Otak Kecil, Penyelesai Masalah Besar

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: “Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?” Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik..” (Surah a-Baqarah: ayat 26)

Ayat di atas adalah salah satu dari ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang serangga, makhluk Allah yang sangat kecil, tetapi banyak pengajaran dan kebaikan yang boleh dimanfaatkan oleh manusia di dalam kehidupan ini.

Serangga

Mari kita lihat kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji Barat tentang kehebatan serangga, yang hanya mempunyai otak yang kecil tetapi boleh menyelesaikan urusan yang besar. Subhanallah! Pelbagai kajian menunjukkan ada serangga yang boleh mengira, mengklasifikasikan objek dan juga boleh mengenal muka-muka manusia – kesemuanya dengan menggunakan otak yang sebesar kepala jarum peniti.

Serangga ibarat sebuah mesin ringkas yang berinteraksi dengan keadaan sekeliling malah boleh mengubah cara interaksi berdasarkan situasi dan keadaan pada waktu tersebut.

Lebah madu sebagai contoh, boleh mengenal sesuatu bentuk sama ada bentuk tersebut bersifat simetri atau tidak. Lebah juga boleh mengenal pasti objek berdasarkan konsep ‘sama’ atau ‘lain’ serta mengetahui untuk berhenti terbang selepas beberapa ‘landmark’ tanpa perlu bergantung kepada jumlah jarak perjalanan.

Lebah juga boleh menyengat, mencari makanan, menjaga sarang dan mengipaskan sayap mereka untuk menyejukkan sarang dan banyak lagi sifat-sifat unik yang tidak pernah terlintas di fikiran kita. Sebahagian daripada kita mungkin berasa takjub memikirkan bagaimana otak yang kecil ini yang hanya mengandungi jumlah neurons yang sedikit berbanding otak manusia mampu untuk melakukan semua ini.

Malah saintis Barat menjadikan lebah sebagai model untuk merekacipta perisian yang dapat mengenali muka manusia (face recognition) dari pelbagai sudut, jarak dan tahap emosi. Sesuatu yang boleh dilakukan oleh serangga bernama lebah tetapi belum tentu mampu dilakukan oleh perisian yang tercanggih pada hari ini.

Ramai antara saintis terdahulu beranggapan bahawa otak yang lebih besar mengandungi jutaan neuron yang berkadar langsung dengan kebijaksanaan. Lebih banyak neuron, maka lebih bijaklah organism tersebut.  Walau bagaimanapun, kajian telah membuktikan keupayaan otak tidak berkadar langsung dengan saiz otak. Otak ikan paus yang seberat 10 kg dan terdiri daripada 200 billion neuron tidaklah lebih bijak berbanding otak manusia yang hanya seberat 1 kg dan hanya terdiri daripada 85 billion neuron.

Hal ini kerana, kadangkala otak yang besar hanya untuk melengkapkan tubuh badan yang besar bagi mengawal otot, deria dan sistem-sistem badan yang lain tetapi tidak memberi manfaat dari segi kecerdikan (intelligence). Seperti sebuah komputer, penambahan saiz mungkin akan menambah kapasiti penyimpanan (storage), kelajuan serta menambah keupayaan untuk melaksanakan program. Namun pada masa sama hal ini memerlukan tenaga yang banyak untuk menyokong ‘otak yang  besar’ tersebut.

Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama bermuhasabah tentang otak  dan akal yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Adakah kita telah betul-betul menggunakannya pada jalan kebaikan. Adakah ia telah digunakan untuk mengenali Pencipta yang Maha Esa? Atau ia sekadar menjadi otak yang besar yang hanya menyokong tubuh kita?  Adakalanya, kita sememangnya lemah jika dibandingkan dengan makhluk Allah yang kecil, hatta seekor  lalat….

“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.” (Surah al-Hajj: ayat 73)

 

Nukilan

Mohd Nazeri Kamaruddin
EXCO Perhubungan Luar,
PEMBINAmelaka.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top