga, yang menjatuhkan anak muda.

Oleh itu, kita yang lebih faham dan mendalami harus bangkit dan berikan kefahaman kepada orang-orang di luar sana, membaca dan mendalami ilmu agama sebaik mungkin. Masih ramai golongan ini yang tidak disedarkan. Kita tidak mahu  generasi yang akan menjadi pelapis bagi pemimpin ini adalah terdiri dari orang yang masih hanyut dan terperangkap dengan serangan pemikiran Barat. Penting untuk generasi akan datang dan anak muda punyai fikrah Islam, matlamat dan agenda jelas, dalam memartabatkan agama, bangsa dan Negara.

Sabrina binti Zaifulizan

Aktivis PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top