Perkelahan Di Port Dickson

Pada 5 Jun 2010 yang lalu, PEMBINA Negeri Sembilan telah menganjurkan perkelahan ke pantai peranginan terkenal di Malaysia, Port Dickson. Sekitar 30 orang belia yang terdiri dari ahli-ahli PEMBINA dan para pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) cawangan Nilai telah menyertai perkelahan tersebut. Antara matlamat utama perkelahan ini ialah menyemai nilai-nilai ukhuwwah dikalangan peserta dan memperkenalkan PEMBINA kepada para pelajar baru di sekitar Nilai khususnya daripada UIA.

Sekitar pukul 8.45 pagi, semua peserta sudah berkumpul berhampiran dengan Pondok Pengawal UIA. Sementara menunggu waktu bertolak, masing-masing mengambil kesempatan untuk bertaa’ruf serba ringkas antara satu sama lain. Sebagai pembuka acara, Saudara Yasser Ariff selaku Pengerusi PEMBINA Negeri Sembilan memberikan sedikit taklimat untuk menerangkan aturcara program bagi pengetahuan para peserta, dan diselit juga penerangan ringkas mengenai PEMBINA. Selesai taklimat, para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan bagi menaiki kenderaan yang disediakan pihak penganjur.

Sebelum bertolak, doa bermusafir dibacakan seiring dengan sunnah Nabi s.a.w. agar perjalanan dimulai dengan doa agar perjalanan yang dilalui lebih lancar dan diberkati. Konvoi mula bergerak ke Port Dickson sekitar jam 9.15 pagi. Kembara yang memakan masa hampir 1 jam ini amat menghiburkan kerana rata-rata peserta bukan berasal dari Negeri Sembilan dan merupakan kali pertama melihat permandangan di sepanjang perjalanan ke Port Dickson yang begitu indah, mendamaikan lagi mempersonakan dengan kiri dan kanan jalan dihiasi bukit-bukau serta ladang kelapa sawit yang hijau dan meredupkan.

Konvoi tiba di pantai Port Dickson sekitar pukul 10.00 pagi. Bayu laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa ketibaan rombongan kami, lantas masing-masing tanpa melengahkan masa,mengenal pasti lokasi yang sesuai dan barang-barang dipunggah turun. Para peserta ternyata tidak mampu bersabar lagi dan mula berlari-lari anak menuju ke pantai yang menggamit perasaan. Namun sebelum aktiviti rekreasi diteruskan, sedikit ucapan alu-aluan disampaikan oleh Saudara Yasser Ariff diikuti dengan sesi berta’aruf secara lebih dekat sesama peserta termasuk dengan ahli-ahli PEMBINA PD yang hadir. Selesai sesi ta’aruf, aktiviti fizikal dimulakan dengan pertandingan bola sepak pantai di mana masing-masing di bahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan bermain dengan bersungguh-sungguh memerah keringat dengan permukaan pantai yang tidak rata dan beralun membuatkan para peserta agak keletihan mengejar bola. Di sudut yang lain kelihatan sebahagian kumpulan yang bermain bola tampar pantai sambil menunggu giliran kumpulan masing-masing berentap. Setelah puas bermain bola sepak pantai, semua peserta mula turun ke laut untuk bermain polo air. Alhamdulillah aktiviti berjalan dengan lancar dengan cuaca yang redup dan langit cerah membiru yang melitupi bumi Port Dickson.

Selesai mandi-manda, semua peserta kembali ke tepi pantai walaupun ternyata ramai yang masih belum puas. Menu nasi tomato berlaukkan ayam panggang BBQ menjadi santapan tengahari yang cukup membuka selera. Setelah makan, para peserta bersiap mengambil wudhuk bagi menunaikan solat zohor berjemaah di tepi pantai. Selepas solat, para belia disajikan dengan slot tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Umair Norkefli dari PEMBINA PD dan kemudiannya disusuli oleh Dr Noor Azizi, pensyarah USIM . Pengisian yang disampaikan menyentuh peranan belia kini, di mana mereka menegaskan bahawa para belia harus mengambil inisiatif melibatkan diri dengan program-program bermanfaat bagi mengisi keperluan jiwa seorang belia islam. Mereka juga menyelitkan beberapa nasihat dan peringatan yang membangkitkan ruh semangat dalam diri peserta.

Seusai sesi tazkirah, semua peserta perkelahan bersalaman dengan rakan-rakan PEMBINA PD sebelum bergerak untuk pulang semula ke Nilai, walaupun masing-masing agak keberatan untuk meninggalkan Port Dickson. Alhamdulillah konvoi selamat kembali ke UIA Nilai sekitar pukul 3.30 petang. Masing-masing bersalaman dan bersurai menandakan tamatnya program perkelahan kali ini. Diharapkan agar para belia khususnya di sekitar Nilai akan terus melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti anjuran PEMBINA pada masa hadapan. Hal ini bersesuaian dengan hasrat PEMBINA untuk membangunkan potensi yang ada pada belia bagi melahirkan generasi belia islam yang mampu memimpin perubahan untuk agama, bangsa dan negara.


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top