Beraktivisme Tapi Hati Kering

Teringat satu ketika dahulu, saya pernah diasak dengan soalan..

“Kenapa hati rasa tak puas walaupun kita dah aktif dalam banyak program? Bukan program biasa, program agama.. program dakwah pula tu!”

Lama saya termenung. Kerana dahulu saya juga pernah berkongsi perasaan yang sama. Kita ingin meleburkan masa muda dengan mengaktifkan diri dalam pelbagai aktiviti bersama masyarakat, tetapi hati masih juga rasa kosong. Tak puas! Rasa kering!

Saya turut memerhati keadaan masyarakat secara umum, juga di tempat belajar sendiri. Lambakan program-program agama sentiasa ada untuk menjadi santapan masyarakat kampus. Namun, kenapa graf akhlak mahasiswa masih tidak berubah. Kekal statik ataupun lebih dahsyat lagi iaitu terus menurun.

Ramai juga yang mempersoalkan, kenapa sampai sekarang khilafah Islamiyah masih belum tertegak di atas muka bumi?  Maka, mari kita cuba periksa kualiti ibadah tentera-tentera muda yang mengaku pejuang Islam. Kita lihat sultan Muhammad Al-Fateh, bukan sekadar pakar dalam ketenteraan tapi kekuatan utama yang menjadikan Kota Kostantinopel dalam taklukannya ialah kerana bukan sahaja beliau menjaga solat, bahkan para tenteranya juga!  Baik yang berada di saf hadapan, mahupun belakang. Inilah sebenar-benar faktor kemenangan.

Kembali ke alam realiti kampus. Ramai mahasiswa aktif beraktivisme. Keluar masuk kampung, turun naik pentas untuk mengajak manusia ke arah kebaikan. Tetapi, dalam masa yang sama solat mereka tidak dijaga pada waktunya, bagi yang lelaki pula sudah hilang rasa ketanggungjawaban untuk solat berjemaah di masjid, bersembang dan bergelak ketawa antara aktivis lelaki dan perempuan sudah menjadi perkara biasa, dan pelbagai lagi kudis-kudis yang tak disedari oleh golongan muda ini.

Melihatkan perkara ini, saya teringat kata-kata ustaz Pahrol Mohd Juoi di dalam bukunya Beduk Diketuk, kata beliau, “mustahil bagi orang yang sakit untuk merawat orang lain yang sakit”. Aktivis yang tidak ada kekuatan ruh, tidak akan mampu memberi ruh kepada masyarakat di sekeliling mereka.

Sebab itu, setiap mahasiswa perlu mempunyai asas yang kukuh. Tidak cukup dengan sekadar aktif beraktivisme, tetapi, tidak dapat tidak mereka harus disuntik dengan dos-dos tarbawi seperti usrah, qiyamullail dan lain-lain lagi secara istiqamah, bukan melalui proses tarbiyyah secara on-off mahupunpart-time. Proses tarbiyyah yang berkualiti dan berterusan amat penting bagi setiap aktivis supaya Islam ditegakkan dalam diri mereka terlebih dahulu. Sebagaimana kata-kata Sheikh Mustafa Mashur:

 “Perbaiki diri kamu dan ajaklah manusia ke arah kebaikan”

 

Formula yang mudah:

 Aktif berprogram + Mantapkan amal ibadah = Hasil yang berkualiti + Hati sentiasa basah

 Tidak rugi bagi orang-orang yang sentiasa bermuhasabah. Semoga kekuatan tenaga yang kita sumbangkan kepada ummah sentiasa disertai dengan keperkasaan ruh dalam diri. Jaga amal fardi, inshaAllah kehebatan yang lain akan turut menyertai.

 Akhir kata, mari kita renung sebahagian wasiat saidina Umar al-Khattab kepada Saad bin Abi Waqas sewaktu pembukaan kota Parsi:

 Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhkan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam.

 Moga yang bertinta itu sendiri terlebih dahulu mengamalkannya.

وذكر فإن الذكرى تنفع المؤمنين

الذاريات:55

Penulis adalah Siti Radhiah Syahida Bt. Mohd Hamdan merupakan JK Aktivisme Mahasiswa PEMBINA GOMBAK. Beliau merupakan ikon beliawanis PEMBINA Gombak, kenali lebih lanjut mengenai beliau di sini

Sumber: Laman sesawang PEMBINA Gombak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top