Seminar BESI Penuh Pedoman


JOHOR BAHRU 25 April
– Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Negeri Johor telah berjaya menganjurkan program “Seminar Bermulanya Sejarah Ini (BESI)”. Program Seminar BESI yang berlangsung di Bilik Seminar Pejabat ISMA johor berjaya menarik minat para belia terutamanya Mahasiswa dan Mahasiswi mahupun pelajar lepasan SPM yang turut hadir menghangatkan lagi bilik seminar.

Seminar yang berobjektif  meyedarkan kembali para belia tentang tugas, tanggungjawab dan kewajipan sebagai umat Islam untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam ternyata lebih menarik kerana pihak penganjur program telah menjemput dua penceramah dari  yang mempunyai minat dan kemahiran yang luas dalam bidang sejarah dunia Islam khususnya.

Sesi pendaftaran dimulakan pada Jam 8.45 pagi dan para peserta disajikan dengan makanan ringan berupa kuih muih serta the bagi bersiap sedia mendengar pengisian seminar.

Pada jam 9.15 pagi, Slot 1 seminar BESI dimulakan dengan penyampaian yang cukup menarik dari Saudara Mohd Fitri Ezwan bin Ahmad Baki dengan tajuk “Sejarah Dunia dan Ketamadunan Islam”.

Penceramah yang merupakan pelajar perubatan Universiti Monash telah memulakan penyampaiannya dengan sedikit persoalan-persoalan tentang kepentingan mempelajari dan memahami sejarah. Dari situ, para peserta boleh memahami betapa tingginya keperluan sejarah, bukan hanya terbatas di kelas Akademik.

Tambahan pula, para peserta telah didedahkan dengan beberapa aspek penting yang perlu difahami tentang sejarah selaras dengan tuntukan Al-quran dan As-sunnah di mana terdapat banyak perintah untuk kita umat islam melihat kembali kisah-kisah kaum terdahulu supaya dapat diambil iktibar.

Lebih menarik, para peserta turut memahami keunikan sejarah ketamadunan Islam berbanding sejarah tamadun-tamadun yang lain seperti tamadun barat. Salah satu daripadanya adalah tamadun Islam merupakan satu-satunya tamadun yang mempunyai fakta tarikh,waktu, siapa yang memulakan, yang tepat dan jelas sementara tamadun yang lain semuanya tidak dapat dikenalpasti secara tepat oleh ahli sejarah.

Pada Jam 10.30 pagi, program berhenti rehat seketika bagi memberi ruang pada peserta merehatkan badan dan minda seketika sambil menikmati kuih muih dan teh  penyegar badan.

Seterusnya pada jam 11.30 pagi, Giliran Saudara Muhamad Yazid bin Yahya selaku penceramah kedua pula menyampaikan pengisian untuk Slot 2 seminar BESI. Bertepatan dengan tajuknya ” Ini Sejarah Kita”, penceramah telah menerangkan sejarah awal kebangkitan Islam sejak zaman jahiliyyah lagi.

Peserta agak berpuas hati kerana penceramah yang juga pelajar Perubatan Universiti Monash cawangan Johor Bahru telah menerangkan sejarah Islam dari tahun pertama Rasulullah menerima wahyu hinggalah kejatuhan khilafah Islam pada tahun 1924. Walaupun masa yang terhad, terdapat banyak fakta sejarah dan pengajaran yang dapat peserta garap sebanyak-banyaknya.

Saudara Yazid sedang menyampaikan “Ini Sejarah Kita”

Slot kedua Seminar BESI berakhir pada jam 1.00 petang dan peserta mula bersurai sambil meneruskan perbualan tentang pengisian seminar secara tidak langsung.

Saudari Wan Mas Aini bt. Mohamad Idrus, 24 bekas pelajar IPGM Kampus Pendidikan Islam Bangi, yang baru sahaja memulakan karier sebagai seorang guru di Johor Bahru berkata, beliau berasa bertuah kerana dapat mengikuti seminar BESI ini. Beliau yang menyedari akan keperluan untuk sentiasa berkumpul bersama orang-orang soleh mengharapkan agar dapat menghadiri program-program PEMBINA Johor pada masa akan datang

Tambahan pula, Saudari Umi Kalsum bt. Mohd Mobarok, 23, pelajar Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) berkata, selain menyelusuri semula sejarah jatuh bangun Tamadun Islam yang pernah dilaluinya satu ketika dahulu, peluang ini digunakan untuk beliau mengenali PEMBINA Johor dengan lebih rapat.

PIhak PEMBINA Johor mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih buat semua peserta yang member komitmen sepenuhnya dalam menjayakan program seminar BESI ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top