Moreh Ramadhan

“Tiada panggilan sepenting panggilan Ilahi” – saya sangat terharu semasa pertama kali mendengarkan slogan ini pada papan tanda tajaan TM beberapa tahun yang lalu.

Adalah menjadi sesuatu yang mengharukan tiap kali Ramadhan merentangkan sayapnya, orang-orang Islam dari seluruh pelusuk kawasan akan keluar untuk mengimarahkan masjid/surau. Saya terbayang-bayang bagaimana agaknya suasana di Masjid Biru semasa mutiara Timur, kota Constantinople masih segar dengan julukan Islambul (yang bermaksud Islam keseluruhannya-kemudian menjadi Istanbul). Saat itu umat Islam mengimarahkan masjid/surau pada setiap waktu. Mereka berhenti daripada apa jua pekerjaan yang sedang mereka lakukan, meluangkan masa untuk bertemu dengan kekasih hati, Allah Azzawajalla. Malamnya masjid juga hidup dengan pelbagai aktiviti lainnya, majlis ilmu baik, perkumpulan tadarus al-Quran baik, dan amal-amal yang asasnya baik. Rindu sungguh rasanya untuk melihat suasana itu. Ambien awal Ramadhan di Malaysia mungkin adalah serpihan daripadanya. Sedikit mengubat rindu di dada.

Namun, selalu dipersoalkan ke mana perginya ahli jama’ah Ramadhan ini pada bulan-bulan yang lain. Lalu ada di antara mereka-mereka yang sedaya-upaya untuk istiqamah ke masjid melabel dengan pelbagai label kurang menyenangkan kepada para jema’ah Ramadhan ini. Ada yang kata pseudo-islamik, ,Muslim-Ramadhan, muslim bermusim dan sebagainya.

Mungkin ada benarnya pada label-label ini. Tetapi tidakkah ada diantara kita yang mahu mengambil Ramadhan ini sebagai satu peluang untuk menyentuh masyarakat yang selama ini kita terpaksa keluar mencari, namun pada bulan penuh barakah ini, mereka sendiri yang datang hampir kepada kita? Lihatlah bagaimana layanan para paderi terhadap orang yang dilihatnya baharu mendatangi gereja. Sungguh santun dan menyenangkan. Hingga terbit rasa untuk datang lagi ke gereja tersebut! (seperti yang dikisahkan seorang sahabat kepada saya).

Tohmahan dan label-label negatif hanya akan mendatangkan pelbagai konsekuensi anti positif. Akhirnya ada yang menyingkir daripada masjid/surau hanya gara-gara sekekolompok manusia yang menganggap rumah Allah itu kepunyaannya juga.

“Hai, kena tunggu 11 bulan baru nampak batang hidung balik?,” tanya seorang ‘ahli jemaah regular’ kepada ‘jemaah Ramadhan a.k.a. pseudo-islamik’. Yang disapa hanya tersipu-sipu menahan malu dan menyorokkan sakit hati.

Mungkin ada yang benar-benar mahu berubah bermula Ramadhan ini. Maka mahukah kita menjadi asbab beliau berpaling semula ke daerah lamanya gara-gara sindiran tajam dari mulut tak berinsurans kita? Wal’iyyadzubillah.

Berkemungkinan juga apabila kita memandang dari sudut ‘ahli jema’ah regular’, kita akan cenderung untuk merasakan diri kita lebih baik daripada orang lain. Ini boleh bertukar menjadi penyakit hati yang lain; ‘ujub, riak dsb. Walhal sepatutnya kita perlu berasa bimbang dan senantiasa berdoa agar Allah memelihara keberadaan kita di jalanNya ini hingga ke hujung usia. Allah, dijemariNya hati manusia ini berbolak-balik. Maka hendaknya hati kita ini selalu berada pada tetapan yang menjadikan kita mengingati serta mentaati segala perintahNya.

Muka-muka luar kebiasaan; perlu disantuni!

Mereka yang datang mengunjungi rumah Allah sungguhpun selalunya di bulan Ramadhan perlu disantuni. Allah adalah Tuan Rumah. Kita juga termasuk sebagai tetamuNya. Di dalam rumah ini tiada yang lain layak disembah melainkan Allah semata. Allah sahaja. Maka marilah berlaku seperti yang selayaknya buat kita.

