
K. LUMPUR, 8 Oktober 2011 – Naib Presiden PEMBINA, Aizuddin Khalid menggesa semua golongan belia Islam untuk hadir ke Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bakal dianjurkan pada 22 Oktober ini di Stadium Shah Alam.
“Semua belia Muslim dari semua persatuan, pertubuhan, agensi kerajaan, institusi awam dan swasta, mahasiswa dan persatuan pelajar, NGO dan parti politik diharap dapat turun bagi menyatakan solidariti dalam isu menyelamatkan aqidah Islam dan memerangi gerakan kristianisasi. Kerana ini adalah isu bersama umat Islam di Malaysia.”
Beliau membuat seruan demikian dari Ho Chi Minh City, Vietnam, di mana beliau bertugas, ketika dihubungi MediaPEMBINA dari Kuala Lumpur bagi mendapat respon JKP PEMBINA tentang sambutan belia terhadap kempen HIMPUN.
Menurut Aizuddin yang merupakan Ketua Penerangan PEMBINA, setakat ini, lebih 40 badan belia dan siswa menyatakan komitmen untuk turut serta dalam HIMPUN. Di samping itu, beberapa pemimpin Pemuda PAS dan UMNO juga telah mengeluarkan kenyataan menyokong HIMPUN. “Ini membuktikan isu memperjuangkan pertahanan aqidah Islam di negara mampu menyatukan semua tak kira apa haluan politik,” ujar Aizuddin.
Oleh itu, beliau turut menggesa semua Majlis Perwakilan Pelajar IPT-IPT tempatan untuk turut sama menyebarluaskan seruan HIMPUN ini di IPT dan berharap pihak pentadbiran universiti mempermudahkan urusan pelajar untuk turun hadir ke acara tersebut. “Isu ini adalah isu asasi umat Islam di Malaysia, ia berkait dengan mempertahankan dan menghidupkan peruntukan dalam perlembagaan negara. Jadi saya amat berharap pihak pentadbiran IPT dapat memberi pelepasan dan menyokong penglibatan para pelajar dalam HIMPUN ini.”
Galak pelajar luar negara promosi dan sertai HIMPUN
Naib Presiden PEMBINA itu turut menyeru pelajar-pelajar Melayu yang menuntut di luar negara, untuk turut sama mempropagasikan isu HIMPUN dikalangan masyarakat Melayu Islam di tempat masing-masing. Beliau turut menggalakkan mereka yang mampu untuk pulang ke tanah air menyertai HIMPUN. “Kalau mampu, baliklah. Kehadiran anda akan menambahkan makna lagi pada HIMPUN dan akan tercatat dalam sejarah. Setidaknya pun, promosikanlah kempen HIMPUN di tempat anda. InsyaAllah, ruh dan doa anda semua akan bersama dalam perhimpunan tersebut.”
“Saya sendiri akan pulang ke tanah air. Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama dalam acara bersejarah ini,” beliau bertekad.
PEMBINA mengepalai kempen HIMPUN bagi peringkat belia dan mahasiswa dalam sekretariat penganjuran HIMPUN. HIMPUN menyasarkan untuk mengumpul lebih 100,000 orang Islam di Malaysia di Stadium Shah Alam. Maklumat lanjut mengenai HIMPUN boleh didapati di laman http://www.himpun.org.
Media PEMBINA