Kenyataan Media Unit Belia & Mahasiswa HIMPUN

Kenyataan Media

HIMPUN: Selamatkan Akidah Umat

 

Sidang media ini diadakan untuk mengisytiharkan kepada umum bahawa Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyokong penuh penganjuran perhimpunan besar-besar yang dinamakan Himpunan Sejuta Umat atau nama ringkasnya HIMPUN. HIMPUN, yang merupakan inisiatif dan anjuran pelbagai pertubuhan-pertubuhan dan individu yang mewakili umat Islam akan di adakan di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu, 22hb Oktober ini bermula jam 2 hingga 5.30 petang.

HIMPUN diadakan untuk menzahirkan suara dan sikap umat Islam terhadap siri percubaan memurtadkan umat Islam serta mencemarkan kemuliaan agama Islam di negara kita ini. Umat Islam di negara ini telah mengharungi pelbagai episod hitam melibatkan gugatan dan ancaman terhadap akidah seperti kes Natrah, Jamaluddin Othman, Nor Aishah Bukhari, IFC, Azlina Jailani, dan yang terkini kes DUMC susulan siasatan JAIS pada 3hb Ogos 2011 yang lalu. Kes yang terakhir ini membuktikan betapa pihak yang mendalangi usaha pemurtadan umat ini semakin berani dan aggresif dalam menggerakkan dakyah mereka.

Kami melihat bahawa isu kristianisasi adalah satu isu yang kritikal dan tidak boleh dikompromi. Isu ini berkait secara langsung dengan akidah umat Islam yang mengatasi isu-isu yang lain. Walaupun hanya satu atau dua orang Islam yang murtad, seluruh umat Islam di Malaysia harus sedar dan bangkit untuk menghalang perkara ini. Kita tidak perlu untuk menunggu sehingga angka tersebut bertambah sebelum tindakan diambil.

Kami juga percaya bahawa tidakan pihak sekretariat untuk menganjurkan HIMPUN bukanlah dibuat secara terburu-buru atau bermotifkan apa-apa agenda selain mempertahankan aqidah umat Islam. Ini adalah berikutan daripada rentetan peristiwa demi peristiwa yang menyaksikan aqidah umat Islam terus dipermainkan dan diuji. Sekarang sudah tibalah masanya umat Islam bangkit bagi menyatakan kesatuan bahawa agama Islam tidak boleh lagi dipermainkan sebgitu rupa.

Kami juga berharap agar HIMPUN menjadi suatu bukti yang jelas nyata bahawa umat Islam boleh dan akan bersatu tanpa mengira latarbelakang untuk mempertahankan aqidah mereka daripada diganggu-gugat oleh sesiapa sekalipun. Maka HIMPUN juga ingin menghantar mesej bantahan dan amaran yang jelas kepada sesiapa yang bertindak atau mengeluarkan ucapan yang menghina agama dan menghakis benteng akidah umat.

Kami juga menyeru agar semua pihak dapat mengenepikan segala fahaman politik dan perbezaan pendapat untuk bersama-sama bersatu atas dasar aqidah dan ukhuwwah. Hanya dengan kesatuan umat Islam kita dapat menunjukkan kekuatan dan menjadi umat yang agung dan perpecahan hanya melemahkan umat seperti mana yang berlaku dalam sejarah para sahabat serta kejatuhan empayar khilafah Islam.

Atas dasar inilah, kami mengajak seluruh mahasiswa-mahasiswa, pelajar-pelajar dan warga kampus agar sama-sama menyatakan sokongan dengan menghadiri HIMPUN pada Sabtu ini. Ini merupakan perhimpunan aman yang telah mendapat permit daripada pihak polis. Inilah peluang keemasan untuk setiap individu muslim yang sayangkan akidahnya dan cemburukan agamanya untuk menyumbangkan suatu khidmat bakti untuk tujuan murni ini. Kebersamaan dan kesatuan kita akan mengundang rahmat, tawfiq dan inayah Ilahi. Maka akan terhasillah dengan sebabnya suatu benteng yang kukuh dalam mempertahankan akidah umat.

 

Yang benar,

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top