Sindiket Penipuan

Biarlah saya bongkarkan satu rahasia di sini kerana kita juga pernah menjadi mangsanya. Sindiket penipuan ini adalah sindiket yang tertua di dunia. Ia beroperasi di seluruh pelusuk dunia. Keanggotaan melebihi 13.6 bilion. Sekurang-kurangnya dua kali ganda bilangan manusia yang ada dan saban hari ia bertambah. Ahlinya terbahagi dua; division A-bahagian strategi dan kepimpinan, diberi nama syaitan. Division B-bahagian logistik tetap,  namanya nafsu. Hampir tiada manusia yang selamat daripada sindiket penipuan ini melainkan mereka yang dipimpin oleh Allah Azzawajalla. Kedua-dua division ini adalah gabungan mantap yang boleh menjadikan seburuk-buruk perkara tampil sebagai sebaik-baik perkara dengan tipu-daya berstrategi mereka. Namun, dengan rahmat dan kasihNya, division A akan ‘bercuti’ selama satu bulan penuh saban tahun, dan bulan itu ialah bulan Ramadhan. Lihat sahaja perubahan mendadak yang berlaku apabila sindiket ini beroperasi dengan hanya bergantung kepada kekuatan division B sahaja. Kesan tipu-dayanya susut dengan dahsyat!

Kerana itulah kita mendapati Ramadhan makmur dengan perkara makruf tidak seperti bulan-bulan lain. Bilangan jemaah di tempat-tempat solat bertambah, kesan dosa/pahala begitu dirasakan, ramai yang mendampingi al-Quran, melazimi solat malam, bersedekah dan banyak lagi amal-amal soleh. Alhamdulillah.

Namun, Allah menjanjikan dunia ini sebagai tempat ujian buat manusia. Division B kekal beroperasi dan mangsa yang tertipu tidak kurang banyaknya. Semoga Allah melindungi kita daripada tipu daya hawa nafsu yang selalu menyeru kepada maksiat.

Sindiket ini punya pengalaman berusia ribuan tahun dalam memperdayakan manusia. Division A memainkan peranan penting. Division B lebih kepada alat yang diguna-pakai walaupun B masih boleh bergerak dengan dayanya sendiri. Di bulan mulia ini, masih lagi ada yang tidak lari daripada perbuatan yang bersalahan dengan syariat. Mengumpat, mengadu domba, mendedahkan aurat, dan memaki hamun misalnya.

Menghormati Orang Berpuasa

Menyantuni orang-orang yang berpuasa bukan sahaja dengan kita menjadi panca indera kita daripada maksiat. Juga perlu untuk kita menjaga panca indera orang lain. Bagaimana?

Saya membaca status FB sahabat saya:

pegi baza dgn niat yg betul, iaitu nak beli juadah berbuka..kaum hawa muslim, minta pakai pakaian sopan2 ya..mata sy ni dh mcm autofocus mode AI servo…

Kadangkala pahala puasa kita boleh jadi berkurang angkara perbuatan orang lain (dan juga diri sendiri yang tidak menjaga mata). Tetapi bagaimana boleh kita menjaga mata sebaiknya jika pemandangan tidak sepatutnya itu berada di mana-mana? Oh, tolonglah menjadi manusia yang prihatin lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Saya juga berasa sedih mendengarkan tragedi berdarah di bazar Ramadhan Jasin petang semalam. Ngeri juga melihatkan video rakamannya. Boleh taip ‘bazar ramadhan jasin‘ beberapa video berkaitan akan terpacul di youtube. Boleh sama-sama kita ambil pengajaran insya-Allah.


Apapun, berbalik kepada cerita sindiket itu tadi, makanya benarlah bahawa sebenarnya ramai yang perlu diselamatkan daripada tipu daya besar-besaran sindiket licik ini (termasuklah diri kita sendiri). Bersama-sama kita menyantuni saudara-saudara kita yang lain dalam mengkhabarkan berita tentang kebusukan tipu daya division A dan B hingga menjadikan manusia banyak lalai dan alpa daripada mengingatiNya.

Semoga kita selamat menjalani latihan untuk berhadapan dengan sindiket selama satu bulan mulia ini. Division A selalu menantikan pemergiannya agar mereka dapat kembali bertugas seperti biasa. Adakah rasa hati kita seperti rasa Division A? Jika ya mungkin Division A berjaya menancapkan peranti tanpa wayar di dalam diri kita.

Harus segera dicari dan dibuang!

Bulan inilah peluang untuk kita membuangnya jauh-jauh sebelum tuannya kembali datang dan mengawal ketat peranti tersebut! Ayuh!

Allahu’alam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top