Alhamdulillah, HIMPUN sudah hampir. Satu gabungan phenomenal dan bersejarah antara pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Islam di Malaysia bagi menyatakan kesatuan dalam isu mempertahankan aqidah Islam dan menentang gerakan-gerakan memurtadkan umat Islam.
PEMBINA telah menyatakan komitmen semenjak mesyuarat pertama sekretariat penganjuran bagi menjayakan HIMPUN, dan telah bertungkus lumus di semua peringkat bagi mempromosi, mempropaganda dan menarik penyertaan belia dan mahasiswa ke HIMPUN. Bahkan PEMBINA terpaksa menangguhkan satu karnival kekeluargaan yang asalnya dirancangkan pada hari HIMPUN, bagi memberi laluan dan memastikan aktivis PEMBINA menumpu kepada HIMPUN.
Dalam sekretariat HIMPUN, PEMBINA telah diamanahkan satu tugasan besar untuk meneraju unit belia dan mahasiswa. Sepanjang kempen HIMPUN, PEMBINA telah bersama NGO-NGO belia lain seperti GAMIS, GPMS dan wakil-wakil MPP dari IPT seluruh Malaysia bermesyuarat, merancang, mengeluar kenyataan rasmi bersama, dan bergerak mempromosikan HIMPUN dari peringkat nasional ke negeri ke daerah hingga ke IPT. Usaha dari PEMBINA termasuk menyelenggara promosi HIMPUN di internet, mengedar risalah-risalah, menyusun pertemuan antara persatuan-persatuan belia dan siswa serta bertemu dengan pihak-pihak pentadbiran IPT.
Alhamdulillah, PEMBINA sendiri telah berjaya mempersiap dan mengisi lebih 90 biji bas dari seluruh Malaysia untuk mara ke HIMPUN. Kita percaya apabila digabungkan dengan rombongan NGO-NGO lain, sudah tentu akan menggegarkan Stadium Shah Alam.
PEMBINA akan turun dengan slogan-slogan dan warna-warna PEMBINA bagi bersatu dengan pelbagai NGO lain untuk menunjukkan kesepakatan gerakan-gerakan Islam di Malaysia yang bersatu memperjuangkan kesucian Islam dan menentang segala usaha meruntuhkan aqidah umat.
Sepanjang kempen HIMPUN, kita telah menyaksikan berbagai cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi, dari kesusahan-kesusahan menyusun gerak kerja kepada pandangan curiga sesetengah pihak. Tidak kurang hebat adalah kritikan-kritikan tentang keperluan dan awlawiyat menganjurkan HIMPUN serta kesyar’ian penganjurannya. Ada yg menuduh HIMPUN sekadar membuang masa lalu tidak menggalakkan golongan belia untuk turun. Pada kami, dan kami serukan kepada para belia, inilah usaha kita menggemakan suara kerisauan dan kemarahan terhadap gerakan-gerakan mengancam aqidah Islam. Di sini saya ungkapkan kata-kata Abu Ammar Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, tokoh Ikhwanul Muslimin dari Iraq: “Setiap Muslim dituntut untuk memberikan sedikit impak dan turut serta membawa kebaikan di dalam proses ‘penyelamatan’ ini berdasarkan kemampuannya. Tiada makna kehidupan seseorang yang berpendirian negatif. Dia hanya mendapat kenikmatan di dunia ini, dengan makan, minum dan wanita, sedang dia tidak berusaha untuk memperlihatkan pendiriannya terhadap ahli fikir di sekitarnya.”
Antara cabaran besar lain seperti kritikan dari beberapa pihak seperti ahli-ahli politik bahawa isu murtad dan kristianisasi bukanlah ancaman utama kepada umat Islam, bahkan angka-angka murtad sebenar lebih kecil dari 250,000 yang digembar-gemburkan. Sepatutnya, satu kes murtad pun sudah patut menggentarkan hati beriman yang sensitif dan sayangkan saudaranya. Apatah lagi dengan pendedahan-pendedahan berterusan bahawa gerakan memurtadkan umat Islam ini berjalan secara ligat dan mempunyai modus operandi yang tersusun. Oleh itu, kerisauan kita adalah sesuatu yang wajar dan patut diberi perhatian oleh seluruh umat Islam di Malaysia.
Antara tuduhan yang paling ridiculous adalah bahawa HIMPUN ini didalangi parti-parti politik tertentu untuk mendapatkan political mileage atau untuk menjatuhkan parti lawannya. Kami katakan kepada penuduh itu, HIMPUN ini adalah anjuran tangan-tangan kami yang lemah ini, hasil titik peluh dan sengkangan mata kami rakyat marhaen ini, dan ditaja oleh duit poket kami yang tak seberapa ini, tapi kami laburkan agar menjadi saham kami di akhirat.
Maka, kepada golongan-golongan skeptik, lapangkanlah dada anda, hentikanlah prasangka, mari kita sama-sama keluar dari kemelut umat yang membelenggu kita dan kita melangkah seiringan untuk menegakkan agama Islam tercinta. Apalah erti kita bersengketa sambil melebarkan senyuman golongan penentang Islam. Usah terpengaruh dengan pemikiran politik sempit yang cuba memecahbelahkan kita. Kita ketepikan itu semua dan bersatu demi mempertahankan kesucian aqidah kita.
Akhir kata, kepada semua belia Islam, ayuhlah turun ke Stadium Shah Alam pada 22 Oktober ini, meramaikan dan menguatkan lagi gema HIMPUN. Kita buktikan bahawa generasi muda amat prihatin kepada aqidah Islam dan masa depan agama ini di tanah air kita.
Khusus kepada ahli-ahli dan aktivis PEMBINA, saya berpesan agar kalian ikhlaskan niat, sempurnakan ikhtiar dan bertawakkal kepada Allah agar HIMPUN yang telah kita sama-sama usahakan ini akan berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat penganjurannya.
Semoga segala amal kita semua diterima Allah SWT. Selamatkan aqidah umat!
Akhukum fillah,
Aizuddin Khalid
Naib Presiden I
PEMBINA