BANGI, 11 Ogos 2014 – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) akan menganjurkan ‘Sembang Santai’ di 100 institut pengajian tinggi di seluruh Malaysia pada pertengahan bulan Ogos.
Pengarah Program ‘Sembang Santai’, saudara Aiman Faudzi, yang juga merupakan ahli jawatankuasa unit kajian PEMBINA ketika ditemubual menyatakan tujuan program tersebut adalah untuk memberi penerangan kepada belia di seluruh Malaysia tentang konsep Malaysia sebagai negara Islam.
“Sebagai seorang muslim, kita perlu sedar akan tanggungjawab umat membangunkan tanah airnya menjadi sebuah negara Islam yang dirahmati Allah, negara yang tertegaknya hakimiah Allah SWT”, ujar saudara Aiman.
“Sehubungan dengan itu, program ini dibuat dengan tujuan ingin mengetengahkan wacana Malaysia sebuah Negara Islam yang lepas di dalam susur galur sejarah yang panjang dengan elemen-elemen sedia ada negara Malaysia”, tambah Aiman lagi.
Beliau memberitahu bahawa arus memperomosi negara dengan fahaman sekular-liberal demokratik semakin menjadi-jadi iaitu dengan meninggalkan konsep negara Islam dan perkara ini sesuatu yang merisaukan.
Menurut beliau, terdapat juga golongan yang ikhlas tetapi keliru dalam membina negara Islam dengan mengambil pengalaman negara barat untuk membangunkan tanah air dan usaha ini tidak boleh dibiarkan dan perlu diperbetulkan.
“Sehubungan dengan itu, melalui program ini, PEMBINA cuba untuk membina semula harapan buat umat Islam di Malaysia ini untuk melihat tanah air ini bangun menjadi sebuah negara dengan rujukan manhaj kenabian, ia mungkin sukar untuk membincangkan suatu khazanah yang besar dalam peradaban Islam”, ujar saudara Aiman.