Perutusan Aidilfitri PEMBINA


الله أكبر الله أكبر الله أكبر
لا اله الا الله و الله أكبر
الله أكبر و لله الحمد

Alhamdulillah segala puji buat Dzat Pemilik Seluruh Alam, dengan limpah kurnia-Nya dapat kita menjalani bulan Ramadhan dengan sempurna. Selawat dan salam buat junjungan Baginda Rasulullah S.A.W, pemandu jalan manusia ke arah kejayaan yang kekal abadi.

Saudara dan saudari,

Di atas kesempatan ini marilah kita bersama-sama menghayati dan menuturkan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T kerana telah diberi peluang sekali lagi untuk menikmati bulan yang penuh keberkatan di dalamya. Semoga segala dosa diampunkan, keburukan dijauhkan, dan semua amal kebaikan diterima Allah S.W.T.

Saudara dan saudari,

Menjelang sudah hari kejayaan dan kegembiraan buat umat Islam secara keseluruhan iaitu Eidulfitri. Falsafah Eidulfitri adalah falsafah kemenangan/kejayaan kita kembali pada fitrah asal manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah S.W.T secara total. Perkara ini selari dengan pengertian Islam yang dijelaskan oleh Sheikh Abu Ala Al-maududi di dalam tulisannya, Asas-Asas Islam iaitu penyerahan diri secara total pada Allah S.W.T baik dalam perkara yang disuruh atau ditegah oleh-Nya. Suasana sebulan di bulan Ramadhan jelas menampakkan pada kita rata-rata umat Islam berlumba-lumba dalam menzahirkan pengabdian ini.

Saudara dan saudari,

Di kesempatan ini juga, Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), sebagai persatuan mahasiswa yang komited dalam agenda pembangunan bangsa, menyeru mahasiswa dan mahasiswi untuk terus berpegang teguh dengan ajaran Islam yang tulen dan syumul. Kita dapat lihat pelbagai jenis cabaran yang sedang melanda umat Islam kini. Kolonial atau penjajahan ke atas umat Islam datang dalam pelbagai wajah dan bentuk yang baharu baik dari sudut falsafah, ideologi dan juga cara hidup yang jauh tersasar dari ajaran Islam yang sebenar.

Saudara dan saudari,

Di akhir kalam ini, marilah kita bersama-sama meneruskan segala amal kebaikan yang telah kita amalkan selama sebulan di bulan Ramadhan dan kita tinggalkan segala keburukan yang telah kita usaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya. Molek untuk kita hayati dan fahami ajaran Allah S.W.T tentang hakikat kehidupan di dunia ini,

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)´´
(Al-Mulk, ayat ke-2)

تقبل الله من و منکم

Ahmad Muslihuddin Rozlan
Timbalan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top