kuasa tular persatuan belia islam nasional pembina

Kuasa Tular: Periksa Imbang Cara Baharu

Pelbagai isu yang tular beberapa bulan yang lalu diantaranya adalah kemasukkan pelakon gay Thailand Krist-Singto ke Malaysia, penganjuran pesta arak Oktoberfest, jualan babi secara terbuka adalah suatu yang mencabar keharmonian kaum dan tidak boleh diterima oleh budaya ketimuran yang telah lama dipupuk didalam jiwa rakyat Malaysia.

Apatah lagi, budaya ketimuran ini didirikan di atas nilai-nilai Islam yang menjadi asas pembentukan Malaysia dengan menjunjung tinggi Islam sebagai agama negara. Dimana hak keistimewaannya tersedia, kedaulatannya dipertahan Raja dan jelata. Inilah yang dipersetujui oleh nenek moyang kita yang berganding bahu membina negara Malaysia yang merdeka. Mereka saling bertolak ansur dan sedar akan hak dan batasannya, bagi memelihara keharmonian sesama kaum dan agama.

Namun, mengapa nilai yang menjadi asas ini semakin berani dipersoal? Seolah ada tangan-tangan syaitan yang sedang mencatur bidaknya bagi merenggut apa yang sudah tersisip erat didalam perlembagaan. Terutama berkenaan isu-isu yang berkait dengan agama Islam. Mungkin tidak melampau jika golongan ini kita gelarkan sebagai Si Kitol kerana sifatnya yang sama sebagai pengkhianat, membunuh dan meruntuh kedaulatan negara daripada dalam.

Percubaan demi percubaan dibawa Si Kitol ini bagi menguji kesabaran dan sensitiviti rakyat Malaysia dan orang Islam secara khususnya. Gerakan penyahpekaan ini dilihat sangat terancang dan ia adalah sebagai satu pasaran ujian untuk menguji sensitiviti orang islam berkenaan isu ini. Semakin kita hiraukan, semakin galak mereka membuat provokasi dan akhirnya bakal menyebabkan rusuhan kaum dan melanggar hak-hak yang sudah terjamin di dalam perlembagaan.

Mungkin ada yang berpendapat kita tidak perlu melayan provokasi-provokasi seperti ini. Namun, dengan kelonggaran toleransi yang melampau dari pihak berkuasa membuatkan marhaen tidak senang duduk akan prosedur atau polisi yang tidak menjaga perkara-perkara asas dalam perlembagaan.

Oleh kerana kekurangan dari pihak berkuasa, kelihatan jelas suatu gelombang kerisauan di alam maya daripada marhaen yang cakna dan sensitif akan kerosakkan acara diatas. Gelombang yang bergema ini membuatkan kerajaan yang masih bayi lagi getas ini mengambil langkah berjaga-jaga dan mengambil perhatian akan SOP penganjuran mereka. Justeru itu, ia bagi memastikan supaya tiada ruang bagi acara-acara yang menghancurkan keharmonian kaum dan meruntuhkan nilai ketimuran seperti ini untuk diadakan di Malaysia.

Hasilnya, lihat bagaimana pengharaman pesta arak itu di beberapa buah negeri seperti Terengganu, Johor dan kini Negeri Sembilan, penutupan 7 reruai yang menjual daging babi secara terbuka di MITC, pembatalan acara ‘meet and greet’ pelakon gay Thailand di Muzium Negara dan penarikan penjualan arak di 7-Eleven Ayer Hitam. Inilah dia hasil dari kecaknaan rakyat Malaysia bagi menegur kerajaaan supaya tidak memandang enteng isu-isu sensitif ini yang bakal merobek keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

Pujian juga harus diberikan kepada Kerajaan Malaysia dan pihak-pihak yang berkenaan kerana sudi memasakkan hati pada kaki bagi mendengar pandangan rakyat. Kami mengharapkan supaya kerajaan yang baharu ini bersedia menerima teguran dan kritikan daripada marhaen.

Pandanglah kritikan dan nasihat ini sebagai pemudahcara untuk kerajaan dalam menilai baik dan buruk bagi rakyat yang mungkin kerajaan kini terlepas pandang akan isu-isu sensitif seperti ini. Akhirul kalam, dengarlah rintihan rakyat dan berdampinglah dengan ilmuwan dan Ulama’ untuk menjadikan Malaysia yang lebih baik.

Muhammad Haziq Mahmur
Presiden Pembina IIUM Chapter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top