Gerakan mahasiswa mesti punya agenda jelas

Bangi, 19 Mei 2012- Atas kesedaran dan usaha dalam menangani kelesuan aktivisme dikalangan mahasiswa, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Dialog “Student Power – Rasional atau Radikal” di Dewan Teater National Institute Of Occupational Safety & Health (NIOSH), Bangi dengan menjemput wakil daripada badan-badan dan pertubuhan Islam di kalangan belia untuk berkongsi dan berbincang.

Dialog yang berlangsung selama setengah hari telah dihadiri oleh lebih 120 orang peserta bermula dengan sesi pembentangan kertas kerja daripada wakil-wakil NGO iaitu Saudara Azizan Ajiji, Exco Dokumentasi dan Penerbitan Persatuan Kesatuan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Saudara Mohd Faizal Zulkifly, Exco Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan (Biro Siswa), Saudara Akram Ikrami Taib Azamudden, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Islam SeMalaysia (GAMIS) dan Saudara Uzair Izzat Amir Muhammad, Jawatankuasa Politik Kampus Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Sesi pembentangan kertas kerja berakhir pada tengahari dan diteruskan dengan sesi dialog yang dipengerusikan oleh Saudara Essan Yahya, Penerbit/ Wartawan Berita BERNAMA Radio 24. Turut hadir wakil- wakil media daripada Utusan Malaysia, Utusan Online, MobTV,RTM dan TV Al-Hijrah.

Saudara Azizan (PKPIM) telah membentangkan tajuk, Memberdaya lingkungan, watak, daya diri mahasiswa. Menurut beliau, intelektualisme perlu digilap melalui pembacaan dan diskusi yang berterusan manakala idealisme juga perlu digilap kerana ia berkait dengan cita-cita. Lambakan IPTS, komersial, budaya hedonisme dilihat sebagai penyumbang luar kepada kelesuan mahasiswa.

Saudara Faizal (GPMS) menyatakan bahawa lambakan universiti pada masa kini adalah antara punca kelesuan mahasiswa. Mahasiswa tahun 60-an yang berjaya diterima masuk ke universiti dipandang tinggi kerana mempunyai idealisme yang tinggi. Perjuangan mahasiswa semasa itu bertujuan bagi membela rakyat tanpa mewakili mana-mana parti politik.  

Saudara Akram Ikrami (GAMIS) dalam pembentangan kertas kerja beliau, Peranan mahasiswa Islam hari ini, mengingatkan peserta bahawa dalam memperkasakan mahasiswa, mereka harus mempunyai akidah yang utuh. Tambah beliau lagi, mahasiswa juga perlu mengusai pelbagai bahasa dan cemerlang akademik.

Saudara Uzair (PEMBINA) telah menyampaikan kertas kerja yang bertajuk: Penyelesaian dan Halatuju. Beliau menyatakan bahawa hedonisme atau hiburan melampau merupakan punca kelesuan mahasiswa dan pengaruh liberalisme dalam gerakan mahasiswa.

Berikut merupakan resolusi yang telah disepakati bersama:

1. Menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber dan neraca utama dalam menilai dan mengambil tindakan sesuatu perkara.

2. Gerakan mahasiswa Islam perlu bersatu dan bersepakat dalam mengembalikan era kegemilangan mahasiswa untuk memartabatan agenda Islam.

3. Mengembalikan nafas baru Student Power dengan bersikap profesional dan responsif terhadap sesuatu isu, sesuai dengan mahasiswa yang memiliki nilai intelektual yang tinggi.

4. Mengembalikan jatidiri mahasiswa dengan kefahaman Islam yang sebenar-benarnya dan mempunyai matlamat untuk berjaya di dunia dan akhirat melalui pelbagai program pembangunan jatidiri.

5. Menyedarkan mahasiswa terhadap tanggungjawab mereka untuk memberi sumbangan kepada masyarakat agama dan negara dan peka mengenai isu-isu semasa berlaku di dalam dan luar negara.

6. Menolak segala bentuk ancaman yang menjadi punca kelesuan mahasiswa termasuk budaya hedonisme yang melampau, arus liberalisme dan sifat individu dikalangan mahasiswa.

7. Gabungan gerakan mahasiswa Islam perlulah mengambil langkah ke hadapan untuk mengetuai mahasiswa secara keseluruhannya dan berhati-hati agar tidak dipengaruhi oleh gerakan yang membawa fahaman liberal dan songsang.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top