PEMBINA sertai KMYEP 2012

Tanggal 31 Ogos hingga 12 September 2012 telah diadakan Program Pertukaran Belia Korea Selatan-Malaysia (KMYEP) yang turut disertai oleh aktivis PEMBINA, saudara Muhammad Farhan Nasri Bin Hamdan. Program ini telah dianjurkan sejak tahun 1979 dan Malaysia merupakan negara pertama yang telah mengadakan pertukaran belia dengan negara Korea Selatan sebelum diikuti oleh negara-negara lain.

Seramai 10 orang peserta dan 5 orang pegawai dari Kementerian Belia dan Sukan telah dipilih bagi mewakili Malaysia ke KMYEP 2012. Peserta-peserta ini telah dipilih daripada kem pemilihan yang berlangsung di Kem PLKN Gambang, Pahang pada Mac yang telah disertai oleh hampir 200 orang belia daripada seluruh negara mewakili pelbagai persatuan belia. Program ini merupakan anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Kementerian Kesaksamaan Jantina dan Wanita Korea Selatan. Ia adalah program susulan selepas kehadiran delegasi belia Korea Selatan ke Malaysia pada bulan Jun yang lepas. Antara objektif utama program ialah mengenal dan mempelajari budaya dua negara di samping memupuk perbincangan dan perkongsian pendapat sesama ahli delegasi secara tid  ak langsung mengeratkan tali persaudaraan dua negara Asia ini.

Ketibaan disambut oleh pegawai dari Korea Youth Exchange Centre

Berlangsung selama 3 hari di Malaysia dan 10 hari di Korea Selatan, program ini dimulakan di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur di mana ahli delegasi Malaysia telah menjalani  program “Pre Departure Training” di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur. Di sini para delegasi telah diberi pendedahan mengenai perkara yang akan dilalui di Korea Selatan dan para peserta juga telah menjalani latihan persembahan kebudayaan untuk dipersembahkan di sana. Para peserta telah diingatkan supaya menjaga nama baik Malaysia dan menimba sebanyak mungkin pengalaman apabila tiba di Korea Selatan.

Tanggal 3 September 2012, pesawat penerbangan MH 066 Malaysia Airlines yang membawa delegasi Malaysia telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. Ketika di Korea Selatan, ahli delegasi telah dibawa melawat ke tempat-tempat bersejarah di sana seperti Istana Diraja Gyeongbokgung, tapak warisan dunia UNESCO di Gyeoungju dan makam diraja Chonmachong. Selain itu, delegasi Malaysia turut dibawa melawat ke bandar Ulsan yang merupakan   kawasan perindustrian syarikat Hyundai Heavy Industries dan Hyundai Motors. Para delegasi turut didedahkan dengan budaya masyarakat Korea seperti tulisan Hangul dan kami juga diberi peluang untuk mencuba pakaian tradisional Hanbok. Persembahan kebudayaan Malaysia pula telah dilakukan oleh peserta semasa melawat Ulsan Foreign Language High School. Pada hari terakhir di Seoul, ahli delegasi telah diberi peluang untuk membeli-belah di pasar Nandaemun dan Jalan Myongdong.

Ditemu ramah oleh Ulsan Broadcasting Channel untuk program dokumentari mereka.

Sepanjang kembara kami berlangsung, antara perkara yang dapat dipelajari ialah tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan. Korea Selatan merupakan antara 10 negara termiskin di dunia pada tahun 1953 akibat kesan daripada perang dunia dan perang dingin. Namun begitu, mereka telah bangkit menjadi bangsa yang kuat kerana semangat patriotik dan kerja keras yang diterapkan dalam minda setiap rakyatnya. Kesannya, hari ini Korea Selatan merupakan antara Negara G20 dan negara industri yang semakin mendapat tempat di persada dunia.

Secara lahiriahnya, program KMYEP telah berjaya mencapai objektif yang diletakkan. Ahli delegasi nyata telah memberikan komitmen yang terbaik dalam membawa Malaysia dan sentiasa berusaha untuk mempelajari budaya dan ilmu yang terdapat di Korea Selatan. Perbincangan mengenai hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara terutamanya mengenai perkembangan belia mendapat respon yang positif. Para delegasi juga telah berjaya membina rangkaian hubungan bersama rakan di Korea yang pastinya akan bermanfaat pada masa hadapan. Program sebegini wajar diteruskan dari tahun ke tahun agar lebih ramai belia di Malaysia dapat membuka mata mereka mengenai dunia luar seterusnya mengambil ibrah dari setiap pengalaman yang dilalui. 

 

Laporan disediakan oleh,

Muhammad Farhan Nasri bin Hamdan
Ecxo Kebajikan & Akademik , Majlis Perwakilan Pelajar MMU Melaka 2012-2013
Aktivis PEMBINA Melaka.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top