20 Oktober , UPM – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah berjaya mengadakan Himpunan Mahasiswa (HIMMAH 2013), bertempat di Kompleks Kesenian dan Kebudayaan Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, di sini semalam. Bertemakan “Aktivisme dan Kepimpinan”, program ini berjaya menghimpunkan lebih daripada 1000 orang mahasiswa ahli PEMBINA dari serata pelusuk tanah air.
Majlis yang berlangsung bermula dari pukul sembilan pagi itu, dirasmikan oleh Presiden PEMBINA Pusat, saudara Ibrahim Mohd Hassan. Satu ayat keramat yang dilontarkan kepada mahasiswa yang hadir ialah, “kepimpinan dicipta dan bukan dilahirkan”.
Program ini dilihat berjaya memberikan nafas baru bentuk perjalanan majlis kerana ia menggabungkan dua aspek formal dan tidak formal. Slot tidak formal dikendalikan oleh saudara Hasan Syahidi berjaya menghidupkan suasana yang gembira tetapi meyakinkan para hadirin bahawa mereka adalah bakal pemimpin masa hadapan.
Pada program ini, 3 slot pembentangan kertas kerja dan satu forum telah dilaksanakan dengan jayanya. Dengan gabungan generasi lama dan baru menunjukkan kesinambungan kepimpinan yang berpandu.
Slot kertas kerja pertama yang bertajuk : “Kepentingan Penguasaan Islam Dalam Pertembungan Tamadun” dibentangkan oleh Ustaz Fauzi Asmuni, yang juga selaku Naib Presiden 2 ISMA Pusat. Secara sekilas, beliau menyatakan Islam adalah agama asbab musabab, tiada yang berlaku dengan mudah dan tanpa usaha keras untuk kejayaan Islam. Beliau juga menyatakan, “setiap kelahiran mesti disertai dengan darah dan pengorbanan” sebelum mengakhiri ucapan beliau.
Pembentangan kertas kerja kedua telah disampaikan oleh Saudara Iqbal Hakim Abdul Razak merangkap JK Latihan & Kepimpinan PEMBINA Pusat. Bertajuk “Mengungkap Sejarah Kepimpinan Beraktivisme dan Memimpin”, beliau mengupas sedikit sebanyak sirah nabawi bagaimana tindakan para sahabat dalam melakar sejarah kepimpinan. Beliau memberikan sebuah idea bagaimana sikap serta tindakan yang seharusnya ada pada seorang pemimpin yang ingin bergerak kehadapan.
Ustaz Dr. Aznan Hasan selaku pembentang kertas kerja ketiga serta merangkap Yang DiPertua Majlis Ulama ISMA (MUIS) membentangkan tajuk : Transformasi Minda: Kita Adalah Pemimpin. Beliau mengatakan, “seharusnya seorang pemimpin mampu mempengaruhi orang lain”. Tegas beliau lagi seorang pemimpin mampu menggerakkan seseuatu organisasi untuk mencapai sesebuah matlamat. Tambah beliau lagi, sesuatu pergerakan boleh terjejas secara keseluruhannya bila mereka tidak mampu meletakkan ‘alawiyat mereka dengan tepat. Di akhir-akhir pembentangan, beliau menaqalkan kata-kata Saidina Umar r.a,” aku tidak melihat orang yang paling lemah dalam mendapat kemuliaan melainkan orang yang mempunyai himmah yang rendah”.
Slot forum mengakhiri program HIMMAH 2013 menampilkan beberapa muka yang terkemuka seperti Eng Norzafry Norhalim, mantan presiden PEMBINA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Felo Himpunan Keilmuan Islam (HAKIM) serta Farah Alina Abd Aziz, ketua Beliawanis PEMBINA Perlis. Slot yang dipengerusikan oleh saudara Azril Hanafi itu, telah mengupas dari segi sejarah pergerakan mahasiswa di Malaysia, halatuju perjalanan pergerakan mahasiswa, serta sumbangan beliawanis dalam menambah baik sesebuah organisasi.
10 resolusi telah dicapai diakhir majlis HIMMAH 2013 yang berkisar tentang keboleh pasaran potensi mahasisiwa terhadap masyarakat secara persendirian serta secara perkumpulan. Diharapkan HIMMAH 2013 kali ini mampu membuka ruang dan peluang bagi ramai mahasiswa serta diluar sana untuk menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat amnya dan kepada Islam khasnya.