Hukuman mati 529 penyokong Morsi, PEMBINA seru semua pihak bangkit nyatakan bantahan
1. Semalam, 24 Mac 2014, Mahkamah Al-Minya di Mesir telah menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 anggota gerakan Islam terbesar di dunia iaitu Ikhwan Muslimin atas tuduhan terlibat dalam peristiwa menyerang balai polis di wilayah yang sama sehingga menyebabkan kematian dua orang anggota polis. 16 orang yang turut dibicarakan telah dibebaskan.
2. Hukuman tersebut dijatuhkan hanya selepas perbicaraan kedua, di mana perbicaran pertama hanya berlangsung selama kira-kira 20 minit, dan hanya dihadiri oleh 4 orang peguambela sahaja. Perbicaraan kedua yang menyaksikan hakim menjatuhkan hukuman semalam pula tidak dihadiri oleh walau seorang tertuduh atau peguambela mereka. Perbicaraan ini merupakan perbicaraan hukuman mati paling cepat sepanjang sejarah Mesir. Ia sama sekali bertentangan dengan mana-mana amalan perundangan yang melibatkan hukuman mati di mana perbicaraan harus berlaku dengan tuntas sebelum hukuman dijatuhkan.
3. Penipuan, penindasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh ‘kerajaan tentera’ terhadap umat Islam yang ikhlas berjuang menegakkan syari’at Allah adalah dosa terbesar manusia selepas syirik kepada Allah. Jelas ia merupakan penindasan hak dan penipuan terhadap rakyat Mesir bermula dari rentetan penggulingan Presiden Muhammad Mursi yang sah dilantik melalui sistem demokrasi yang paling telus dalam sejarah Mesir.
4. Keputusan perbicaraan kali ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia pernah berlaku kepada gerakan Ikhwan Muslimin pada tahun 1950-an di mana ramai pimpinan telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
5. PEMBINA menyeru semua pihak terutamanya Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, parti-parti politik, ahli-ahli Dewan Rakyat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan hak asasi manusia, pertubuhan-pertubuhan belia, tokoh-tokoh masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia menyatakan bantahan terhadap pencabulan undang-undang oleh pihak ‘kerajaan tentera’ di Mesir terhadap rakyatnya semata-mata kerana mereka mempertahankan hak demokrasi mereka berteraskan agenda mendaulatkan Islam.
6. PEMBINA menyelar sikap bermuka-muka barat terhadap kudeta. Perancis telah menghantar tentera untuk campurtangan terhadap kudeta yang dilakukan oleh Muslim terhadap pemimpin Kristian yang korup tetapi diam seribu bahasa terhadap kudeta tentera Mesir ke atas Presiden dan badan eksekutif yang dilantik melalui proses demokrasi yang sah.
7. PEMBINA menyelar sikap pemuka-pemuka Al-Azhar yang bersekongkol dengan kezaliman rejim kudeta. Semoga mereka segera sedar dan diberikan hidayah oleh Allah di atas keterlanjuran mereka.
8. PEMBINA yakin bahawa apa yang berlaku merupakan suatu ujian biasa buat mereka yang ikhlas berjuang di jalan Allah. PEMBINA menyeru semua belia dan mahasiswa agar:
i. Bangkit dan bersatu menyatakan bantahan terhadap kezaliman mahkamah dan tentera Mesir terhadap pimpinan dan ahli Ikhwan Muslimin.
ii. Bangkit dan bersatu menyatakan solidariti dan sokongan moral terhadap pimpinan serta anggota gerakan Ikhwan Muslimin yang sedang melalui saat-saat getir di Mesir.
iii. Memperbanyak doa kepada Allah agar meringankan bebanan, mengurniakan pahala, menerima amalan, memperteguhkan hati dan memberi kemenangan kepada perjuangan menegakkan Islam di seluruh dunia.
iv. Menolak semua anasir-anasir agenda asing termasuk liberalisme yang penuh tipu muslihat. Di Mesir, dahulunya mereka bersama-sama menggulingkan rejim Mubarak atas seruan kebebasan dan keadilan, tetapi hari ini mereka berdiri bersama-sama rejim lama menjatuhkan kerajaan yang didominasi golongan Islamis.
Pembunuh bisa membunuh jasad, namun ruh perjuangan mereka akan terus subur, harum di seluruh dunia, tertanam kuat di dalam hati-hati belia dan pemuda yang mendokong kedaulatan Islam.
Bermula di Rabaah, di Mesir dan pasti akan sampai jua ke bumi Malaysia.
“Hasbunallaha wa ni’mal wakil!
Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung!”
Ustaz Mohd Suhail bin Mohd Sufian
Setiausaha Agung PEMBINA.
24 Jamadil Akhir 1435H