Pertama-tama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli-ahli Pembina dari seluruh kawasan, serta barisan pimpinan di semua peringkat atas penglibatan yang serius dan peranan yang telah dimainkan semasa Perhimpunan Solidariti di Kedutaan Besar Turki baru-baru ini. Tahniah juga buat Presiden PEMBINA, Saudara Zaizul Azizi Zaman yang telah mewakili seluruh warga PEMBINA menyampaikan Nota Sokongan dan Solidariti bersama wakil Aman Palestin dan ISMA kepada Duta Besar Turki ke Malaysia.
PEMBINA bersama-sama ISMA dan Aman Palestin memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi buat kerajaan dan seluruh rakyat negara Turki kerana telah memainkan peranan utama dalam memberikan tekanan ke atas regim Zionis Israel atas tembok sekatan dan kepungan yang menzalimi rakyat Palestin di Gaza. Lebih 60 tahun kezaliman Regim Zionis Israel ke atas Palestin berlaku. Masyarakat dunia sudah mula mual dengan penindasan yang diteruskan, generasi ke generasi menjadi saksi kepada kebiadaban ini.
Isu Palestin bukanlah isu yang asing lagi buat rakyat Malaysia, terutamanya yang beragama Islam. Nasib yang menimpa Palestin telah menjadi nyawa dan nadi yang bertahan di dalam jasad umat Islam seluruh dunia. Disebabkan semangat untuk terus berjuang rakyat Palestin dalam mempertahankan hak kedaulatan di tanah air yang tidak pernah putus telah menjadi peniup obor semangat kepada seluruh umat untuk terus bangkit membela nasib sendiri dan saudara seagama.
Belia di Malaysia terutamanya, harus terus menjadikan semangat perjuangan yang ada pada pemuda-pemuda Islam di Palestin sebagai obor semangat dalam memperjuangkan agenda perubahan dalam masyarakat.
Saya percaya, ahli-ahli Pembina mendapat banyak ilmu, pengalaman dan pengajaran sepanjang menjayakan program Rapat Umum Solidariti di hadapan Kedutaan Turki baru-baru ini. Seharusnya semangat yang hadir bersama-sama perjuangan solidariti Palestin ini dijadikan pembakar semangat dalam menjayakan agenda-agenda perubahan yang dibawa PEMBINA di lokaliti masing-masing. Realiti belia kita menuntut seluruh ahli PEMBINA untuk lebih bersungguh-sungguh dalam bekerja dan mendekati komuniti belia kita. Komuniti belia yang terasing dari agenda-agenda penting akan hanyut dibawa arus agenda-agenda musuh agama dan negara.
Seluruh komuniti belia Islam di Malaysia, terutamanya pimpinan persatuan-persatuan belia dan pemuda seharusnya menjadikan perjuangan isu kemanusiaan rakyat Palestin sebagai satu agenda penting, sehingga komuniti antarabangsa seluruh dunia menghormati hak-hak asasi manusia dan menghukum pihak-pihak yang mencabar kedaulatan isu kemanusiaan dalam menjamin dunia yang lebih aman dan harmoni di masa yang akan datang. Semoga dunia yang bakal dipimpin generasi belia di masa hadapan akan menjadi dunia yang lebih baik.
Tunjukkan solidariti PEMBINA bersama Palestin. Tahniah diucapkan kepada para belia Turki dan seluruh negaranya kerana berjaya melahirkan Syuhada’ Kemanusiaan Dan Kebebasan.
Salman Abdul Rahman, JK Media