Tiga tahun berturut-turut PEMBINA melancarkan kempen Katakan Tidak Pada Hari Valentine (Say No To Valentine). Tahun ini kita menyaksikan remaja dan belia Islam semakin cakna akan hakikat dan sejarah Hari Valentine. PEMBINA akan terus menegaskan bahawa Hari Valentine bukan ajaran agama Islam dan menolak 14 Februari sebagai Hari Kekasih.
PEMBINA konsisten menyeru para remaja dan belia untuk mengenali budaya-budaya yang tidak berasal dari agama Islam agar kita tidak ditipu malah meyakini Islam adalah agama kasih sayang yang sentiasa meletakkan batas syariat dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Walaupun masih terdapat pasaraya, gedung-gedung beli belah yang menjadikan Hari Valentine sebagai taktik pemasaran mereka. Janganlah kita tertipu atau terpedaya. Sejarah telah menceritakan kepada kita bahawa Hari Valentine telah digembar-gemburkan di barat untuk tujuan perniagaan dan mengaut keuntungan golongan pemodal semata-mata. Mereka mahu menjadi kaya-raya dengan runtuhnya sosial dan rapuhnya pegangan agama.
Negara kita telah menghadapi krisis sosial dan kemungkaran yang kronik seperti hubungan zina antara lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin malah sehingga melahirkan anak luar nikah. Lebih menambah parah lagi, kes pembuangan bayi masih belum nampak surutnya.
Ketahuilah umat Islam sekalian, hubungan zina bukan hanya berlaku ketika 14 Februari, bahkan setiap 6 jam akan lahir seorang anak luar nikah hasil perhubungan haram. Kita perlu berusaha terus menerus menghalang dan mencegah kemungkaran ini dari terus merebak dan merosakkan generasi anak muda kita. Sesungguhnya Allah s.w.t sangat murka akan perbuatan zina dan pembuangan bayi.
“Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji,” (Al Isra’ 32)
Kempen Katakan Tidak Pada Hari Valentine adalah usaha konsisten PEMBINA yang akan terus bersuara kepada seluruh umat Islam untuk menolak sambutan ini sekaligus segala maksiat yang hadir bersamanya.
PEMBINA akan terus berdiri bersama umat Islam menolak kemungkaran ini dari terus berlaku dan kembalikan cara hidup Islam menurut perintah Allah s.w.t demi mencapai keredhaan Allah s.w.t.
Khairunnisa binti Mazlan
Ketua Beliawanis PEMBINA