Liberal, Liberalis, Islam Liberal & Liberalisme Di Malaysia

Golongan ini semakin menonjolkan diri semenjak peristiwa  11 September 2001,  ketika umat Islam dilanda krisis dan fitnah yang dilemparkan oleh Barat dan pendokong-pendokong mereka. Ada pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh, cuba menjadi wira dengan memperkenalkan “moderate muslim”, kononnya bagi menunjukkan ajaran Islam itu ramah (Islam baru yang lebih ramah), walhal agama Islam sudah sememangnya ramah dan sememangnya bersifat wasatiyah. Mereka bukanlah meramahkan Islam sebaliknya meremehkan hukum dan ketetapan Islam itu sendiri. Semestinya golongan ini mendapat pengiktirafan dan sumbangan dari Barat sama ada dari segi peruntukan dan sebagainya.

Siapakah mereka?

Mereka ialah pendokong dan penganut Islam Liberal yang menjadikan ideologi liberalisme  sebagai pegangan mereka.

Umat ini memang ditimpa pelbagai masalah dan musibah, tetapi penyelesaiannya bukanlah dengan mengimport ideologi-ideologi kufur yang bertuhankan selain Allah  ataupun menempelkan ideologi-ideologi ini pada Islam. Bahkan mereka  menjadikan Islam semata-mata sebagai “cosmetic make-up” bagi mengaburi mata umat, sedangkan di sebaliknya mereka membawa satu agenda Kristianisasi yang sangat halus. Kristianisasi ini bukanlah semata-mata mengkristiankan orang Islam, tetapi sudah cukup dengan mengeluarkan orang Islam daripada pegangan mereka yang asal.

Saya tidak ingin merungkai panjang sejarah asal liberalisme, tetapi kita perlu mengetahui bahawa liberalisme adalah kesinambungan sekularisme iaitu pengasingan agama daripada pengurusan pemerintahan dan kehidupan.  Liberalisme ialah ideologi yang lebih “advance” iaitu manusia mempunyai kebebasan mutlak dalam tingkah laku mereka tanpa terikat kepada undang-undang atau penetapan dan meletakkan neraca akal dan logik melebihi segala-galanya termasuk neraca wahyu. Kebanyakan penganut Islam Liberal menggelarkan diri mereka sebagai reformis dan golongan ‘renaissance’ yang kononnya membawa perubahan pada masyarakat, padahal mereka hanya meruntuhkan sesuatu yang sudah kukuh tanpa membina sesuatu yang baru. Secara ringkasnya mereka hanya ada kemahiran meruntuhkan tanpa kemahiran membina.

Jika kita menyingkap kembali isu-isu yang berlaku di sekitar tahun  2012 di Malaysia, daripada isu murtad dan kristianisasi hinggalah  isu kemasukan tokoh liberal ke negara ini, dapat kita lihat corak dan strategi mereka yang akan menangguk di air yang keruh, berusaha mempamerkan diri mereka sebagai penyelamat dan penyelesai masalah bahkan menggambarkan pihak berautoriti agama sebagai pihak yang bersalah.  Antaranya dalam isu LGBT, Erykah Badu, Hamzah Kashgari, Irshad Manji dan isu terbaru berkenaan gerakan Syiah di Malaysia.

Jika diteliti kenyataan-kenyataan mereka khususnya Islamic Renaissance Front (IRF) terhadap isu-isu berkenaan, mereka sering memetik dan menterjemahkan ayat 256 daripada Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Tiada paksaan dalam urusan agama,” dan menggunakan ayat ini bagi menyokong slogan “freedom of speech” iaitu kebebasan suara. Sedangkan ayat ini sebenarnya bermaksud, “Tiada paksaan dalam menganut agama Islam”,  dan ayat ini ditujukan kepada golongan bukan Islam yang mana mereka tidak boleh dipaksa untuk menganut agama Islam. Bagi penganut Islam pula, setelah menganut agama Islam, mereka perlulah mengikuti dan mentaati perintah arahan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dan terikat kepada peraturan dan undang-undang Islam.  Kebebasan bersuara melebihi sempadan syara’ bukanlah suatu yang bersifat moderat bahkan ekstrim  dalam bersuara, sehingga ke tahap menafsirkan Al-Qur’an sesuka hati mengikut nafsu mereka. Neraca mereka bukanlah Al-Qur’an, Sunnah,  Ijma’ Ulamak dan Qiyas lagi,  tetapi ‘sunnah’ Human Right Watch dan Deklarasi Universal Hak-Hak Asasi Antarabangsa (Universal Declaration of Human Rights (UDHR) 1948). Bahkan sewenang-wenangnya berijtihad menggunakan dalil-dalil syaral dengan menggunakan logik akal tanpa berpandukan kaedah-kaedah syarak yang betul dan syarat-syarat yang telah ditentukan.  

