Kepercayaan terhadap media sosial : wadah yang KUKUH atau racun yang MEMBUNUH?’

 

Utusan-Malaysia-Penggunaan-Media-Sosial
Foto :Utusan

Umum mengetahui peratusan pengguna media sosial semakin meningkat saban hari. Hari ini, majoriti media tempatan turut mengambil inisatif mengeluarkan berita dan artikel berkenaan isu semasa melalui ‘page’ mereka media sosial. Jika dahulu, penggunaan surat khabar dijadikan medium utama dalam menyampaikan maklumat, namun, hari ini segalanya terletak di hujung jari.

Media sosial kini menjadi elemen penting dalam menyampaikan suara rakyat dan rakyat dilihat lebih memilih untuk mempercayai isu yang disampaikan di dalam media sosial berbanding liputan media arus perdana. Lebih-lebih lagi apabila sesetengah liputan berita perdana yang dibawakan seringkali dilihat berat sebelah memihak pada mana-mana parti politik tertentu hingga menyebabkan pengguna memilih media sosial sebagai alternatif lain dalam mendapatkan maklumat yang sebenar.

 Meskipun penggunaan media sosial ini mendatangkan banyak kesan positif, namun impaknya, masyarakat kini terdedah kepada penyebaran maklumat palsu, fitnah-memfitnah dan putar belit sesuatu fakta. Hal ini kerana Masyarakat sendiri bertindak sebagai wartawan, pembaca, dan pengkritik segala isu yang dibincangkan tanpa sekatan.

Pandangan masyarakat  seolah-olah berkuasa dalam menentukan apa yang betul dan salah. Lihat sahaja insiden pergaduhan yang berlaku di Plaza Lowyat bulan lepas, pelbagai versi cerita disebarkan di laman sosial hingga menyebabkan masysarakat sendiri keliru dengan kesahihan berita tersebut. Statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga akhir Julai 2015 juga menunjukkan bahawa 49 peratus permintaan penghapusan kandungan telah diluluskan iaitu 33 peratus dari YouTube manakala 42 peratus dari Facebook. Penghapusan kandungan ini dilakukan setelah SKMM meneliti maklumat yang disebarkan adalah palsu.

Apa yang lebih membimbangkan, serangan ideologi barat yang merosakkan seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme dan lain-lain turut menular sejajar dengan perkembangan teknologi hari ini. Golongan liberal mula bergiat aktif mempromosikan agenda mereka melalui media sosial demi memadam suara Islam.

Hak kebebasan bersuara ini telah membuka pintu bagi golongan liberal mereformasikan agama Islam dengan mencipta satu persepsi bahawa Islam liberal dan pluralisme agama itu adalah satu bentuk kemodenan dan progresif, sesuai dengan peredaran zaman. Manakala umat islam yang mempertahankan jati diri mereka dilabel dan dianggap sebgai rasis, ekstrimis, mementingkan diri dan sebagainya.

Buktinya, jika dilihat pada isu Vape yang menjadi ‘trend’ anak muda masa kini, umat islam yang membantah sekeras-kerasnya tentang penggunaan vape dilabel sebagai seorang yang kolot dan menyekat hak individu, walhal sudah terang lagi bersuluh penggunaan vape bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan.

Akhbar ‘liberal’ tempatan seperti MalaysiaKini, The Malaysian Insider juga mengambil kesempatan dengan memuat naik artikel berkaitan penerimaan sebilangan masyarakat melayu islam terhadap penggunaan vape. Artikel ini seolah-olah menggambarkan bahawa budaya menghisap Vape ini adalah normal dalam kalangan umat islam.

Kesannya, umat islam yang kurang cakna terhadap isu semasa dan kurang pengetahuan dalam ilmu agama akan mudah terpedaya dengan apa yang dibaca dan dilihat di dalam media sosial dan mereka melihat bahawa budaya Vape ini bukan satu ancaman, tapi ia adalah satu proses kemodenan dan kemajuan yang berlaku di negara kita.Maka, berlakulah proses normalisasi yang akhirnya melahirkan masyarakat islam yang semakin hilang jati diri dek terpengaruh dengan ideologi yang merosakkan ini.

Justeru, perlunya penggerak dakwah menilai semula sejauh mana gerakan dakwah pada hari ini dalam mengesani hati-hati umat islam. Pentingnya penggerak dakwah hari ini memperkasakan dan menggiatkan lagi agenda dakwah melalui media sosial.

  1. Media dakwah perlu bergerak pantas.

Media yang memperjuangkan kebenaran islam perlu menjadi bahan bacaan pertama yang sampai di tangan masyarakat. Hari ini, kita lihat media-media yang bertunjangkan ideologi liberal bergerak AMAT PANTAS dalam mengeluarkan kenyataan dan pandangan berkenaan setiap isu semasa yang berlaku. Kenyataan mereka sering menjadi rujukan utama masyarakat dan sekaligus mereka berjaya mempengaruhi pandangan dan persepsi masyarakat mengikut acuan yang mereka inginkan.

  1. Pendekatan dakwah yang bersesuaian.

Umat islam perlu lebih kreatif dan proaktif dalam menyampaikan dakwah islam sesuai dengan kehendak semasa pada hari ini. Kewujudan Media sosial perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam menyebarkan mesej islam agar dapat membersihkan kembali pemikiran umat islam daripada kekotoran ideologi barat kepada ajaran hiup islam yang sebenar berlandaskan quran dan Sunnah.

Umat islam digesa agar meghalusi dan menilai dahulu kesahihan sesuatu isu sebelum membuat sebarang persepsi bagi mengelakkan budaya fitnah berleluasa.

Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah Al-Hujurat: 6)

Islam amat mencela budaya fitnah – memfitnah ini kerana ia akan membawa perpecahan umat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Realiti hari ini jelas memperlihatkan pada kita banyak serangan terhadap islam dilakukan secara terang-terangan melalui media sosial. Isu berkaitan umat islam sering diputar belitkan oleh golongan pemikiran liberal yang sememangya mahukan islam mundur. Umat islam dinasihatkan perlu cakna terhadap serangan pemikiran ini dan tidak menjadi terlalu naif sehingga terpengaruh dan melunturkan jati diri dan pegangan umat islam.

AINAA JOHARI
PEMBINA Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top