Minggu orientasi boleh dikatakan sebagai acara wajib saban semester bagi bertujuan memperkenalkan pelajar-pelajar baru dengan pelbagai perkara di Universiti. Sewaktu minggu orientasilah pelajar-pelajar baru akan mendaftar subjek di fakulti, mendengar taklimat disiplin dan peraturan Universiti, membuat kad pelajar dan pelbagai lagi perkara. Selain itu, pelajar-pelajar baru turut didedahkan dengan suasana Universiti, mentor-mentor yang terdiri daripada pelajar-pelajar lama akan membantu mereka untuk membiasakan diri dalam suasana Universiti.
Walaubagaimanapun, amat menyedihkan apabila minggu orientasi turut diselitkan dengan aktiviti-aktiviti yang meruntuhkan nilai kesarjanaan dalam diri mahasiswa itu sendiri. Adakalanya program yang diatur dilihat seakan-akan memperbodohkan pelajar-pelajar baru dengan pelbagai aktiviti kebudak-budakan.
Hal ini sangat membimbangkan kerana secara tidak langsung dapat merencatkan aktivisme dalam diri mereka. Natijahnya, lahirlah mahasiswa yang lesu dari beraktivisme yang ingin menjauhkan diri dari terlibat dengan mana-mana persatuan di dalam Universiti kerana bersifatkan terdapat pelbagai aktiviti-aktiviti yang membosankan. Akhirnya mahasiswa lebih selesa untuk duduk di bilik sendiri. Maka lahirlah graduan yang pasif yang tiada nilai-nilai aktivisme seperti yang diharapkan.
Oleh yang demikian, semua pihak baik pihak pentadbiran, tenaga pelaksana minggu orientas serta Majlis Perwakilan Pelajar perlu memberikan perhatian yang serius tentang pengisian dan aktiviti yang ingin dilaksanakan sepanjang minggu orientasi dan sedar hakikat objektif sebenar minggu orientasi yang disusun untuk memudahkan pelajar-pelajar baru untuk membiasakan diri hidup di alam Universiti.
Mereka inilah aset yang paling bernilai yang akan menyambung kepada barisan kepimpinan negara kelak. Dedahkan mereka dengan aktivit-aktiviti yang lebih matang dan melambangkan nilai mahasiswa itu sendiri. Pelbagai aktiviti-aktiviti yang sihat boleh disusun seperti aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawan, kesukanan, intelektual, kepimpinan dan pelbagai lagi aktiviti yang melambangkan nilai-nilai kesarjanaan mahasiswa sepanjang minggu orientasi.
Secara tak langsung ia dapat menyuntik nilai-nilai positif yang menjadikan mahasiswa lebih matang, beraktivisme dan berdaya saing yang akhirnya dapat memacu kesarjanaan di dalam Universiti itu sendiri. Maka, lahirlah mahasiswa-mahasiswa berkualiti yang dapat menjaga nama baik Universiti. Segala-galanya bermula dengan bagaimana mahasiswa itu dibentuk seawal minggul orientasi. Ia selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan dan Universiti yang ingin melahirkan graduan minda kelas pertama yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.
Akhir kata, memetik kata-kata seorang ilmuan Islam, Syeikh Dr Abdullah Nassih ‘Ulwan yang telah menyatakan bahawa apabila rosak generasi pemuda hari ini, maka akan rosaklah masyarakat dan negara pada hari esok. Semoga minggu orientasi pelajar baru menjadi medium untuk melahirkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang yang akan menerajui pucuk kepimpinan negara dengan cemerlang kelak.
Qamarul Nazrin bin Harun
JK Aktivisme Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)