Solidariti untuk Turki dalam isu bangsa Palestin di Gaza

Sidang media Solidariti Untuk Turki

Ustaz Abdullah Zaik, Pengerusi Eksekutif Aman Palestin (tengah) membacakan kenyataan beliau. Turut serta adalah Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Naib Presiden II ISMA (kanan) dan Ustaz Salman Abdul Rahman, Ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA (kiri).
Tragedi serangan Tentera Israel ke atas Konvoi Lifeline For Gaza (LL4G) yang mengorbankan 20 orang aktivisnya dan mencederakan 30 yang lain telah melahirkan harapan baru terhadap perjuangan pembebasan kepungan terhadap Gaza iaitu kerajaan Turki yang menjadi penaung kepada projek konvoi tersebut.

“Pendirian Turki yang mulia ini perlu disokong dan didokong dengan kuat. Justeru kami ingin menyatakan sokongan padu kepada kerajaan Turki khususnya Erdogan atas pendirian tegas terhadap penjenayah Israel”, jelas Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang juga Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad pada sidang media Perhimpunan Solidariti “End The Siege” di sini hari ini.

“Sehubungan itu ISMA, Aman Palestin dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) akan menganjurkan satu Perhimpunan Solidariti “End The Siege” bertempat di perkarangan Kedutaan Turki, Jalan U-Thant, Kuala Lumpur jam 11.00 pagi esok”, tambahnya lagi.

Menurut Abdullah lagi, beberapa tindakan yang diambil oleh kerajaan Turki amat dihargai dan mendapat sokongan penuh antaranya kecaman serangan Tentera Zionis sebagai “serangan berdarah” dan tindakan menarik balik Dutanya ke Israel, meminta kerajaan Israel meminta maaf di atas kejadian tersebut dan menghantar misi bantuan kedua ke Gaza.

“Kami bersama dengan kerajaan Turki atas naungannya terhadap konvoi LL4G. Kami mengharapkan kerajaan Turki supaya meneruskan sokongan terhadap usaha membebaskan Gaza daripada kepungan. Kami menggesa agar tidak berundur sama sekali, biar apa pun yeng perlu dicurahkan”, tegas beliau lagi.

Seterusnya pihak Aman Palestin mengumumkan penghantaran konvoi bantuan sebanyak USD 100,000 melalui pintu masuk Rafah sebagai tanda sokongan terhadap usaha berterusan memecahkan kepungan ke atas Gaza.

“Sebagai tanda sokongan kami yang berterusan untuk usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza, Aman Palestin mengumumkan penghantaran konvoi bantuan melalui pintu masuk Rafah sebanyak USD 100,000 yang memuatkan barang-barang keperluan asas dan lain-lain”, tambahnya.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Naib Presiden II ISMA dan Ustaz Salman Abdul Rahman, Ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA.

Berikut adalah kenyataan media Perhimpunan Solidariti “End The Siege”:

Kenyataan Media Sempena Perhimpuan Solidariti Di Hadapan Kedutaan Turki

Dunia masih lagi meratap kesedihan atas tindakan ganas komando Israel terhadap konvoi kemanusiaan antarabangsa bagi memecahkan kepungan keatas Gaza. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aman Palestin serta Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) turut bersedih dan mengutuk tindakan tersebut.

Namun di sebalik tragedi yang memilukan itu, serangan Israel ke atas konvoi Lifeline For Gaza (LL4G) yang menyebabkan 20 orang syahid yang kebanyakannya rakyat Turki dan 30 orang yang lain cedera telah menyerlahkan pendirian kepahlawanan yang diambil oleh kerajaan Turki, terutamanya Perdana Menterinya Recep Tayyib Erdogan.

Tidak tersembunyi bahawa kerajaan Turki adalah penaung kepada projek konvoi untuk menamatkan kepungan terhadap Gaza. Turki telah menyatakannya secara terbuka.

Pendirian Erdogan terhadap Israel ternyata mantap dan berani. Erdogan adalah harapan baru kepada umat Islam. Semenjak puluhan tahun kebelakangan ini tiada pemimpin Arab yang berani bangkit mengherdik Israel dan memberi amaran:

“Saya masih teringat kepada kanak-kanak yang terbunuh di tepi pantai, saya masih teringat betapa ramai yang telah anda bunuh di Gaza”, menempelak Peres di Forum Davos, Switzerland.

“Jangan cabar kesabaran Turki”.

“Turki sebagaimana kuat bersahabat, kuat juga apabila bermusuh”.

Pendirian Turki yang mulia ini perlu disokong dan didokong dengan kuat. Justeru kami ingin menyatakan sokongan padu kepada kerajaan Turki khususnya Erdogan atas pendirian tegas terhadap penjenayah Israel.

Kami bersama dengan kerajaan Turki atas naungannya terhadap konvoi LL4G. Kami mengharapkan kerajaan Turki supaya meneruskan sokongan terhadap usaha membebaskan Gaza daripada kepungan.

Kami menggesa agar tidak berundur sama sekali, biar apa pun yang perlu dicurahkan.

Untuk itu, kami dari ISMA, Aman Palestin dan PEMBINA serta beberapa NGO yang lain ingin menyatakan:-

1. Sokongan kepada kerajaan Turki yang mengecam serangan tentera laut Zionis itu yang disifatkan sebagai “serangan berdarah” oleh Perdana Menterinya, Recep Tayyip Erdogan yang telah menyebabkan kematian dan kecederaan kepada beberapa orang aktivis keamanan, termasuk aktivis dari Turki.

2. Sokongan penuh terhadap tindakan kerajaan Turki untuk memanggil balik Dutanya di Israel dan dalam masa yang sama menghentikan rancangan latihan ketenteraan bersama dengan tentera rejim tersebut.

3. Sokongan penuh terhadap kerajaan Turki supaya kerajaan Israel meminta maaf di atas kejadian yang berlaku, memulangkan semua mayat Syuhada’ dan melepaskan semua tahanan serta memberhentikan sekatan terhadap Semenanjung Gaza.

4. Sokongan penuh terhadap kerajaan Turki yang mengatakan bahawa tindakan kerajaan Israel ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengendahkan undang-undang serta mencabul nilai kemanusiaan dan ia mesti dihukum.

5. Sokongan penuh terhadap kerajaan Turki yang ingin menghantar misi bantuan  yang kedua ke Gaza.

6. Bersama-sama dengan kerajaan Turki mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Liga Arab, pihak NATO dan OIC untuk mengadakan mesyuarat tergempar dan menyiasat kejadian yang berlaku serta membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Sebagai tanda sokongan kami yang berterusan untuk usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza, Aman Palestin mengumumkan penghantaran konvoi bantuan melalui pintu masuk Rafah sebanyak USD 100,000 yang memuatkan barang-barang keperluan asas dan lain-lain.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top