Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) mengutuk tindakan akhbar The Star yang menyiarkan berita berkenaan keganasan kemudian disusuli gambar umat Islam sedang solat berjemaah pada muka utama akhbar.
Pembina menganggap tindakan ini menimbulkan prejudis terhadap umat Islam dan mencadangkan amalan umat Islam adalah berkaitan pengganas. The Star bertanggungjawab ke atas pergeseran antara kaum yang timbul atas sikap kewartawanan yang tidak beretika. Ini bukanlah siri pertama kerendahan etika The Star.
Pembina menuntut The Star memohon maaf kepada umat Islam dan disiarkan di muka depan akhbar The Star. Pembina juga mencadangkan Kementerian Dalam Negeri agar mempertimbang untuk menarik balik Permit Penerbitan akhbar The Star.