Tarkbir Hari raya Meraikan Kemenangan pejuang anti-bahasa Melayu

Dalam kemeriahan kita menyambut Syawal di Malaysia, ada pihak yang sedang meraikan “kemenangan” dalam perjuangan mereka. Takbir raya kali ini, seolah-olah dirasakan oleh penulis seperti meraikan “kemenangan” itu bersama mereka. Buat anak muda khususnya mahasiswa yang masih lagi leka, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberi kolonggaran kepada Pegawai Perubatan Gred U41 “Houseman Officer” yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk tidak perlu lulus Bahasa Melayu peringkat SPM sebagai syarat untuk berkidmat secara kontrak dalam perkidmatan kerajaan. Ini bermakna, graduan perubatan tanpa perlu lulus Bahasa Melayu, boleh menjalani latihan siswazah selama 2 tahun, dan khidmat wajib selama 2 tahun sebagai Pegawai Perubatan Gred U41 di mana-mana hospital KKM.

Syarat yang diletakkan dalam pekeliling perkhidmatan oleh JPA untuk lulus subjek Bahasa Melayu SPM hanyalah pada Gred E iaitu sekitar 40-44 peratus markah. Bagaimana seorang doktor yang dikatakan bijak pandai tidak  mahu serta enggan mengambil SPM atau Bahasa Melayu peringkat SPM yang dibuat bagi peringkat pelajar berusia 17 tahun. Ini bukan lagi soal kompetensi atau keupayaan pembelajaran tetapi ia merupakan soal tidak mahu menjalani sistem pendidikan yang dianjurkan mengikut norma dan pengalaman negara Malaysia.

Sebenarnya, dalam diam sejak 23 Febuari 2017 lagi, JPA telah memberi kelonggaran ini, menurut kenyataan akhbar oleh Dato’ Dr Noor Hisyam Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pada 2 Julai 2017. Dalam kenyataan itu juga menjelaskan, untuk perlantikan secara tetap, Pegawai Perubatan perlu lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32). Graduan Perubatan ini perlu mendaftar sebagai Calon Persendirian SPM dengan kelulusan Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk mengambil mata pelajaran tunggal Bahasa Melayu tanpa perlu menduduki mata-mata pelajaran yang lain bagi memenuhi syarat perkidmatan ke jawatan tetap nanti.

Apa yang membimbangkan penulis adalah kesan jangka panjang ke atas perpaduan rakyat Malaysia pada masa hadapan. Bayangkan sudahlah graduan ini keluar dari sistem pendidikan kebangsaan tanpa mengambil SPM, kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negara tanpa mempelajari Bahasa Melayu, pulang ke Malaysia, dibenarkan pula berkhidmat secara kontrak tanpa perlu lulus pun Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan Malaysia. Di mana jati diri seorang negara bangsa seandainya inilah rakyat kita yang sedang dilahirkan. Ketika rencana ini siap ditulis, penulis masih tertanya-tanya, di mana graduan ini belajar mengenai sejarah negara Malaysia kerana tiada pun mata pelajaran sejarah yang telah dijadikan mata pelajaran wajib lulus Lembaga Peperiksaan Malaysia sejak 2013 lagi.

 

Wan mohd amir B wan mohamad Zaharuddin

Ahli Kolumnis Pembina

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top