Siapa di sebalik mereka?

Jika dilakukan sedikit kajian, di sebalik golongan Islam Liberal ini terdapat pemikir-pemikir barat seperti Cheryl Benard, Benard Lewis, Richard Nixon dan beberapa orang lagi yang sebahagian besarnya terlibat dalam penafsiran Islam Liberal.  Usaha pembiayaan golongan liberal ini juga berjalan secara terancang bagi mengangkat golongan ini di mata dunia. Setelah Barat memecahkan umat Islam kepada kelompok ‘fundamentalist’ dan ‘moderate’ mengikut tafsiran mereka sebelum ini, mereka cuba mencipta pecahan kelompok Islam yang baru iaitu Islam Liberal dengan menggunakan nama Moderate Islam, yang mana diangkat sebagai Islam yang dikatakan sederhana dan melabelkan golongan fundamentalist sebagai golongan yang ekstrim dan radikal.Mengikut laporan tahunan 2010 oleh National Endowment of Democracy (NED) yang diterbitkan pada Ogos 2011, terdapat beberapa organisasi di Malaysia yang menerima dana yang dibiayai mereka bagi mempromosi usaha-usaha demokrasi yang selari dengan objektif NED (Amerika Syarikat), antaranya media online seperti Malaysiakini, dan badan NGO hak asasi manusia seperti SUARAM. Pembentukan golongan moderat  ini bagi membentuk persekitaran politik dan undang-undang di negara Islam seperti yang dicita-citakan oleh Barat, mengikut acuan mereka.

 

Umat Islam perlu melihat permasalahan ini dari sudut pandangan yang lebih luas dan dalam, tanpa terperangkap dalam kotak pemikiran yang sempit termasuk melalui perspektif politik kepartian. Kita perlu sedari bahawa peperangan sekarang ialah peperangan arus globalisasi, antara Arus Globalisasi Barat dan Arus Globalisasi (‘Alamiyah) Islam. Arus mereka berpadu dan bersepakat dalam mengikis jati diri umat Islam termasuklah umat Islam Melayu di Malaysia. Penting bagi pihak kerajaan, pembangkang dan rakyat untuk menilai apakah aulawiyat (keutamaan) semasa, dalam menjaga kepentingan orang Melayu selaku majoriti umat Islam di negara ini. Kesepakatan tanpa kompromi amatlah perlu dalam membendung ideologi-ideologi ini. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah.

Tahniah  diucapkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia atas usaha beliau meletakkan Agenda Islam Dalam Transformasi Negara dan juga jaminan yang diberikan bahawa LGBT, liberalisme dan pluralisme tidak akan mendapat tempat di negara ini. Begitu juga cadangan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS agar penetapan Islam sebagai cara hidup diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia.

Komitmen semua pihak, tidak kira pihak kerajaan, pembangkang, kerajaan-kerajaan negeri, pentadbiran pusat dan negeri, agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, tokoh-tokoh masyarakat serta seluruh rakyat dan warganegara tanah air tercinta ini untuk memelihara serta mengukuhkan lagi kedudukan agenda Islam di dalam negara menjadi satu jaminan dan imunisasi awal ke arah melihat kedudukan Islam akan terus terpelihara buat generasi akan datang.

 

Rujukan :

Oleh:

Muslim Bin Abdullah Zaik,

JK Aktivisme Mahasiswa,

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Gombak.

2 thoughts on “Liberal, Liberalis, Islam Liberal & Liberalisme Di Malaysia”

  1. nurul shahira

    nice…baru saya perasan…ada hikmah ustaz saya suruh cri pasl ISLAM LIBERAL DI MALAYSIA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top