‘Tahniah! Anda Berjaya ditawarkan kemasukan ke Asasi Sains UiTM.’

Masih ingat lagi, bagaimana perasaan tatkala mendapat keputusan UPU dan matrikulasi?

Tahniah buat pelajar lepasan SPM 2017 yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran sama ada ke matrikulasi, asasi mahupun diploma.

Mengitung saki baki hari dan mengenang diri yang akan meninggalkan keluarga, tambahan pula di bulan Ramadhan, pasti hati menjadi tidak keruan. Antara gembira, tidak sabar, gementar dan bermacam lagi gelora perasaan yang bermain di jiwa untuk berhadapan dengan fasa dalam kehidupan kita yang paling penting selepas waktu persekolahan. Suatu fasa di mana kita akan menuju suatu tahap dalam kehidupan yang kita panggil sebagai mahasiswa.

Wahai bakal mahasiswa, bagaimana persiapan anda? Di sini kami akan kongsikan 10 tips persediaan untuk anda melangkah kaki ke fasa hidup yang seterusnya!

 

TIPS #1

Dapatkan maklumat mengenai pengangkutan pulang ke kampung halaman, terutamanya buat mereka yang pertama kali berjauhan dengan keluarga. Bagi mereka yang akan pulang berhari raya ke Pantai Timur dan Utara tanah air pada hujung Jun 2017 ini, bolehlah terus beli tiket untuk pulang berhari raya kerana kebiasaannya tiket ke kawasan ini akan cepat habis. Melainkan anda bersedia untuk beraya di perantauan.

Bagi pelajar yang akan merentas Laut Cina Selatan, sama ada daripada Kepulauan Borneo ke Semenanjung atau sebaliknya, boleh semak cara bagaimana untuk menempah tiket kapal terbang. Tapi, kebiasaannya pelajar Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung jarang pulang melainkan apabila cuti semester panjang. Jangan bersedih kerana inilah peluang untuk merasai keunikan budaya di Malaysia. Bolehlah beraya di rumah kawan-kawan di Semenanjung ini.

 

TIPS #2

Semak tempat yang berkenaan untuk tujuan pengeposan barang. Biasanya ada saja pelajar yang baru mendaftar tertinggal dokumen penting atau barang yang berkenaan yang perlu diberikan semasa pendaftaran atau sepanjang minggu orientasi. Makanya, eloklah bersedia dengan maklumat asas seperti pejabat pos berhampiran dan alamat kolej kediaman atau asrama untuk menerima barang yang diposkan.

 

TIPS #3

Antara momen yang melucukan apabila melihat gelagat pelajar yang baru mendaftar ialah apabila melihat gelagat mereka membawa barang keperluan bagaikan hendak dibawa satu rumah ke asrama. Untuk memudahkan, sebenarnya tak perlu bawa barang terlalu banyak sebab kebiasannya di hostel atau asrama di matrikulasi atau kolej kediaman pelajar mesti ada kedai untuk membeli barang keperluan. Biasalah, ibu bapa biasanya risau apabila berjauhan dengan anak mereka. Makanya, akan dibekalkan segala macam bekalan dan makanan supaya anaknya tidak kelaparan atau rindu masakan emak.

Kena belajar ya untuk bersahur tanpa masakan mak, biasakan lah cicah biskut dengan air saja untuk juadah sahur paling minimum.

 

TIPS #4

Semasa orientasi, para pelajar biasanya akan dibawa melawat kawasan kampus dan mengenali tempat-tempat penting untuk kemudahan pelbagai urusan. Selepas orientasi tamat, bolehlah ajak rakan-rakan sekelas yang baru kenal untuk melawat kawasan fakulti atau kenal kawasan dewan kuliah. Kadang-kadang, ada jadual kuliah yang diletakkan pada papan kenyataan di kawasan fakulti. Jangan lupa ambil gambar dan kongsikan dengan rakan sekelas jadual kuliah anda. Parti mereka pun teruja untuk memulakan pengajian!

Sekiranya lokasi fakulti jauh daripada kolej kediaman, bolehlah cuba menaiki kenderaan yang disediakan oleh pihak universiti. Sekurang-kurangnya anda tidak perlu kalut ketika hari pertama kuliah bermula.

 

TIPS #5

Apabila sudah mendapat jadual kuliah, tutorial, amali di makmal dan sebagainya, cuba lihat di mana adanya slot-slot kosong. Rancanglah bagaimana anda dapat memanfaatkan masa yang terluang untuk menyertai program-program anjuran persatuan yang ada di varsiti anda.

Sekiranya anda berminat, anda boleh menyertai PEMBINA kerana PEMBINA menyediakan pelbagai medium untuk beraktivisme baik daripada segi kepimpinan, organissi, pengislahan diri, dan banyak lagi.

Menyusun jadual adalah tips orang berjaya mendapat dekan. Percayalah!

