Ahad, 30 Mei 2010– Beliawanis PEMBINA Johor telah mengadakan jaulah ke Kota Tinggi, Johor. Jaulah ini diadakan bertujuan untuk menziarahi ahli-ahli ISMA di Kota Tinggi, merapatkan silaturrahim, sambil melawat tempat-tempat menarik di sekitar Bandar Kota Tinggi. Jaulah ini telah disertai oleh kira-kira 9 orang beliawanis dengan menaiki 3 buah kereta.
Pada jam 8 pagi kami berkumpul di Taman Seri Puteri. Walaupun agak lewat daripada masa yang dirancang, namun Alhamdulillah perjalanan kami berjalan lancar dan selamat tiba di destinasi pertama iaitu teratak Ustazah Fahariah bt Pungut, yang juga merupakan pengetua di SM Arab Kota Tinggi. Kehadiran kami disambut dengan senyuman manis beliau dan beberapa orang pelajar puteri SM Arab Kota Tinggi. Sebagai seorang yang telah lama beramal dalam menyampaikan risalah Islam, kami sempat mendengar perkongsian berharga daripada beliau. Antara lain, Ustazah Fahariah menenkankan akan kepentingan berada dalam suasana yang soleh dan hidup secara berkolektif. Walaupun tidak lama berada di rumah Ustazah Fahariah,
namun pertemuan tersebut amat bermakna buat kami.
Jaulah kemudian diteruskan ke Kampung Makam, Kota Tinggi. Di sana kami menziarahi makam-makam bersejarah seperti Makam Sultan Mahmud Mangkat Di Julang dan kaum kerabatnya serta Makam Kucing Bertanduk. Walaupun tidak mengetahui dengan jelasĀ sejarah makam-makam tersebut, namun sedikit sebanyak ia meningkatkan keinginan kami untuk meneliti semula sejarah silam kerajaan Melayu di negara kita.
Kami kemudian singgah ke Pasar Kampuchea, iaitu pasar yang terletak di tengah-tengah Bandar Kota Tinggi. Pasar ini menjual pelbagai jenis kain dan baju dengan harga yang menarik. Kami berjalan-jalan di sekitar pasar tersebut sehingga pukul 12 tengahari.
Destinasi seterusnya ialah ke rumah Puan Azizah bt Che Awang yang juga merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Laksamana, Kota Tinggi . Setibanya kami di rumah Puan Azizah, beliau sekeluarga sedang menyiapkan makan tengahari untuk kami semua. Sambil menunggu hidangan siap, kami bersama-sama membantu menyediakan cenderahati untuk tetamu sempena Majlis Pernikahan anak perempuan beliau, Saudari Farahiyah bt Bariman yang bakal berlangsung pada minggu hadapannya. Sesudah makan tengahari dan menunaikan solat Zohor berjemaah, kami bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang terakhir, iaitu rumah Saudari Khairiah bt Othman, salah seorang beliawanis Johor yang terletak di Felda Tunggal, Kota Tinggi.
Kami selamat tiba ke rumah Saudari Khairiah bt Othman selepas lebih kurang satu jam perjalanan. Kami berasa kagum dengan struktur rumah-rumah di kawasan felda tersebut yang kelihatan sangat menarik, termasuklah rumah beliau. Kawasan halamannya dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan hijau serta pokok bunga yang indah, Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu itu tidak sia-sia. Selepas menjamu selera, kami menggunakan masa yang ada untuk berkenalan dengan lebih rapat dan membincangkan isu-isu belia di Malaysia.
Kami bertolak pulang ke tempat masing-masing lebih kurang jam 6.00 petang. Sesungguhnya pertemuan dan perpisahan ini menyimpan seribu kenangan buat kami, para beliawanis Johor.
Imam Hassan Al-Banna pernah berkata:
“Yang saya maksudkan dengan ukhwah adalah : mengikatnya hati-hati dan jiwa-jiwa ini dengan ikatan aqidah, dan aqidah merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling mahal harganya, dan ukhuwah adalah saudara keimanan, sementara perpecahan adalah teman dari kekufuran, kekuatan yang utama adalah persatuan dan tidak ada persatuan tanpa cinta, dan cinta yang paling rendah adalah lapang dada, sementara yang paling tinggi adalah itsar(mengutamakan saudaranya).
Semoga ukhwah ini akan sentiasa diredhai Allah S.W.T.