KUANTAN, 22 Julai 2011 – Satu forum bertemakan “Antara Ijazah dan Risalah” telah berlangsung dalam Perkhemahan PEMBINA Pahang 2011 di sini menampilkan Usamah Izer, Ketua Jawatankuasa Aktivisme Mahasiswa (JKAM) PEMBINA. Beliau yang berpengalaman dalam senario dakwah kampus telah banyak membincangkan soal keseimbangan antara pelajaran dan aktivisme dakwah kampus.
Dalam forum tersebut, Usamah telah menekankan 4 perkara yang menentukan kejayaan dakwah dan akan membantu dalam keseimbangan dengan pelajaran. 4 perkara tersebut adalah: Niat, pasukan, suasana, dan objektif sasaran.
Mengulas saranan-saranan beliau, Usamah amat menekankan kelurusan niat sebagai titik tolak utama kepada kejayaan dakwah, mahupun pelajaran. “Masih belum terlambat memperbetulkan apa yg silap, meluruskan yg bengkok & bermuhasabah seketika. Perjalanan yg jauh bermula dengan langkah yg pertama. Pastikan langkah itu tepat,” ujar beliau. Usamah kemudian menekankan kepentingan kerja berpasukan untuk mengelakkan ahli dari terpaksa melakukan semua kerja, merasa tertekan, dan akhirnya terkorban meninggalkan aktivisme kesukarelawan yang mulia. Seterunya, beliau membawa simulasi bagaimana suasana yang betul mampu mempengaruhi produktiviti dan keberkesanan sesuatu kerja, termasuk dalam aktiviti dakwah. Akhir sekali, Usamah mengajak hadirin menentukan sasaran-sasaran yang ingin dicapai dalam kehidupan mahupun sumbangan-sumbangan terhadap agama dan bangsa.
Jelas beliau, sekiranya ke-empat-empat perkara ini wujud dengan baik, maka ia akan melancarkan, memudahkan serta menjadikan aktivis merasa ringan dengan bebanan-bebanan yang ditanggung, sungguhpun ianya luar biasa.
Forum “Antara Ijazah dan Risalah” tersebut turut menampilkan aktivis-aktivis PEMBINA yang lain iaitu Dr. Syazwani Jaafar Sidek, Farhan Abdul Latep dan dikendalikan Zol Helmi Md Zuki, yang pulang bercuti dari University of Manchester, UK.