Semenjak di bangku persekolahan, kita akan diingatkan tentang satu peristiwa besar kepada umat Islam iaitu peristiwa Israa’ dan Mikraj seperti yang disebutkan di dalam ayat al-Quran, surah al-Isra’ ayat 1.
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjid Al-Haraam ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [ Al-Israa’ : 1 ]
Israk Mikraj telah menjadi satu titik penting untuk satu perjalanan yang agung. Amat penting untuk seorang mahasiswa mengambil isi penting melalui peristiwa ini dan mengambilnya sebagai satu pengajaran untuk diaplikasikan.
Dalam ayat pertama dan ayat-ayat seterusnya dalam surah al-Israa’ banyak menyentuh isu berkaitan Palestin (Masjidil Aqsa) dan kerosakan-kerosakan yang dilakukan oleh bangsa Yahudi. Hal ini mengingatkan kembali kepada kita bahawa usaha membebaskan Masjidil Aqsa adalah suatu usaha yang jatuh atas bahu setiap umat Islam termasuk kita, mahasiswa!
Justeru itu, di peringkat mahasiswa ini apakah peranan yang boleh kita mainkan?
Jangan lupa bahawa kita adalah golongan muda yang menurut Imam Hassan al-Banna harus mempunyai 4 ciri iaitu iman (hati yang suci), ikhlas (jiwa serta sanubari yang jernih dan bersih), hammasah (perasaan yang kuat serta mekar) dan amal (azam seorang pemuda yang gagah lagi tabah).
Kita perlu bersama dalam perjuangan menegakkan Islam hari ini. Untuk membebaskan Masjidil Aqsa dan Palestin, kita seharusnya bermula dengan diri kita. Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan mengembalikan sifat seorang hamba kepada penciptaNya. Dengan meyakini janji-janji Allah dan Rasul mengenai kebangkitan umat Islam, kita wajib untuk bersama dalam perjuangan ini dengan berusaha sebaik mungkin untuk membina dasar yang kukuh (peribadi muslim) dalam jiwa pemuda dan masyarakat Islam di Malaysia.
Israk Mikraj menghubungkaitkan isu Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya dengan isu dunia Islam. Usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan Islam itu sendiri. Setiap orang Islam di pelbagai ceruk bumi wajib melaksanakannya. Mahasiswa merupakan golongan yang bijaksana yang mampu memperoleh kepercayaan masyarakat. Kesempatan itu harus diambil sebaiknya bagi membantu usaha pengislahan masyarakat dengan pelbagai inisiatif di peringkat UA dan masyarakat.
Sebagai mahasiswa Muslim, kita wajib menyedari bahawa kebangkitan dan kemenangan umat bermula dengan menyedarkan umat Islam kepada tuntutan aqidah yang sebenar, dan membina umat untuk kembali mengamalkan Islam yang syumul bermula dari solat sehinggalah segala aspek kehidupan seperti sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya.
Oleh,
Nor Syamimi Musa
Kolumnis PEMBINA