 

TIPS #6

Kenali tempat-tempat belajar yang menarik dalam kampus.

Kenali kekuatan anda, suasana persekitaran yang bagaimana yang dapat menyumbang kepada suasana yang kondusif untuk gaya belajar anda. Sekiranya anda sukakan suasana yang sunyi, aman dan damai seperti di perpustakaan, maka kemudahan perpustakaan di universiti dan matrikulasi adalah lengkap dan selesa. Manfaatkanlah kemudahan yang disediakan supaya yuran yang anda bayar setiap semester berbaloi. Teroka kemudahan lain yang ada seperti kemudahan sukan, kemudahan pusat Islam dan kemudahan lain yang ada untuk membantu anda menjadi mahasiswa yang cemerlang.

 

TIPS #7

Jangan lupa bahawa ana diwajibkan mengambil peperiksaan MUET. Bergantung di mana anda belajar. Sekiranya tiada kelas khas untuk MUET disediakan, maka anda perlu mencari alternatif sendiri untuk belajar. Peperiksaan MUET boleh diambil awal. Kebiasaannya yang terawal ialah pada sesi bulan Julai. Kelebihan mengambil MUET awal ialah, anda boleh ulang semula peperiksaan MUET sekiranya belum dapat band yang memuaskan.

 

TIPS #8

Tips ini penting. Sebagai seorang pelajar pra-ijazah, kita perlu belajar membina keyakinan diri semasa melakukan pembentangan. Anda boleh membina keyakinan diri melalui PEMBINA dengan menjadikan diri anda bergerak aktif, produktif, berani dan bermanfaat untuk ummah dan Islam. PEMBINA menyediakan landasan untuk anda membina jati diri dan membentuk personaliti dan ciri kewibawaan.

 

TIPS #9

Tips ini sangat penting, Carilah biah (suasana) solehah dengan cara berkawan dengan orang soleh/ah. Selain daripada persiapan material, kewangan dan sebagainya, bakal mahasiswa juga perlu bersiap daripada segi pembinaan jati diri seorang muslim. Bukankah mendapat redha Allah adalah impian setiap insan? Jadi, mulalah mencari rakan-rakan yang dapat membawa kita lebih dekat kepada Allah. Sertai pengajian-pengajian dan usrah yang ada di kampus. Berkawan dengan mereka yang mempunyai impian dan matlamat hidu kerana mereka inilah yang akan bersama-sama kita mengharungi bermacam cabaran yang akan mendatang semasa bergelar mahasiswa.

Jadi, silalah bersahabat dengan sahabat-sahabat yang beriman. Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 14-15:

Orang-orang Arab badwi berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: “kami telah Islam”. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

 

TIPS #10

Tips kewangan. Bagi pelajar matrikulasi dan asasi, anda tidak perlu risau kerana anda akan diberikan elaun setiap semester. Manfaatkanlah elaun tersebut untuk menguruskan perbelanjaan harian dan untuk membeli buku rujukan serta keperluan untuk bekajar yang lain. Tetapi, sebelum mendapat duit elaun tersebut, silalah berjimat cermat menggunakan wang anda sendiri atau wang yang diberikan oleh ibu bapa. Ingat, walaupun ibu bapa kita dapat memberikan wang kepada kita setiap bulan, belajarlah teknik asas menguruskan wang dan menabung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Untuk pelajar diploma mahupun ijazah, semak prosedur mengenai permohonan PTPTN dan bantuan pelajaran yang lain beserta dengan tarikh-tarikh penting untuk menghantar permohonan. Semasa minggu orientasi, mungkin aka nada taklimat mengenai kewangan. Jadi anda boleh bertanya dan fahamkan supaya urusan menjadi mudah. Ketahui hak sebagai seorang pelajar seperti zakat pelajar, bantuan kewangan dan sebagainya. Anda boleh memohon sendiri melalui pusat zakat negeri masing-masing.

Tidak salah untuk anda belajar menambah duit poket dengan merancang perniagaan sambilan.

Semoga 10 tips persediana sebelum melangkah kaki ke universiti dan matrikulasi ini bermanfaat untuk anda yang akan memulakan langkah yang baru! Seorang yang Berjaya, mereka mempunyai impian dan cita-cita yang tinggi. Dalam mengurus impian yang dikerjar, kita perlu menentukan prioriti dalam kehidupan.

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal- amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar menukar (keadaan) mereka sesudah mereka berada di dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku “. (An-Nur, 55)

Jangan lupa untuk menyertai PEMBINA di IPT/Matrikulasi anda kerana bersama PEMBINA, anda akan dapat lebih banyak tips dan perkongsian bersama rakan-rakan anda. Bersama PEMBINA merealisasikan impian untuk melahirkan sosok tubuh intelek Muslim yang meletakkan akhirat sebagai tujuan utama hidupnya.

Author PEMBINA JKP

More posts by PEMBINA JKP

Leave a Reply